Wednesday 9 November 2016

AKTIVITI 1/9/2015

CATATAN HARIAN

Teks : Zaliha Yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA
Selasa – 1/9/2015
17 Zulkaedah 1436H
Hari ini Kumpulan Yaasin mengadakan bacaan Yaasin di rumah buat pertama kalinya selepas saya bersara. Untuk itu saya bangun pukul 5.00 pagi untuk solat-solat sunat, beberapa persiapan mengemas rumah yang diperlukan kerana berada di Seremban semalam dan seterusnya solat Subuh. Untuk hidangan kepada anggaran 35 orang tetamu saya telah membuat tempahan Nasi Lemak Sambal Tumis Sotong dan minuman teh panas. Saya juga agak teruja kerana akan mengadakan perkongsian ilmu kepada yang hadir mengenai Perancangan dan Pengurusan Harta dan Pusaka. 

Sebelum kehadiran tetamu saya telah meminta Aina menyediakan sambungan komputer untuk sesi penerangan dipaparkan ke televisyen. Saya berharap dengan adanya paparan penerangan menggunakan media interaktif begini akan lebih memudahkan kefahaman perkongsian ilmu tersebut dengan para jemaah.

Pagi ini saya hanya mampu melakukan solat Dhuha 8 rakaat kerana tetamu telah hadir seawal 8.30 pagi. Tepat pukul 9.00 pagi ‘Team Leader’ kami memulakan majlis dengan sedikit tazkirah dan diikuti dengan Bacaan Yaasin. Seramai lebih kurang dua puluh lima ahli hadir ke rumah saya hari ini. Ada juga beberapa orang yang membawa kuih muih ke rumah saya. Selesai bacaan Yaasin tetamu menjamu selera Nasi Lemak yang dihidangkan dan sambil makan saya pun memulakan sesi penerangan Perancangan dan Pengurusan Harta dan Pusaka. Ada tetamu yang balik awal kerana ada urusan lain dan ramai juga yang tinggal berminat untuk mengetahui mengenai harta dan pusaka.

Saya mulakan sesi penerangan dengan paparan di skrin televisyen kepentingan individu untuk membuat perancangan harta mereka sebelum meninggal dunia, hak-hak isteri dan waris mengikut pembahagian di dalam hukum faraid serta bagaimana mengelakkan perbalahan dikalangan waris-waris simati.

Secara keseluruhannya ahli kumpulan saya sedia maklum kepentingan untuk membuat perancangan dan pengurusan harta dan tidak mempertikaikan usaha yang saya buat.  Mereka juga mengakui pengurusan harta pusaka ialah satu proses yang rumit, mengambil masa yang panjang dan melibatkan kos yang tinggi. Pandangan ini berdasarkan maklum balas yang berpengalaman menguruskan harta pusaka ibubapa mereka.

Tetamu beredar pukul 12.00 tengahari dan ada yang membawa pulang Nasi Lemak dan Sambal Sotong yang masih berbaki. Saya bersama Faridah berbual seketika kerana bukan mudah untuk kami mempunyai masa yang lama untuk bersama kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab kepada keluarga.

Tugasan saya seterusnya untuk mengemas apa yang perlu setelah selesai majlis. Selesai solat Zuhur saya mengemaskini ‘home office’ dan hari ini saya juga berazam melanggan dan mengisi borang Al-Wasitah untuk diri sendiri. Untuk tujuan itu saya perlu mendapatkan salinan kad pengenalan Alia dan Aliff.

Sementara menunggu dokumen yang lengkap saya mengalihkan perhatian kepada ‘E-Learning’ pelancaran Saham Amanah Baru oleh Public Mutual Bank Berhad. Sebagai seorang Perunding Saham Amanah saya wajib memahami dan lulus soalan semua Unit Amanah baru yang dilancarkan oleh pihak Public Mutual Berhad (PMB). Keperluan ini bagi memastikan kelangsungan keperluan ‘CPD points’ dan jualan minima setiap tahun yang ditetapkan oleh PMB.


Setiap hari saya memastikan tugasan di ‘home Office’ selesai tepat pukul 5.00 petang.

No comments:

Post a Comment