Wednesday 9 November 2016

PERJALANAN PERSARAAN SAYA

CATATAN HARIAN

Teks : Zaliha Yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA

Saya menerima surat kelulusan permohonan 'Voluntary Separation Scheme'(VSS) secara rasmi dari pihak Bank pada 17/4/2015. Sehari sebelum itu saya telahpun membuat sujud syukur permohonan saya diluluskan apabila Pengurus Kawasan Utara menghubungi melalui telefon surat kelulusan saya yang dialamatkan ke Pejabat Pengurus Kawasan Utara di Pulau  Pinang. Jawatan saya ketika itu ialah sebagai Pengurus Perkhidmatan Deposit Negeri Perak bertugas di Ipoh.

Semua kakitangan telah sedia maklum tarikh akhir bertugas bagi kakitangan Pemberhentian Secara Sukarela ialah 31/5/2015. Saya ada secara tepat 28 hari berkerja untuk melaksanakn tugasan yang perlu diselesaikan sebelum menamatkan perkhidmatan.

Surat kelulusan tersebut telah memudahkan untuk membuat perancangan dan saya juga berazam untuk bekerja sendiri selepas persaraan.

Saya telah mendaftar untuk menghadir Program Intensif Magnet Kejayaan dan Kekayaan Dr Azizan Osman 30/4/2015-3/5/2015 di Wisma MCA Jalan Ampang. Suami (Big Boss) dan anak-anak mengambil kesempatan bersama berkumpul dan bercuti sempena cuti Hari Buruh dan Hari Vesak . Kami menginap di Corus Hotel. Saya menghadiri Program mereka berjalan-jalan di Bandaraya Kuala Lumpur. Kesempatan dan peluang sebegini jarang kami perolehi.

Selesai program saya bertugas seperti biasa menghadiri mesyuarat di Pejabat Pengurus Kawasan, menganjurkan Seminar Kesedaran Kewangan Islam dan berjumpa pelanggan untuk mempromosi Perbankan Internet Korporat.

Hari terakhir saya bertugas di Bank Muamalat Malaysia Berhad ialah hari Jumaat 29/5/2015. Pada hari tersebut telah diadakan mesyuarat Penolong Pengurus Cawangan Kawasan Utara di Pejabat Wilayah Utara Georgetown Pulau Pinang. Pada mesyuarat tersebut juga telah diadakan jamuan perpisahan untuk kami, enam orang Penolong Pengurus Cawangan dan dua kakitangan Pejabat Pengurus Kawasan termasuk saya yang akan bersara. 

Inilah ketika yang saya tunggu-tunggu untuk menamatkan perkhidmatan dengan majikan setelah berkhidmat selama 16 tahun.

'Thumb Out' 5.33 petang 29/5/2015 pada hari terakhir bertugas di Pejabat Wilayah Utara Bank Muamalat Malaysia Berhad Lebuh Pantai 10300 Georgetown Pulau Pinang.



Setelah bersalaman dengan rakan-rakan saya ke Alor Star untuk menghadiri Program Real Real Estate Negotiation pada 30-31/5/2015 anjuran IM Global Properties Sdn Bhd. Program ini ialah perancangan persaraan saya yang kedua untuk melibatkan diri  di dalam bidang Hartanah.

Dari Georgetown saya menumpang kereta Puan Azril Timbalan Pengurus Cawangan Seberang Jaya yang baru dilantik. Beliau menurunkan saya di Masjid Seberang Jaya. Big Boss sudah sedia menunggu di situ.  Saya bersama Big Boss meneruskan perjalanan ke Alor Star dan kami bermalam di Hotel Holiday Villa selama dua hari. 

Diluar pengetahuan saya sesi program dua hari tersebut turut dihadiri oleh En Mamduh Mohd Zain mantan Eksekutif Jualan yang juga bersara secara sukarela dan seorang lagi Pengurus Cawangan yang masih bertugas di Bank.

Bersambung....



No comments:

Post a Comment