Wednesday 9 November 2016

AKTIVITI 16-20/7/2015

CATATAN HARIAN

Teks : Zaliha Yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA

16/7/2015 – Khamis
29 Ramadan 1436H
Hari terakhir berpuasa. Rutin Ramadan saya hari ini bermula lebih awal untuk persiapan Hari Raya esok. Muhammad Aliff yang balik bercuti Hari Raya sampai ke rumah pukul 3.30 pagi dari Puchong. Kami bersahur pukul 5.00 pagi dan Solat Subuh berjemaah di Masjid.

Mengimbau 10 terakhir Ramadan 1436H 
Semua berlumba-lumba mempertingkatkan ibadah kepada Allah swt dengan solat-solat sunat Qabliyah dan Baadiyah, Taubat, Tahajjud, Tasbih, Terawih, Tadarus Al Quran dan sebagainya kerana mungkin ini Ramadan terakhir untuk kita. Pada masa yang sama kita pun selalu berdoa supaya diketemukan dengan malam Lailatul Qadar untuk mendapat ganjaran pahala ibadah seperti 1000 bulan.

Saya pun seperti yang lain membuat rujukan kepada satu tulisan yang diriwayatkan dari Imam Al-Ghazali mula puasa Ramadan 1436H hari Khamis malam Lailatul Qadar akan jatuh pada 25 Ramadan. Pada masa saya berusaha bersungguh-sungguh untuk beribadah sebanyak mungkin TETAPI pada malam itu jugalah mata teramat mengantuk dan badan terasa terlalu letih. Kesudahan tidak juga banyak terlebih ibadahnya pada malam tersebut. 

Keesokan paginya baru rasa menyesal bila terasa macam matahari lambat nak naik/tidak terik dan suasana pagi pun tenang - kenapalah tak buat itu dan ini. Dan untuk menyedapkan hati saya pun berkira-kira sendiri…ok la tu dan ada malam-malam ganjil 27 dan 29…boleh cuba lagi. Begitulah saya untuk lebih kurang 43 kali Ramadan (53 -10 tahun) yang lepas. Saya sendiri pun tidak tahu tahap penerimaan Allah ibadah puasa selama ini. Doa saya semuga Allah terima ibadah puasa saya dengan baik kerana Dia melihat kita dengan apa yang kita sangka. In Sya Allah.

Malam 27 Ramadan suasana juga tenang paginya mendung dan hujan turun dengan lebatnya. Melalui WA mesej dari kawan-kawan hujan turun dikebanyakkan tempat. Dalam pada itu sempat lagi bertanya - ‘Malam tadi Lailatul Qadar ke?. Yang lagi best jawapan mereka – ‘Rasa macam ye la…’.

Begitu juga malam 29 Ramadan siangnya pula hujan turun renyai-renyai. Saya rasa beberapa hari terakhir Ramadan sebelum Syawal cuaca siangnya tidaklah terlalu terik seperti permulaan puasa. Sungguhpun cuaca begitu masih terasa keletihan sebulan berpuasa.

Persiapan sebelum Syawal 1436H
Rutin Ramdan seperti biasa hari ini. Usai solat Subuh berjemaah di masjid Big Boss terus pergi ke kedai membeli santan yang ditempah sehari sebelum itu untuk masak lemang. Tahun ini kami masak lemang 29 batang-5 batang khas untuk tempahan rakan keluarga/jiran setaman dan yang lain-lain untuk diberi kepada jiran dan saudara mara. Pukul 8.30 pagi buluh lemang siap diisi dengan pulut/santan sedia untuk dimasak di dalam tong dram dengan menggunakan dapur gas. Lemang akan masak dalam tempoh 1 jam 45 minit/ 2 jam. Ada lebihan pulut lemang saya masak jadikan kuih Wajik dan menghasilkan 6 bekas plastik sangat sesuai untuk diberikan kepada saudara mara.

Menu raya seperti biasa Nasi Impit/ Daging masak hitam dan Lemang/Rendang Ayam. Saya kemudian  meneruskan tugasan menyediakan menu yang lain-lain dibantu anak-anak sehingga selesai kira-kira pukul 2.30 petang. Perancangan awal kami sepatutnya berbuka puasa malam raya di rumah baru kakak ipar di Ipoh tetapi dibatalkan kerana kami agak keletihan untuk membuat persiapan balik ke Ipoh petang itu. Pada masa yang sama Aliff baru sampai ke rumah pukul 3.30 pagi tadi dan ingin merasa berbuka di rumah sendiri. Lagipun lemang dan kuih muih belum lagi  diagihkan kepada jiran-jiran di sini. Kami berbuka akhir Ramadan malam Syawal dengan menu yang telah tersedia.

Mengimbau semasa saya di kampong dahulu (beraya dengan arwah emak, abang, kakak ipar dan tiga orang anak saudara) menu wajib malam raya mesti ada sup tulang lembu (lembu segar disembelih di kampong) dimakan bersama Suun dan kacang tanah yang digoring. Selepas makan sup tulang tersebut bibir kita akan menjadi keras/berminyak bila lemak tulang jadi beku. Sungguh nostalgia! Menu utama yang lain pula ialah  serunding daging kelapa, masak lemak kacang Tolo/Tahu/Suun, ketupat beras daun kelapa (anyam sendiri-selalunya saya tukang anyam 100 biji ketupat), daging masak hitam dan ayam masak kacang. 

Tahun ini sebagai YB saya juga cipta kelainan (….konon untuk jadi Legend) membuat sendiri Rempeyek kacang tanah dan ikan bilis sebagai kuih raya. Rempeyek ialah kuih legasi orang-orang Jawa dan juga kuih wajib keluarga untuk hari raya setiap tahun.

Pada mulanya agak gusar untuk mencuba (ada suara biawak – tak jadi la…) kerana selama ini saya sekadar menjadi pembantu kepada kakak ipar dan arwah emak untuk menggoreng rempeyek. Adunan mereka yang buat. Saya bulatkan tekad membuat bancuhan adunan dari resipi yang saya perolehi dari kakak ipar. Alia menjadi pembantu semasa membuat rempeyek kacang tanah. Sebagai Quality Control (….dia sudah Nampak anak bulan Syawal) feedback yang diberi – ‘Tak crunchy la Mama’. Gementar juga masa itu. Saya teruskan juga sehingga selesai menggoreng rempeyek kacang tanah dalam masa lebih kurang 2 jam. Dari adunan 500 gram tepung beras dan 1.5 kg kacang tanah menghasilkan hampir satu tin besar rempeyek yang siap untuk dimakan. 

Selepas berbuka baru kami dapat merasa rempeyek kacang tadi. Big Boss bagi respon yang positif rempeyek itu rangup sedap dan boleh dimakan. Beliau terus mencadangkan untuk membuat rempeyek kacang bersama ikan bilis pula. Alhamdulillah.

17/7/2015- Jumaat
1Syawal 1436H
Bulan Ramadan mengajar kita untuk menjadi orang yang baik dan berdisiplin. Bermula dengan bangun seawal 4.00 pagi untuk amalan solat malam dan persiapan bersahur. Waktu sahur kami pada pukul 5.00 pagi setiap hari.

Apabila Syawal sungguhpun tidak lagi berpuasa secara automatik diri kita seperti diprogram dan akan terjaga pada waktu tersebut. Saya rasa itulah penerapan nilai dan pengajaran supaya kita sebagai hamba terus istiqamah untuk menjadi manusia yang lebih baik selepas Ramadan dan seterusnya.
Usai solat Subuh berjemaah di Masjid saya sibuk di dapur persiapan untuk sarapan pagi sebelum solat sunat Aidil Fitri. Kita disunatkan untuk makan sedikit sebelum solat sunat tersebut. Big Boss awal-awal lagi mengingatkan kami bersiap awal ke masjid untuk mendapatkan tempat di ruang utama solat.

Solat bermula pukul 8.30 pagi. Kami memang menjangkakan limpahan jemaah yang pulang berhari raya hadir solat sunat Aidil Fitri di masjid kami.

Dalam pada hendak bersiap awal kami ke masjid pada pukul 8.15 pagi. Kawasan pakir masjid telah dipenuhi kenderaan dan ruang solat sudah penuh. Ramai jemaah wanita terutamanya yang berdiri mencari ruang untuk solat.

Saya mendapat tempat untuk solat sunat Aidil Fitri 1436H di Balai Lintang Masjid dikalangan jemaah yang tidak saya kenali. Semasa mencari ruang solat tadi saya memasukki Balai Lintang melalui lorong laluan tempat wudhu wanita dan meninggalkan selipar di laluan tersebut.

Selesai solat saya keluar mengikut arus jemaah keluar dari masjid tetapi kasut saya tiada lagi di situ. Saya ketepi untuk beri laluan jemaah lain keluar dahulu. Setelah keadaan reda saya kembali mencari selipar saya semula. Memang selipar saya tiada di situ.
Ada dua kemungkinan berlaku:
1. Selipar saya dialihkan ke tempat lain atau,
2. Ada jemaah tersilap pakai selipar tak mungkin hilang kerana selipar dah 'seasoned'.

Tidak putus asa saya mencari di sebelah kiri Balai Lintang laluan jemaah lelaki agak jauh dari laluan asal saya tadi dan kasut saya ada di situ.
Alhamdulillah tidak lah saya pulang dari masjid berkaki ayam di pagi raya. Kalau betul-betul hilang alamatnya saya jadi 'Musafir di Aidil Fitri' macam lagu Allahyarham S Jibeng....huhuhu.

Saya antara jemaah wanita terakhir yang keluar dari masjid. Saya maklumkan kepada Big Boss Aliff dan Azeem yang sudah menunggu di pakir kehilangan kasut saya tadi. Mereka mengandaikan mungkin ada orang pinjam kasut itu tadi.

Pengajaran yang saya perolehi....kita selalu meng hargai sesuatu/seseorang apabila telah tiada/hilang. Begitu juga dengan selipar berjenama saya yang sudah 'seasoned'...bila dicari tiada membuatkan saya panik dan rasa malu untuk berkaki ayam balik dari masjid.

Semuga Allah mengampunkan semua dosa-dosa saya. Amin.

Sampai di rumah kami menerima juadah Hari Raya Ketupat Daun Palas dari Faridah Harun – jiran/kawan baik dan Darna pembantu saya.

Kami sekeluarga memulakan perjalanan balik kampong berhari raya pukul 11.15 pagi dan sampai di Kg Kepayang pukul 12.45 tengahari tepat waktu untuk kaum lelaki Solat Jumaat. Usai berhari raya dengan adik beradik kami pergi berhari raya dan menghantar lemang ke rumah kawan baik/sekolah Big Boss Puan Nor Azian di Tambun. Selepas itu ke rumah abang Big Boss yang tidak berapa sihat di Taman Rapat Setia Baru.

Destinasi perjalanan kami seterusnya ke rumah kakak saya di Sg Besar Selangor. Dari Ipoh 6.30 petang dan sampai pukul 8.30 malam. Kami bermalam di sini.

18/7/2015 – Sabtu
2 Syawal 1436H
Hari Raya kedua bersarapan pagi beramai-ramai bersama anak-anak dan cucu-cucu kakak sebelum kami semua memulakan perjalanan balik ke kampong saya di Kampung Baru. Destinasi pertama rumah Abang Munir (abang kedua).

Juadah Hari Raya balik kampung Mee Rebus Mastan Ghani dua puluh bungkus dan dua ‘bucket’ KFC. Ada pelanggan lain di kedai Mastan Ghani sempat bertanya..’Nak buat kenduri ke?’. Saya jawab ‘Tak..anak beranak ramai dan kami tak bawa apa-apa yang lain pun…’.

Sesampai di kampong kakak ipar saya sudah menyediakan kami juadah laksa dan yang lain-lainnya. KFC juga yang licin dan menjadi ‘favorite’ di kalangan anak-anak dan cucu-cucu saudara saya.

Selepas solat Zuhur kami semua menziarahi kubur arwah emak beramai-ramai dan ke destinasi kedua rumah Abang Din (abang sulung).

Selesai berhari raya kami balik ke Manjung dan sampai ke rumah pukul 6.00 petang. Malam ini kami perlu membuat persiapan untuk adik beradik, anak-anak saudara dan sahabat handai datang berhari raya ke rumah esok.

19/7/2015 – Ahad
3 Syawal 1436H
Hari ini hari yang agak sibuk bagi saya persiapan untuk menyediakan juadah Hari Raya kepada tetamu yang akan datang ke rumah. Kami menyediakan menu Nasi Minyak, Ayam Masak Merah, Jelatah, Kambing Panggang dengan Balck Pepper Sauce, French Fries, Salad dan Air Sirap.

Kakak saya dan anak-anaknya sampai di rumah pukul 10.30 pagi diikuti dengan anak-anak beranak Abang Omar kawan baik Big Boss dari Taman Meru Ipoh.

Anak-anak saudara saya yang lain pun semua datang berhari raya di rumah. Alhamdulillah makanan mencukupi untuk semua.

Syawal kali ini adalah yang paling meriah buat saya kerana dikunjungi oleh ramai saudara mara. Agak terkilan sedikit kerana adik beradik sebelah Big Boss tidak dapat hadir kerana ada yang tidak sihat sepanjang bulan puasa.

20/7/2015 – Isnin
4 Syawal 1436
Hari ini masih dalam suasana berhari raya. Usai solat Subuh di masjid saya bersiap sedia untuk menerima kunjungan keluarga Abang Munir  berhari raya di rumah. Mereka ada tetamu semalam dan tidak dapat hadir. Menu hari ini Nasi Ayam, Buah Melaka dan Nuggets.

Alhamdulillah.


No comments:

Post a Comment