Wednesday 9 November 2016

SILATULRAHIM - 19/09/2015

PENGALAMAN/KENANGAN

Teks : Zaliha Yeop

SILATULRAHIM

Sabtu – 19/09/2015
5 Zulhijjah 1437H

Rutin pagi masih seperti biasa sungguhpun hari ini Sabtu. Kami solat Subuh di masjid dan disambung dengan mengaji Al Quran apabila sampai ke rumah. Big Boss membeli Mee Goreng untuk sarapan. Selesai sarapan pagi dan membuat kerja rumah saya melayari dan mengemaskini Facebook dan Blog.

Hari ini ada undangan ke majlis perkahwinan anak Abang Chu Othman Taat bin Yeop di Lorong Masjid Kg Bahagia Teluk Intan. Abang Chu ialah abang sebapa berlainan ibu. Bapa saya berkahwin dengan isteri pertama Mak Wa punya 8 orang anak 6 lelaki dan 2 perempuan. Dengan arwah Emak punya dua anak saya dan abang yang meninggal semasa masih kecil. Emak saya balu punya 3 orang anak 2 lelaki dan 1 perempuan hasil perkahwinan dengan Allahyarham Tuan Haji Mat Sirat yang meninggal dunia semasa menunaikan fardhu Haji di Mekah.

Mak Wa isteri pertama diceraikan. Arwah Ayah dan Emak tinggal di Kg Durian Sebatang bersama-sama 8 anak-anak isteri pertama.

Ayah saya meninggal semasa saya berusia 4 bulan. Setelah kematian ayah arwah Emak balik ke kampung asalnya di Kampung Baru dan tinggal bersama anak-anak arwah suami pertama. Manakala isteri pertama ayah dibawa balik ke rumah tersebut bersama suami baru dan sudah punya 2 orang anak lelaki oleh 8 orang anak-anak mereka. 

Hari ini saya akan ke kampung itu semula. Bukan untuk mengenang kisah lama tetapi untuk mengeratkan silatulrahim adik beradik. Kami sampai ke majlis pukul 12.30 tengahari bersaing dengan hadiran pengantin. Saya berjumpa semula dengan adik beradik yang masih ada dan juga kakak-kakak ipar. Abang sulung dan yang kedua telahpun meninggal dunia. 

Selesai majlis kami balik ke Kampung Baru menziarahi Abang (satu Emak lain bapa) yang telahpun dibenarkan keluar Hospital pada hari Khamis 17/9/2015 lepas setelah mendapat rawatan akibat kemalangan. Saya tidak mahu menunjukkan kesedihan apabila bersalaman dengan Abang. Abang sedih dan mengadu sudah tidak punya sebelah kaki. Saya menenangkan beliau supaya redha dengan ketentuan Allah. Saya juga berjanji untuk membantu membuat tuntutan insuran kemalangan dan membuat kaki palsu. Dalam pada itu saya menasihatkan beliau supaya menjaga kesihatan demi kebahagiaan keluarga. Semua orang bersimpati dan Abang perlu semangat yang kuat untuk meneruskan kehidupan yang mendatang.


Pukul 4 petang kami beransur balik ke Manjung dan sampai ke rumah pukul 5.15 petang. Masa yang ada saya gunakan untuk mencuci kereta sebelum berjemaah Magrib dan Isyak di masjid.

No comments:

Post a Comment