Wednesday 9 November 2016

AKTIVITI 16-30/6/2015

CATATAN HARIAN

Teks : Zaliha Yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA

16/6/2015 - Selasa
Rutin pagi saya seperti biasa. Saya masak untuk makan tengahari awal. Hari ini ada tetamu datang ke rumah, kawan lama mantan Pengurus Bank Muamalat Malaysia Berhad Alor Star Puan Sharifah Sabrina yang telah hampir dua tahun berhenti dari Bank. Menu untuk beliau Sambal Tumis Udang Petai, Ayam Goreng, Ikan Goreng, Masak Lemak Tempe dan Agar-agar Nata de Coco. 

Beliau sampai di rumah pukul 2.30 petang dan berada di rumah sehingga selepas Maghrib.

17/6/2015 - Rabu
Hari ini 30 Syaaban 1436 dan esok semua umat Islam bermula puasa Ramadan. Saya amat teruja menjalani ibadah puasa tahun ini. Saya jangkakan dapat berpuasa penuh sebulan Ramadhan, Solat Sunat Terawih, Tadarus Al Quran dan sunat-sunat yang lain sempena bulan yang penuh keberkatan.

Tugas saya yang utama hari ini ialah untuk memasak Rendang Pedas Ayam menu tradisi awal Ramadan suami untuk bersahur esok pagi.

18/6/2015 - Khamis
1 Ramadan 1436H 
Saya bangun pukul 4.30 pagi untuk Solat Tahajjud/Taubat/Hajat dan kami bersahur pukul 5.00 pagi.

Semenjak bersara mulai 1/6/2015, menghadiri program Real Estate Negotiator (30-31/5/2015), Millionaire Marketing Mastery (5-7/6/2015), Mastermind Group Coaching (8/6/2015), Wasiyyah Shoppe (13-14/6/2015) dan di dalam keadaan pengurusan masa persaraan yang masih lemah badan saya seperti memberi isyarat untuk berehat. Batuk dan selsema telah sedikit sebanyak mengganggu energi dan semangat untuk melaksanakan apa yg saya rancang selepas bersara.

Saya masih ada berbaki dua lagi program ilmu - Intensive Business Coaching (20-21/6/2015) dan Kursus Asas Jahitan membuat Jubah (27/6/2015) bersama Faridah Harun kawan baik BBA yang juga jiran saya. 

Mesti anda akan berkata..."Jubah tu beli je yang dah siap....kan banyak ada di kedai, jubah Arab/ Abaya dsb..". Betul jubah saya boleh beli sahaja yg sudah siap...tetapi nilainya tidak akan sama apabila saya menghadiri kelas jahitan untuk bersama kawan baik/jiran (yang dekat tetapi jauh) pada masa yang sama memberi ruang untuk berkenalan dengan kawan-kawan yang baru. 
Itulah nilai satu PERSAHABATAN.

Kedatangan Ramadan tahun ini juga memberi banyak pengajaran kepada saya:

1. Bersyukur kepada semua kurniaan Allah. Allah makbulkan doa saya 
   sejak bulan Ogos 2014 untuk mendapat VSS selepas 31 tahun 5 
   bulan di dalam industri perbankan. Bekas     
   majikan saya telah mengkreditkan ganjaran 2 hari sebelum puasa.
   Alhamdulillah. Semuga Allah menganugerahkan rahmat dan iman   
   kepada pihak pengurusan yg terlibat.

2. Bersabar menghadapi ujian dan cabaran hidup. Kelulusan 
   permohonan VSS meningkatkan semangat dan keterujuaan   
   saya untuk melangkah ke dunia luar dengan sesuatu yang baru 
   sehingga kesihatan terabai. Saya demam batuk dan selsema sehari 
   sebelum puasa. Terawih malam pertama dan kedua di rumah kerana 
   demam batuk dan behingus. Bimbang mengganggu jemaah yang lain.   
   Azam saya tahun ini untuk buat Solat sunat Terawih 20R3W masih 
   'maintained'.

3. Berdoa untuk sentiasa di dalam rahmat Allah. Kesihatan yg 
   terganggu tidak melemahkan semangat utk terus     
   berdoa kepadanya. Allah akan melihat kita berdasar apa yang kita    pohon kepadanya. Alhamdulillah esok saya akan menyambung sesi   
   program 'Intensive Business Coaching 20-21/6/2015' sebelum   
   mengorak langkah seterusnya. Semuga Allah permudahkan. Amin.

4. Memohon keampunan dan tidak mengulangi melakukan dosa2 yg lalu 
   dan sentiasa upgrade hubungan dengan dia Allah yang maha Esa.


19/6/2015 - Jumaat
2 Ramadan 1436H
Seperti satu kebiasaan tepat 4.30 pagi saya akan terjaga untuk melakukan solat-solat sunat dan menyediakan juadah untuk bersahur. Demam batuk dan selsema sedikit sebanyak mengurangkan ketahanan badan untuk melakukan sesuatu yang luar biasa. Peringatan dari kawan-kawan seusia saya ambil iktibar - "kita bukan macam dulu lagi, jangan terlalu ghairah untuk membuat sesuatu yang luar biasa dan faktor usia akan banyak mempengaruhi pergerakan kita untuk tidak seperti dahulu".

Saya pun berehat seketika mengumpul dan mengembalikan tenaga yang hilang sesuai dengan kekuatan usia fizikal saya. 

Petang itu saya bermusafir ke Kuala Lumpur menaiki keretapi ETS dari Batu Gajah ke KL Sentral. Saya berbuka puasa dan membeli makanan ringan di KL Sentral dan kemudian menaiki teksi RM17.00 ke Hotel Quality. Nur Alia datang bermalam bersama saya selepas solat Terawih dan Muhammad Aliff pula sampai pukul 2.40 pagi.

20-21/6/2015 Sabtu dan Ahad
3-4 Ramadan 1436H
Awal pagi sebelum bersahur saya melakukan solat-solat sunat dan bersahur dengan 'Bun' sahaja bersama anak-anak.

Saya menghadiri Program Instensive Business Coaching di Bangunan Lembaga Pertubuhan Peladang Kuala Lumpur. Peluang yang ada saya berbuka puasa bersama Nur Alia dan Muhammad Aliff. Sebagai ibu saya amat berbangga dengan mereka kerana bersama saya menginap di hotel tersebut.

Tamat program petang Ahad Nur Alia dan Muhammad Aliff menghantar saya ke KL Sentral untuk balik ke Seri Manjung. Saya membeli juadah untuk berbuka sebelum menaiki keretapi pukul 6.30 petang. Kedua adik beradik berbuka bersama-sama di tempat pilihan mereka. Saya sampai ke rumah pukul 10.45 malam.

22/6/2015 - Isnin
5 Ramadan 1436H
Rutin sahur masa dikekalkan.
Di dalam situasi pengurusan masa yang masih haru biru saya memulakan langkah minggu ke empat bulan Jun 2015 dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang tertangguh kerana sepanjang empat hujung minggu dari 30/5/2015 dipenuhi dengan pelbagai sesi Motivasi dan Latihan bekalan masa persaraan.

Tindakan/langkah pertama saya ke pejabat Setiausaha Syarikat untuk pendaftaran perniagaan seperti yang disarankan oleh Dr Azizan Osman semasa MMM. Perkara ini diperingatkan semula kepada semua peserta untuk tindakan oleh Hj Jerry semasa IBC Jun 2015. Pemilihan nama untuk daftar perniagaan, nilai/imej sesuai perniagaan yang dijalankan dan tiada pertindihan/persamaan daftar nama merupakan satu cabaran kecil yang terpaksa dilalui. 

Alhamdulillah urusan selesai sepenuhnya hari ini Rabu 24/6/2015 dengan cadangan nama yang ketiga.

23/6/2015 - Selasa
6 Ramadan 1436H
Kami bersahur pukul 5.00 pagi.
Tugasan pertama hari ini, saya ke pejabat Majlis Agama Islam Negeri Perak Cawangan Seri Manjung untuk membayar zakat wang ganjaran VSS. Kemudian ke cawangan Bank Rakyat mengemaskini buku Tagung Haji dan bertemu Penghulu Sitiawan di Bank jiran lama kami semasa di Taman Meru Ipoh. 

Saya juga menghubungi rakan lama Valuer dari Utara untuk mendapatkan nama wakil mereka di Seri Manjung untuk nilaian satu hartanah yang cuba saya kendalikan. Saya juga maklumkan kepada beliau persaraan saya dan bidang baru yang akan saya ceburi selepas 31/5/2015. Beliau bukan sekadar memberi nama wakil tetapi dengan murah hatinya telah mengemailkan salinan Manjung Property Market Report terbaru untuk rujukan. Terima kasih dan Syukur Alhamdulillah. 

Semuga Allah melimpahi rahmat kepada beliau dan dipermudahkan semua urusan.

24/6/2015 - Rabu
7 Ramadan 1436H  
Rutin Subuh masih dikekalkan.
Saya menemani suami (saya beri beliau panggilan baru semenjak-  jadi YB-Big Boss) untuk rawatan kesihatan bulanan di KPJ Ipoh Specialist Hospital. Hari ini juga saya anggap hari santai balik ke Kg Kepayang Fair Park Ipoh (kampung Big Boss ye....) setelah lebih dua bulan dengan doa sepenuh hati supaya ada durian yang luruh untuk makan selepas berbuka puasa. Ada pokok durian pusaka peninggalan bapa mertua yang luruh buahnya pada awal Ramadan. Durian yang luruh akan diagih-agihkan kepada kami adik beradik oleh abang ipar yang menghuni rumah pusaka di situ.

Sesungguhnya Allah dengan sifatnya yang pemurah penyayang dan amat mendengar permintaan hambanya sesampainya saya di kampung abang ipar saya telah menyimpankan 5 biji durian (dari 7 biji durian yang dikumpulnya pagi tadi, 2 biji dimakan tupai beliau kata jangan ambil) - katanya rezeki siapa yang balik hari ini. So...itu rezeki kami - Alhamdulillah.

Gembira mendapat habuan buah durian untuk buka puasa saya juga kepochi melawat rumah baru biras (suami kepada kakak ipar yang baru bersara kerajaan ) baru siap pembinaan. Rumah beliau dibina atas tanah pusaka berhadapan rumah pusaka mertua (mereka berjiran). Saya amat teruja semuga mereka sekeluarga pindah masuk rumah baru sebelum sambutan Aidil Fitri. Boleh kami tumpang beraya dirumah baru...hehe!

Sempat juga saya beri nama dan nombor telefon syarikat perkhidmatan yang boleh bantu urusan mencuci rumah dan lanskap bagi penambahbaikan rumah baru mereka. Supaya usaha kecil ini dapat menggembirakan dan memudahkan urusan mereka.

Mengimbau kembali suasana di Kg Kepayang Fair Park Ipoh timbul rasa sayu dihati kerana generasi bapa/emak mertua serta adik beradiknya sudah tiada. Begitu juga dengan kakak ipar sulung dan suaminya yang tinggal berdekatan. Kini tinggal kami adik beradik meneruskan kehidupan untuk anak-anak pula. Semuga Allah mencucuri rahmat dan roh mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Untuk tidak terlalu mengikut emosi hari ini sesi santai di kampung ialah mengikuti semula Tradisi Kg Kepayang Fair Park Ipoh sejak saya kenali iaitu - berbuka puasa dengan kanji yang dimasak secara gotong royong di Masjid dan diagih-agihkan kepada penduduk kampung. (Di sini sebutannya kanji aka bubur nasi/bubur lambok di Kg Baru Kuala Lumpur).

Rasa dan nikmat kanji masih seperti dahulu...cuma saya rindukan kanji yang suatu masa dulu dimasak di Masjid oleh bapa dan emak mertua saya. Saya juga rindukan keenakkan "Rendang Tok' emak mertua yang arwah emak saya pun suka. Mesti anda tertanya-tanya kenapa bercerita bapa/emak mertua ni....?

Jawapannya...hari ini saya terbayang susuk tubuh emak mertua berkebaya labuh tersenyum membuka gril pintu rumah menyambut kepulangan kami.......(sungguh syahdu dan terharu..tidak pernah saya mengalami perasaan seperti ini...dan Big Boss pun tidak tahu mengenai ini. Semuga rohnya tenang di sana)

Kami berbuka dan bermalam di rumah Ipoh. Esok pagi kami akan menjemput Nur Aina Shahira yang balik bercuti semester - UTM Skudai selama tiga bulan. Beliau balik dengan menaiki penerbangan Malindo Air dari Lapangan Terbang Senai Johor ke Ipoh.

25/6/2015 - Khamis
8 Ramadan 1436H
Solat Subuh kami berjemaah berdua di rumah Ipoh selesai solat-solat sunat dan bersahur.

Kami ke Lapangan Terbang Ipoh dan kapal terbang mendarat pukul 11.30 pagi. Aktiviti kami seterusnya untuk menziarahi Kakak Big Boss Mazwan Harun di Hospital RBB Ipoh pada pukul 12.30 tengahari. Beliau mengalami komplikasi pada luka di kaki selepas pembedahan pintasan jantung. Kami ke Kg Kepayang Fair Park dahulu memandangkan masih terlalu awal waktu lawatan.

Keadaan kesihatan kakak ipar saya amat tidak memberansangkan. Keadaan hospital pula sesak dengan pesakit yang ramai dan agak panas.

Saya hanya mampu berdoa semuga beliau cepat sembuh dan Allah memberi kesabaran kepada kakak ipar saya.

Kami pulang ke Seri Manjung petang itu juga dan berpeluang berbuka empat beranak bersama Muhammad Azeem dan Nur Aina yang bercuti.

26/9/2015 - Jumaat
9 Ramadan 1436H
Rutin pagi saya seperti biasa dan bersahur pukul 5.00 pagi
Hari ini ke pejabat Setiausaha Syarikat untuk mengambil dokumen syarikat yang saya tubuhkan bagi proses membuka akaun semasa.

Saya juga membuat semakan akaun bagi memastikan pemulangan bayaran dari Intratama Sdn Bhd - Pelayaran Islamik yang saya batalkan pada 2-6/2/2015. Pembatalan disebabkan saya di masukkan ke hospital pada 27/1/2015-2/2/2015 kerana Gastrik. Alhamdulillah.

Sebelah petangnya pula saya meminta Penilai Hartanah untuk menilai rumah jiran untuk dijual.

27/6/2015 - Sabtu
10 Ramadan 1436H
Hujan pagi di Seri Manjung. Aktiviti hari ini - menghadirkan diri untuk Kursus Menjahit Jubah bersama Cikgu Yasalma. Satu ilmu baru cara memotong dasar dan menjahit pakaian. Lebih mudah dan praktikal. Terima kasih Cikgu kerana berkongsi ilmu.

Petang pula dipenuhi dengan menyediakan juadah berbuka untuk keluarga. Tidak lupa aktiviti membaca Al-Quran dan perkara-perkara sunat bersesuaian dengan bulan Ramadan yang penuh barakah.

28/6/2015 - Ahad
11 Ramadan 1436H
Rutin pagi Ramadan. Solat Fardhu Subuh berjemaah diikuti Kuliah Subuh oleh Ustaz Yusof di Masjid Salahudin Taman Desa Bayu.

Pada waktu petang ke Hospital RPB Ipoh semula. Saya meminta seseorang untuk mengubati kakak ipar saya secara SYIFA. Selesai urusan kami balik semula ke Seri Manjung tepat waktu untuk berbuka. Alhamdulillah.

29/6/2015 - Isnin
12 Ramadan 1436H
Rutin pagi Ramadan. Hari ini saya peruntukan untuk menyelesaikan kerja-kerja rumah yang tertangguh dan membeli barangan keperluan dapur.

Disamping itu saya menghubungi seorang kontraktor untuk memasang kabinet pakaian pasang siap untuk tiga bilik anak saya sebelum Hari Raya.

30/6/2015 - Selasa
13 Ramadan 1436H
Hari ini genap sebulan saya menjadi YB-Yang Bersara. Rasa macam baru sahaja posting last 'thumb out' di Bank. Juga belum lagi rasa seperti sudah bersara.

Ada kalanya terasa kehidupan saya lebih sibuk dari dahulu tetapi tidak nampak hasil dari kesibukan yang dilalui. Adakah saya buat perancangan yang salah?

Mengimbau satu bulan perjalanan hidup sebagai YB impian IMKK yang telah tercapai ialah:

1. 5 hujung minggu menghadiri program yang dirancangkan untuk 
   memajukan diri sendiri selepas persaraan.

2. Memasak untuk suami/keluarga berbuka/bersahur di bulan Ramadan 
   (rutin yang sama semenjak jadi YB untuk menggantikan masa yang  
   tertinggal dahulu).

3. Mengimarahkan bulan Ramadan dengan Tadarus dan Terawih (walaupun 
   tidak berjemaah di Masjid setelah batuk demam dan selsema sejak 
   awal puasa seperti tahun sebelumnya).

4. Bersama-sama Big Boss solat Maghrib (jemaah selepas berbuka di 
   rumah) dan Subuh berjemaah di Masjid diikuti dengan Tadarus 
   sesampai di rumah sehingga pukul 7.00 pagi dan seterusnya solat 
   Dhuha serta urusan rumahtangga yang lain. Pukul 9.00 pagi 
   memulakan tugasan pejabat di rumah (home office).

5. Rutin harian yang lebih teratur seminggu yang lepas walaupun 
   selalu saya katakan masih menghadapi masalah pengurusan masa.

6. Punya ruang masa yang fleksibel dan tiada kengkangan. Pada masa 
   ini Kakak Ipar saya Mazuan berada di Hospital RPB Ipoh akibat 
   jangkitan kuman luka kaki selepas diambil urat untuk pembedahan 
   pintasan jantung pada 7/5/2015. Sekiranya masih bekerja saya dan 
   Big Boss tidak punya masa untuk berulang alik Seri Manjung-Ipoh.

7. Membuat pengurusan kewangan dan perbelanjaan diri sendiri yang 
   lebih berhemah untuk masa hadapan dalam keadaan ekonomi yang 
   tidak menentu. Bertindak cepat untuk hasil yang lebih baik.

8. Merancang persiapan Raya untuk menggembirakan anak-anak sempena 
   cuti semester yang panjang.

Esok permulaan Penilaian Indeks Pencapaian Persaraan saya. Untuk hasil yang cemerlang perlu satu TINDAKAN yang bergaya. Dimana tahap hidup saya seterusnya adalah mengikut tindakan saya bermula esok.


No comments:

Post a Comment