Wednesday 9 November 2016

AKTIVITI 19/8/2015

CATATAN HARIAN

Teks : Zaliha Yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA

19/8/2015 – Rabu
4 Zulkaedah 1436H
Sehingga ketahap ini saya masih mampu mengekalkan bangun awal seperti di bulan Ramadan dan solat Subuh berjemaah di Masjid. Pagi ini Big Boss ke pasar membeli ikan dan sayur-sayuran. Menjadi tugas saya untuk membersihkan dan menyimpan barang-barang yang dibeli. Saya masak Mee Goreng dan Cucur Pisang untuk sarapan pagi. 

Saya perlu melakukan sesuatu untuk meningkatkan promosi perniagaan yang saya usahakan untuk mendapatkan hasil yang diharapkan. Dari senarai semak saya masih belum mempunyai’Business Card’ untuk syarikat, FB page, Website dan juga Blog. Saya juga perlu mengetahui cara untuk membuat Ebook dan sebagai. Perkara-perkara yang ditulis adalah sesuatu yang baru bagi diri saya. Saya perlu mencari kawan-kawan yang biasa membuat promosi produk dan sebagainya. Pagi itu saya membuat temujanji untuk bertemu Puan Zalina – ‘Sales Executive’Bank Muamalat Malaysia Berhad Cawangan Sitiawan.  Selain dari itu saya mahu mendapatkan maklum balas ‘flyers’ yang saya buat beberapa hari lepas dan mencari kedai untuk mencetak 'flyers' dengan kos yang lebih murah.
        
Semasa pertemuan itu saya juga berkenalan dengan Linda Eksekutif Jualan dari EON Seri Manjung yang membawa kami ke sebuah kedai mencetak ‘flyers’ berhampiran pejabatnya. Kami mendapatkan sebutharga dari kedai tersebut dan berjanji akan datang semula kemudian.

Pukul 12.00 tengahari saya balik ke rumah untuk masak makan tengahari Asam Pedas Ikan dan Ketam Goreng. Selesai solat Zuhur saya membuat temujanji untuk bertemu Azie tuanpunya Jalinan Qaseh. Saya ingin memperkenalkan Hibah Wasiyyah Shoppe kepada beliau. Beliau juga adalah alumni Dr Azizan Osman dan saya amat berharap agar beliau boleh menjadi mentor saya di dalam bidang perniagaan.

Pertemuan kami agak terbatas dan di dalam masa yang agak singkat kerana beliau agak-agak tergesa-gesa untuk balik ke rumah. Komen beliau ‘flyers’ saya orang tak akan baca kerana terlalu banyak tulisan dan tidak menarik minat orang untuk membaca. Dia mencadangkan kepada saya untuk membuat ‘flyers’ yang lebih menarik di SignCo. Beliau sememangnya menggunakan perkhidmatan SignCo untuk mencetak bahan promosi barangan yang dijual di kedainya.

Dalam pertemuan itu juga beliau memberitahu setiap perniagaan yang dijalankan mesti menghasilkan duit. Beliau turut menyarankan saya menjual produk dan bukan perkhidmatan untuk mendapatkan keuntungan yang luar biasa. Selain dari itu kos perkhidmatan yang saya tawarkan agak terlalu tinggi dan pelanggan akan berfikir berkali-kali sebelum membuat keputusan. Sebelum mengakhiri pertemuan tersebut beliau berjanji akan membantu saya mendapatkan satu produk yang boleh mendatangkan keuntungan yang tinggi.

Saya agak hampa dengan maklum balas yang diberi. Walau bagaimanapun saya menganggap itu sebagai satu ujian untuk lebih memperkasakan dan memantapkan diri mengubah cara pendekatan dan kehidupan pada masa akan datang. In Sha Allah.


Saya solat Maghrib berjemaah di masjid. Doa saya semuga Allah akan memudahkan usaha saya mengubah kepada hidup yang luarbiasa.

No comments:

Post a Comment