Wednesday 9 November 2016

ABANG KEMALANGAN - 12/9/2015

PENGALAMAN/KENANGAN

Teks : Zaliha Yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA

Sabtu – 12/9/2015
28 Zulkaedah 1436H

Hari ini Azeem ke Kuala Lumpur mencari bilik untuk sewa di sekitar Petaling Jaya. Dia mendapat tawaran bekerja di sebuah syarikat swasta dan akan memulakan kerja pada 28/9/2015. Dia keluar awal untuk menaiki ETS dari Batu Gajah ke KL Sentral. Aliff akan membantunya mencari bilik yang sesuai selepas waktu pejabat petang ini.

Untuk sarapan pagi saya memasak Cekodok, Lempeng Pisang dan Nasi Goreng. Saya menyiapkan kerja rumah awal. Hari ini ada undangan ke majlis perkahwinan di sebelah rumah saya. Rumah sebelah yang dinamakan Astana Idaman telah dijadikan sebagai tempat mengadakan majlis perkahwinan yang diaturkan oleh Perancang Perkahwinan terkenal di Daerah Manjung. Menjadi rezeki kami akan sentiasa dijemput hampir setiap kali majlis perkahwinan diadakan disitu.

Selesai menghadiri majlis tersebut kami hanya lepak di rumah melayan cerita Hindustan di TV3. Tiada banyak aktiviti dapat dilakukan di rumah kerana banyak kereta pakir di hadapan rumah dan selain dari itu bunyi muzik yang bising dari majlis sebelah sedikit sebanyak mengganggu ketenteraman jiran-jiran sekeliling.

Sambil menonton televisyen saya membaca dan membalas mesej Whatsapp di telefon bimbit. Tiba-tiba saya terbaca mesej dari grup keluarga Yaya anak saudara saya memberitahu dia di dalam perjalanan balik ke kampung bapa kemalangan. Dan tertera juga dua gambar lelaki kemalangan yang agak serius. Pada mulanya saya mengandaikan bukan abang saya yang kemalangan. Setelah diteliti dan membuat pengesahan dengan Yaya baru saya pasti abang adalah mangsa kemalangan tersebut.

Saya amat terkejut dan terus menunjukkan kepada Big Boss gambar tersebut. Kami bergegas pergi dan sampai ke Hospital Teluk Intan pukul 6.30 petang. Abang di rawat di Wad Kecemasan. Isteri, semua anak-anaknya, Abang Din dan Isteri dan sepupu suami isteri telah berada di tempat menunggu. Pukul 8.00 malam kami dipanggil masuk bertemu doktor. Kami dimaklumkan kaki Abang tidak dapat diselamatkan dan perlu dipotong secepat mungkin. Pihak Hospital memerlukan kebenaran dari waris untuk melakukan pembedahan secepat mungkin.


Kami tiada pilihan dan terus memberi kebenaran. Pukul 12.00 tengah malam Abang dipindahkan ke Bilik Pembedahan. Hanya Kakak Ipar dan dua anaknya dibenarkan untuk berada ditempat menunggu. Memandangkan tempat yang terhad kami mengambil keputusan untuk balik ke Manjung dan berjanji akan datang semula esok pagi. Kami sampai ke rumah pukl 1.15 pagi.

No comments:

Post a Comment