Wednesday 9 November 2016

AKTIVITI 11-15/8/2015

CATATAN HARIAN

Teks : Zaliha Yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA

11/8/2015 – Selasa
26 Syawal 1436H
Saya masih mampu bangun seawal 5.15 pagi walaupun tidur lewat malam tadi setelah sampai dari Kuala Lumpur dan sempat solat Subuh berjemaah di masjid. Pukul 7.00 pagi Big Boss menghantar Azeem menghadiri temuduga ke Petaling Jaya. Saya tidak turut serta kerana telah membuat temujanji untuk sesi penerangan Hibah dengan Puan Siti Rohaya pada pukul 9.00 pagi. Puan Siti Rohaya ialah klien pertama yang saya jumpa untuk sesi penerangan Perancangan dan Pengurusan Harta dan Pusaka selepas saya menghadiri program ‘Kausar Sales System’. Sesi penerangan agak ‘informal’ berakhir pukul 10.10 pagi kerana beliau memang berhasrat untuk menghibahkan rumah kepada anak tunggalnya.  

Pukul 12.30 tengahari saya dan Aina ke Hospital Angkatan Tentera untuk menziarahi Puan Rosmah kawan sekolah yang sudah beberapa hari dimasukkan ke situ kerana kencing manis seperti janji saya Sabtu lepas. Sesampai di hospital beliau memaklumkan akan menjalani pembedahan untuk memotong kakinya yang tidak dapat diselamatkan lagi. Sayu rasa hati dan sangat bersimpati dengan keadaannya. Saya berada di hospital sehingga pukul 2.00 petang. Sebelum pulang saya berjanji akan datang lagi melawat Rosmah setelah selesai pembedahan pada hari Khamis.

Saya pulang ke rumah untuk solat Zuhur sebelum keluar semula untuk bertemu En Azhar Bani yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Hibah harta atas permintaan isterinya. Kami bertemu di sebuah Café di Sitiawan bersama peguam Puan Noraini dan suaminya. 

Selesai penerangan saya pulang ke rumah untuk solat Asar. Sebelum saya keluar tadi saya berpesan kepada Aina untuk belajar membuat Bihun Sup Tulang. Alhamdulillah Bihun Sup telah tersedia masa sampai di rumah.

Big Boss dan Azeem pula sampai ke rumah pukul 5.00 petang dengan membelikan kami Sate Samuri dan Nasi Impit untuk makan malam.

12/8/2015 – Rabu
27 Syawal 1436H
Hari ini saya bangun lebih awal pukul 4.00 pagi untuk solat-solat sunat dan solat Subuh berjemaah di masjid. Usai sarapan pagi saya sediakan juadah makan tengahari Ikan Masak Merah. Ada temujanji untuk makan tengahari bersama Puan Rohana dari Yayasan Perak dan Puan Rozita YP Nominees di Ipoh.

Saya memulakan perjalanan pukul 10.05 pagi dan sampai di Ipoh pukul 11.40 pagi. Saya terus ke Nellie’s Deli tempat yang dijanjikan untuk makan tengahari. Sesampai di kedai saya ditegur oleh seseorang yang agak lama untuk saya mengingatkan dimana kami pernah berjumpa. Rupa-rupa Allah ketemukan saya dengan Puan Zuraidah mantan Setiausaha Pengurus Kawasan semasa di Bank Bumiputra Malaysia Berhad Medan Kidd. Kami bertanyakan khabar mengenai keluarga masing-masing sementara mengunggu tetamu saya datang. Lagipun kami pun sudah lebih 15 tahun tidak berjumpa sungguhpun sama-sama tinggal di Ipoh.

Pukul 12.30 tengahari tetamu saya datang. Kami pun makan sambil menceritakan hal masing-masing dan cerita Hari Raya setelah lebih 2 bulan tidak berjumpa semenjak saya bersara.

Pukul 2.30 petang saya ke Public Mutual berjumpa En Mustafa Kamal untuk pelaburan Saham Amanah AkaunKWSP dan mengucapkan selamat. Beliau akan menunaikan Haji dan mula bercuti awal minggu hadapan. Selesai urusan saya balik ke Taman Meru untuk solat Zuhur dan sampai ke rumah Seri Manjung waktu Asar.

13/8/2015 – Khamis
28 Syawal 2015
Saya bangun awal untuk solat-solat sunat dan bersahur hari terakhir untuk saya puasa sunat Syawal.

Pukul 10.30 pagi saya ke Farmasi Sitiawan bertemu Puan Umi untuk penerangan Hibah. Bapa beliau berminat membuat Hibah untuk hartanya. Setelah itu saya ke Hospital Seri Manjung bertemu Puan Mahani. Puan Mahani dan suami hanya mempunyai hanya seorang anak perempuan golongan yang perlu diberi penerangan kepentingan Hibah untuk harta.

Saya pulang ke rumah untuk solat Zuhur dan keluar semula pukul 3.30 petang untuk bertemu Puan Zaiton tuan punya Kedai Emas Zaitun. Sudah agak lama  tidak bertemu rupanya beliau akan menunaikan Fardhu Haji dan akan bertolak pada 12/9/2015. Saya menceritakan kepada beliau mengenai kepentingan Hibah Komprehensif untuk harta dan juga perniagaan beliau. Selain dari itu saya juga maklumkan tawaran diskaun 20% oleh Wasiyyah Shoppe kepada para Jemaah Haji yang membuat Hibah Komprehensif. Beliau turut menjemput saya untuk hadir ke Jamuan Hari Raya di kedainya pada hari Sabtu 15/8/2015.

Untuk berbuka saya masak Puri dan Kari Kambing. 

14/8/2015 – Jumaat
29 Syawal 1436H
Hari ini bangun awal seperti biasa dan bersahur untuk puasa satu hari lagi walaupun sepatutnya semalam sudah cukup 6 hari saya berpuasa sunat(was-was samada hari Jumaat dapat puasa penuh atau tidak). Untuk sarapan pagi Big Boss dan anak-anak saya masak Nasi Goreng.

Pagi ini saya perlu selesaikan urusan Borang A Pendaftar Pusaka Kecil untuk ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah bagi membolehkan  Bicara Kuasa oleh Puan Darna.

Pukul 12.50 tengahari saya dan Aina ke Hospital Angkatan Tentera menziarahi Puan Rosmah semula untuk bertanya khabar dan memberi semangat setelah pembedahan. Beliau telah dipindahkan ke katil lain rupanya. Keadaan beliau agak lemah tetapi masih bersemangat untuk bercerita. 

Balik dari hospital saya belikan Big Boss dan anak-anak Nasi Briyani Ayam Merah dari Restoran Bintang Maju.

Saya berbuka dengan Nasi dan Sotong Goreng Tepung.

15/8/2015 – Sabtu
30 Syawal 1436H
Setelah selesai solat Subuh berjemaah di masjid saya balik ke rumah masak Nasi Lemak, Sambal Tumis Ikan Bilis, Kacang Tanah Goreng, Telur Rebus dan Timun untuk sarapan pagi.

Hari ini kami sekeluarga ada jemputan perkahwinan anak Cikgu Roshidah jiran dan bekas Pengetua sekolah Aina Sekolah Menengah Seri Samudera di Hotel Ritz Garden.


Selesai solat Zuhur saya ke jamuan Hari Raya Kedai Emas Zaitun pula.

No comments:

Post a Comment