Wednesday 9 November 2016

AKTIVITI 4/9/2015

CATATAN HARIAN

Teks : Zaliha Yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA

Jumaat – 4/9/2015
20 Zulkaedah 1436H
Saya amat suka untuk solat Subuh berjemaah di masjid pada hari Jumaat kerana adanya Sujud Sejadah apabila Imam membacakan Surah Al Mulk. 

Hari ini Puan Norliza kawan exBank saya datang membuat lawatan ke Bank Muamalat Cawangan Seri Manjung. Untuk itu saya keluar pukul 8.00 pagi ke Bank dan mengirimkan Rempeyek melalui Puan Rozian untuk disampaikan kepada beliau.  Saya memang mengelak dari bersua muka dengan beliau yang datang ke cawangan bersama Pengurus Kawasan Wilayah Utara dan Pengurus Perkhidmatan Deposit

Setelah selesai saya balik ke rumah untuk sarapan pagi Nasi Lemak dan kuih muih yang saya beli semasa pulang dari Bank.

Saya masuk ke ‘Home Office’ untuk beberapa urusan. Dalam pada itu saya cuba menyarankan kepada kawan baik peguam untuk menjadi pelanggan pertama yang melanggan perkhidmatan Perancangan dan Pengurusan Harta dan Pusaka. 

Saya menerangkan kepentingan untuk membuat Hibah Komprehensif rumah yang diduduki kerana beliau seorang Balu yang telah berkahwin semula dan bermadu. Beliau juga mempunyai dua orang anak lelaki yang berumur di bawah 18 tahun hasil perkahwinan pertama. Suami beliau yang baru pula punya tiga orang anak dengan isteri yang pertama. Bagi mengelakkan timbul sebarang masalah pada masa hadapan dan memastikan kebajikan kedua anak yatim saya amat menyarankan supaya hibah dibuat secepat mungkin.

Walau bagaimanapun saya menerima maklumbalas yang agak mengecewakan. Beliau enggan membuat perancangan dengan memberi alasan kos perkhidmatan yang dikenakan terlalu mahal. Beliau menambah lebih baik jumlah kos tersebut digunakan untuk melancong dan sebagainya. Selain dari itu sebagai peguam beliau boleh membuat pendaftaran ‘Trust Account’ untuk hartanah di Pejabat Tanah Daerah Manjung. 

Setelah cadangan saya ditolak beliau menyarankan supaya saya berhubung dengan seorang lagi kawan baik saya untuk tujuan yang sama. Kawan saya yang ini berada dan mengemas di ‘Homestay’ semasa saya hubungi. Beliau juga seorang Balu tetapi geran hartanah masih di Perbendaharaan. 

Saya batalkan hasrat untuk membuat promosi Perancangan dan Pengurusan Harta dan Pusaka kepada kawan-kawan rapat untuk mengelakkan rasa kecewa apabila cadangan ditolak. Rasa kecewa tidak dapat saya elakkan kerana perkhidmatan yang saya tawarkan memberi kemudahan kepada waris apabila berlaku kematian. Hanya orang yang mempunyai pengalaman kesukaran menguruskan harta pusaka akan tahu masalah yang timbul sekiranya tiada perancangan harta dibuat sebelum kematian.

Untuk itu saya perlu memikirkan strategi baru lain yang boleh membantu meningkatkan kepercayaan pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan saya. 

No comments:

Post a Comment