Wednesday 9 November 2016

HOSPITAL TELUK INTAN HARI KE 2 - 13/09/2015

PENGALAMAN/KENANGAN

Teks : Zaliha Yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA

Ahad – 13/9/2015
29 Zulkaedah 1436H

Kami keletihan dan terbangun lewat pada pukul 6.45 pagi dan solat Subuh di rumah sahaja. Usai solat kami ke Pasar Tani membeli sarapan pagi Nasi Dagang dan Kuih Putu Buluh. 

Peraturan lawatan di Hospital Teluk Intan agak ketat. Kami hanya bergerak ke Hospital semula pada pukul 11.30 pagi dan sampai tepat masa untuk lawatan pesakit. Saya berhubung melalui mesej Whatsapp dengan anak-anak Abang yang menunggu di hospital. Dimaklumkan kaki Abang sudah selamat dibedah/potong pada pukul 4.00 pagi. Beliau sekarang di Wad ICU di dalam keadaan yang stabil. Kedua-dua menantunya telah menguruskan membawa balik kaki yang dipotong untuk ditanam mengikut yang sepatutnya. Mereka meminta bantuan Imam di masjid untuk urusan tersebut.

Ramai sepupu, saudara mara dan jiran kami dari kampung berada di hospital untuk menziarahi Abang. Di Wad ICU hanya dua orang dibenarkan melawat seorang pesakit pada satu masa dan kami bergilir-gilir melawat Abang yang separuh sedar. Habis waktu lawatan kami duduk bersembang di beranda surau hospital. Sudah agak lama kami tidak berbual dan berkumpul mesra sebegitu. Walaupun di dalam keadaan yang sedih mengenangkan kaki Abang dipotong hikmahnya kami berkumpul semula dengan saudara mara dan jiran tetangga setelah sekian lama. Seingat saya kali terakhir berkumpul dan bertemu mereka pada tahun 2011 semasa Emak meninggal dunia. 

Di sisi yang berbeza kejadian ini mengajar saya untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada kerana semua itu milik Allah. Semalam sebelum kemalangan Abang sihat walafiat dan sentiasa aktif menguruskan kebun kelapa sawitnya. Hari ini Abang terlantar di Wad ICU dengan sebelah kaki kirinya telah dipotong. Tidak dapat saya gambarkan perasaannya apabila sedar dan mendapati keadaannya yang sudah tidak seperti dahulu. Bagaimana pula saya untuk menerangkan keadaan tersebut dan apa pula penerimaan Abang dengan keadaannya sekarang.

Saya tolak ketepi semua perasaan tersebut. Di dalam hati saya sentiasa panjatkan doa semuga Abang terima keadaannya dengan redha sebagai qadha dan qadar dari Allah swt. Selain dari itu saya pun menasihati Kakak Ipar dan anak-anaknya supaya sama-sama bersabar menerima ujian dari Allah. Allah sebenarnya menguji sejauh mana kita akan mampu bersabar dengan keadaan Abang setelah dia sedar dan seterusnya membantu beliau supaya keadaan pulih seperti sediakala.

Tiba-tiba saya terkenang kepada arwah Emak. Sekiranya beliau masih ada mesti agak sukar untuk dia menerima keadaan anaknya itu. Mengimbau semula kenangan semasa saya masih kecil Abang sentiasa membantu Emak menghantar barang jualan keluar dari kampung untuk dijual di pasar Teluk Intan. Beliau juga yang akan mendukung dan menghantar saya ke sekolah apabila jalan becak selepas hujan. Sekarang orang itu terlantar di hospital dan kaki sebelah kiri bawah lutut telah dipotong. Walau apapun keadaannya saya akan sentiasa memberi sokongan moral dan segala bantuan untuk memulihkan semangatnya. Semuga kami semua diberi kesabaran untuk menghadapi masa-masa yang sukar begini.


Kami berada di hospital sehingga pukul 5.30 petang dan balik ke Manjung pukul 6.40 petang dan sempat berjemaah Maghrib di masjid.

No comments:

Post a Comment