Wednesday 9 November 2016

AKTIVITI 21-26/7/2015

CATATAN HARIAN

Teks : Zaliha Yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA

21/7/2015 – Selasa
5 Syawal 1436H
Saya masih Berjaya mengekalkan rutin bangun awal di bulan Ramadan. Alhamdulillah masih istiqamah. Semuga Allah perkenan doa saya untuk hari- hari seterusnya.

Hari ini hari terakhir Alia dan Aliff bercuti. Esok mereka mula bertugas semula setelah bercuti untuk Hari Raya. Untuk sarapan pagi saya sediakan makanan untuk sarapan hingga makan tengahari sekali gus, Nasi Goreng, French Toast, Sambal Tumis Ikan Bilis, Masak Lemak Udang/Nenas dan Nasi Putih untuk anak-anak sementara mereka masih berada di rumah. Memasak sekali menjimatkan masa dan saya boleh beri tumpuan untuk perkara yang lain.

Azam saya setelah selesai Ramadan dan Hari Raya ialah untuk mengulang kaji dan mempraktikkan ilmu yang yang perolehi selepas persaraan. Sebagai permulaan saya menyusun dan mengemaskini nota- nota yang diperolehi semasa menghadiri Program IMKK, REN, MMM, IBC, Perancangan dan Pengurusan Harta dan Pusaka dan Menjahit Jubah Yasalma. Apabila semua tersusun ia akan lebih memudahkan saya untuk membuat proses ulangkaji tersebut.

Pada sebelah petang pula saya menyiapkan ‘Chocolate Nestum’ memandangkan stok biskut raya saya berbaki hanya sedikit. Selain dari itu dapat juga saya memulangkan bekas dengan biskut yang baru dimasak kepada jiran-jiran yang menghantar juadah hari raya.

Anak-anak apabila sudah bercuti panjang agak malas untuk balik bertugas. Begitu juga Alia dan Aliff mereka berpakat untuk balik 4.30 awal pagi esok dan terus ke pejabat. Saya pun suka juga dengan keputusan mereka dan tidaklah rumah tiba-tiba terasa sunyi apabila anak-anak masih ada di rumah.

22/7/2015 - Rabu
6 Syawal 1436H
Alia dan Aliff memulakan perjalanan balik bertugas pukul 4.30 pagi. Usai melepaskan mereka saya melakukan solat-solat sunat dan mengaji hingga azan subuh. Kami berjemaah Subuh di Masjid.

Untuk Sarapan pagi ini Big Boss belikan Roti Canai. Kami sudah kekurangan dua ahli dan tinggal kami bersama Azeem dan Aina. 

Jadual hari ini kami akan ke Ipoh menziarahi abang Big Boss yang dimasukkan ke Hospital RPB pada Hari Raya Kedua setelah bertahan sakit di rumah semenjak pertengahan Ramadan. Keadan beliau amat tidak memberansangkan. Walau bagaimana pun doktor pakar sudah membuat analisis dan rawatan yang akan dilakukan sepanjang tempoh di hospital. Besar kemungkinan pesakit akan dipindahkan ke Hospital Kuala Lumur Jumaat ini untuk rawatan lanjut. Doa kami semuga Allah permudahkan semua urusan dan pesakit akan sembuh seperti sediakala.

Kami mengambil peluang berada di Ipoh untuk berhari raya di rumah adik beradik yang lain dan jiran-jiran di Taman Meru dan balik semula ke Seri Manjung pukul 7.00 malam.

23/7/2015 – Khamis
7 Syawal 1436H
Hari ini rutim seperti biasa. Saya membuat persiapan untuk menghadiri program ‘Kausar Sales System’ pada 8-9/8/2015 di PKNS Biz Point Shah Alam. Program ini lanjutan dari Kursus Asas Perancangan dan Pengurusan Harta dan Pusaka Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd.

Pada malamnya pula kami menerima kunjungan dari Ayong dan isteri anak bungsu abang sulung saya yang berkerja di Nadi Agrobase dan sepupu Big Boss bersama anak-anak mereka. Juadah yang disediakan untuk mereka ialah Sphagetti dan kuih raya.

24/7/2015 – Jumaat
8 Syawal 1436H
Hari ini kami menjemput kakitangan BMMB Seri Manjung untuk makan tengahari di rumah sempena Hari Raya. Saya bangun lebih awal membuat persiapan menu tengahari Nasi Putih, Masak Lemak Nenas Ikan Masin, Sambal Tumis Ikan Bilis, Ayam Goreng, Agar-agar Santan dan ‘Marble Cake’.

Saya turut menjemput jiran saya Faridah dan kawan peguam saya Noraini. Selain dari tetamu yang dijemput kami juga menerima kunjungan jiran dan rakan Bank dari Ipoh En Yusri dan keluarga yang kebetulan melawat anak mereka yang jatuh motor pada hari Khamis.

Pada sebelah petang saya juga menghubungi sahabat baik saya Kartini di Kota Bharu yang akan menunaikan Fardhu Haji pada 18/8/2015.

25/7/2015 – Sabtu
9 Syawal 1436H
Minggu ini sudah bermula undangan Doa Selamat dari jiran dan sahabat handai yang akan ke Mekah menunaikan Fardhu Haji.

Selepas Isyak Big Boss menghadiri majlis Aqiqah dan doa selamat menunaikan Fardhu Haji di rumah Ustaz Fuad.

26/7/2015 – Ahad
10 Syawal 1436H
Usai Solat Subuh berjemaah diadakan Kuliah Subuh bersama Ustaz Yusof dari Nadi Agrobase. 

Kami membeli makanan dari Pasar Tani untuk sarapan pagi ini. Selesai  bersarapan jiran baik kami Puan Habibah menjemput untuk jamuan Hari Raya. Kami ke majlis doa selamat dan bacaan Yaasin jiran En Hasbullah dan isteri yang akan menunaikan Fardhu Haji dahulu. Setelah selesai majlis kami ke rumah Puan Siti Rohaya selang sebuah dari rumah En hasbullah untuk berhari raya dan melawat rumah baru beliau.

Seterusnya kami ke rumah Puan Habibah untuk jamuan hari raya pula. 

Hujung minggu Hari Raya dipenuhi dengan jemputan jamuan hari raya dan doa selamat mampu mengugat selera makan saya.



No comments:

Post a Comment