Wednesday 9 November 2016

AKTIVITI 1-10/8/2015

CATATAN HARIAN

Teks : Zaliha Yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA

1/8/2015 – Sabtu
16 Syawal 1436H
Hari ini sepatutnya hari terakhir kami berpuasa sunat Syawal dan esok kami akan berhari raya. Perjuangan berpuasa diteruskan oleh Big Boss sahaja kerana saya uzur syarie. Selama ini saya menganggap diri dalam kategori ‘menopause’ kerana dapat berpuasa sepanjang bulan Ramadan tetapi sebaliknya pula berlaku. Saya redha dengan ketentuan Allah swt.

Kami ke Giant membawa Azeem untuk membeli pakaian menghadiri temuduga pada hari Selasa di Cyberjaya.

Selesai Big Boss berbuka  dan selepas solat Isyak kami menghadiri kenduri Aqiqah jiran cucu Haji Suhil dan Hajjah Rashidah.

2/8/2015 – Ahad
17 Syawal 1436H
Kami bersarapan pagi tiga beranak di Permatang. Saya memesan Nasi Lemak Kari Ikan, Big Boss Mee Kari dan Azeem Nasi Goreng Ayam. 

Tengahari En Azizul Azman sekeluarga berhari raya di rumah kami usai menghadiri undangan kenduri perkahwinan. Saya menghidangkan mereka kuih raya, Nugget dan French Fries.

3/8/2015 – Isnin
18 Syawal 1436H
Jadual hari ini saya perlu menghadiri majlis jamuan Hari Raya di Kausar Wealth Management Sdn Bhd di Shah Alam. Kami memulakan perjalanan pukul 5.10 pagi dan solat Subuh di Masjid Padang Tembak. Pukul 7.30 pagi kami bersarapan di Ulu Bernam dan sampai ke Seksyen 7 Shah Alam tepat pukul 9.00 pagi. Big Boss dan Azeem ‘checked-in’ untuk empat jam di Best View Hotel.

Majlis belum bermula tetapi sudah ramai tetamu yang hadir ke majlis tersebut. Majlis dimulakan dengan sesi ‘Business Opportunity Program’ oleh En Khamarul Hisham. Tetamu kehormat majlis Dato Sheikh Muzzafar Shukor Duta Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd hadir untuk merasmikan Kausar Wealth Management Sdn Bhd dan diikuti dengan jamuan Hari Raya. Majlis bersurai pukul 1.15 tengahri.

Selesai majlis kami ke rumah biras di Pangsapuri Permata Seksyen 9 Shah Alam atas jemputan kakak ipar saya. Pada asalnya kami ingin bermalam di situ tetapi membatalkan rancangan memandangkan keadaan rumah yang penuh dengan barang-barang mereka yang belum di bawa ke rumah baru mereka di Ipoh. 

Kami beredar mencari hotel untuk bermalam malam ini di kawasan Plaza Masalam dan ‘checked-in’ di DD Hotel. Sebelah malamnya saya membuat temujanji untuk makan malam di Restoran Nasi Arab bersama kawan-kawan saya R Asmawati, Suraiya dan Noor Aini Hayati. Kami bersekolah menengah bersama. Noor Aini Hayati pula sudah lebih 30 tahun tidak bersua muka tetapi selalu bersembang melalui grup WA.

Big Boss bersama Aliff dan Azeem makan malam di kedai lain dan mereka kemudian ke padang Masjid Shah Alam untuk bermain’Drone’. Alia datang lewat malam itu untuk bermalam bersama kami setelah selesai tugasan di pejabat. Saya amat simpati dengan Alia yang menanggung tugasan yang berat semuga beliau berjaya mendapat kerja di tempat yang lain. 

4/8/2015 – Selasa
19 Syawal 1436H
Agenda utama hari ini menghantar Azeem menghadiri temuduga di Cyberjaya. Kami ‘checked-out’ dari hotel pukul 7.00 pagi. Alia dan Aliff keluar lebih awal untuk ke pejabat masing-masing. Perjalanan dari Seksyen 7 Shah Alam ke Cyberjaya mengambil masa 50 minit sahaja. Kami sampai awal sebelum pejabat dibuka dan bersarapan di sebuah kedai berhampiran tempat temuduga.

Temuduga dijalankan pukul 8.30 pagi. Sepanjang waktu temuduga saya dan Big Boss lepak disekitar kawasan Cyberjaya membaca surat khabar sehingga pukul 10.35 pagi. Destinasi kami seterusnya sementara masih di Kuala Lumpur ialah untuk menziarahi abang Big Boss yang sudah dipindahkan dari Hospital RPB Ipoh dan berada di Hospital Kuala Lumpur semenjak 23/7/2015.

Waktu melawat di Hospital Kuala Lumpur ialah pukul 12.30 tengahari. Kami sampai pukul 11.45 pagi dan terus ke Kafeteria untuk makan tengahari sehingga hospital dibuka untuk lawatan.

Kami menziarahi abang Big Boss di Wad 3 Tingkat 3 Katil 13 sehingga 1.05 tengahari terus balik ke Seri Manjung dan sampai rumah pukul 4.35 petang.

5/8/2015 – Rabu
20 Syawal 1436H
Hari ini Big Boss ke Hospital Pakar KPJ Ipoh untuk rawatan kesihatan bulanan. Kami sampai hospital pukul 9.00 pagi. Selesai rawatan kami ke Farmasi Tiara untuk membeli ubat-ubatan, singgah Kg Kepayang dan balik ke rumah Taman Meru. Saya mengambil peluang untuk operasi mengemas rumah dan membuang sampah. 

Kami makan tengahari di Greentown Mall, solat Asar di Masjid Hospital dan balik semula ke Seri Manjung. Sebelum sampai ke rumah kami singgah di AEON Seri Manjung untuk membelikan Alia dan Azeem ‘Travel Bag’. Alia akan bertugas dengan majikan baru dan dihantar ke Paris awal bulan September. Azeem pula akan mula bekerja dan akan bertugas di Petaling Jaya.

6/8/2015 – Khamis
21 Syawal 1436H
Hari ini saya membuat tempahan penginapan di Tree Hotel Seksyen 7 Shah Alam bagi menghadiri Kausar Sales System 8-9/8/2015. Rutin harian seperti biasa hari ini.

7/8/2015 – Jumaat
22 Syawal1436H
Pagi ini kami menerima kunjungan tetamu Puan Nor Azian ‘classmate’ Big Boss yang datang ke rumah untuk menjemput kenduri kahwin anaknya pada 30/8/2015. Beliau membawakan kami Roti Canai istimewa dari sebuah kedai di Sg Wangi. Kami hidangkan Mee Goreng, Cucur Kodok dan Cempedak Goreng pula untuk beliau. Kami bersarapan bersama dengan juadah yang boleh dikongsi enam orang sehingga pukul 11.00 pagi.

Saya bersiap sedia barangan untuk bermusafir ke Shah Alam petang ini sementara Big Boss bersembahyang Jumaat. Jadual perjalanan saya bermula pukul 2.45 petang ke rumah Datin Khariah yang akan menerima menantu esok hari 8/8/2015. Oleh kerana esok saya berada di Shah Alam saya hadir ke rumah beliau petang sehari sebelum hari kenduri.Dari rumah Datin Khariah saya ke majlis pernikahan anak kawan baik sekolah saya Puan Haliza hari kenduri anak beliau esok juga. Pukul 6.00 petang saya meneruskan perjalanan dan sampai ke hotel di Shah Alam pukul 8.30 malam. Alhamdulillah.

Untuk makluman saya menerima tidak kurang dari 6 undangan perkahwinan bertarikh 8/8/2015. Big Boss mengambil alih tugas menghadiri semua undangan jiran di Seri Manjung.

Pada sebelah malam saya menerima panggilan dari Puan Halimatun Saadiah memaklumkan Rosmah Shafie telah dimasukkan ke Hospital Angkatan Tentera Lumut kerana mengidap kencing manis. Mereka berdua kawan sekolah saya. Saya dimaklumkan kerana tinggal berdekatan dengan hospital tersebut. Saya berjanji untuk menziarahi Rosmah apabila selesai program saya di Shah Alam.

8/8/2015 – Sabtu
23 Syawal 1436H
Saya hadir pukul 8.05 pagi  untuk Program ‘Kausar Sales System’ pada hari pertama. Kursus yang hadiri sangat padat dan memerlukan konsentrasi yang tinggi. Peserta Kursus juga perlu membuat kerja rumah pada malam harinya.

9/8/2015 – Ahad
24 Syawal 1436H
Program ‘Kausar Sales System’ hari kedua.

10/8/2015 – Isnin
25 Syawal 1436H
Hari terkahir Program. Pada sebelah petang diadakan sesi penyampaian hadiah kepada para peserta. Saya mendapat hadiah/hamper ‘Pelajar Terbaik’ pada petang itu. Alhamdulillah.


Pukul 7.00 malam saya memulakan perjalanan balik ke Seri Manjung, solat Maghrib di Rawang dan sampai ke rumah pukul 10.30 malam.

No comments:

Post a Comment