Wednesday 9 November 2016

AKTIVITI 28/8/2015

CATATAN HARIAN

Teks : Zaliha Yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA

28/8/2015 – Jumaat
13 Zulkaedah 1436H
Di Masjid Taman Desa Bayu setiap hari Jumaat solat Subuh berjemaah sekiranya di imamkan oleh Ustaz Nazri akan dibacakan Surah As-Sajadah dan akan dilakukan Sujud Sajadah. Saya pun membiasakan diri usai solat Subuh berjemaah untuk membaca Surah Al-Kahfi di rumah.

Hujung minggu ini sempena cuti sambutan Hari Kemerdekaan sehingga hari Isnin saya menerima Sembilan (9) undangan ke majlis perkahwinan dan aqiqah. Bermula dengan tiga jiran di Taman Desa Bayu, anak Puan Junaidah kawan sekolah di kampong, Rahayu bekas rakan kakitangan Bank Muamalat di Sg Besar, dua jiran dan rakan sekolah/sejawat Bank Bumiputra di Ipoh, kenduri Aqiqah cucu saudara di Kg Kepayang Fair Park dan rakan sekolah suami di Seremban Negeri Sembilan.

Saya sudah menyusun jadual untuk cuba memenuhi semua undangan tersebut. Pukul 11.30 pagi saya mula menyediakan juadah Masak Kari Ikan Pari dan Sambal untuk makan tengahari. Saya akan hadir awal dari tarikh majlis ke undangan Rahayu di Sg Besar dan Puan Junaidah di Parit 11 Hutan Melintang.

Pukul 2.15 petang usai Big Boss dan Azeem solat Jumaat saya dan Aina  memulakan perjalanan. Sampai di rumah undangan yang pertama tepat pukul 4.00 petang. Rumahnya agak sunyi kerana saudara mara Rahayu hanya akan sampai selepas habis sesi persekolahan petang Jumaat. Kami dilayan dengan mesra oleh ibubapa pengantin sambil dihidangkan kerepek dan makanan ringan yang lain. Dalam hati saya berkata dalam tempoh masa 1/2 jam boleh terus ke rumah kedua pula dan boleh la balik awal ke Seri Manjung. Lagipun perut kami masih kenyang selepas makan tengahari.

Bagaimanapun jangkaan kami meleset. Tidak lama selepas itu kami dihidangkan dengan Nasi Putih, Ikan Bawal masak cuka, Ayam Goreng, Sayur Kailan Goreng, Ulam-ulaman dan sambal.

Demi menjaga hati tuan rumah yang bersungguh-sungguh menghidangkan makanan kamipun makan dan tambah sekali makanan yang dihidangkan. Sungguhpun sudah tambah mereka masih mengatakan saya malu untuk makan di rumah mereka. Sebenarnya tidak begitu. Saya kena simpan ruang untuk rumah undangan yang kedua.

Dari Sg Besar pukul 5 petang sampai rumah Puan Jun pukul 6 petang. Cuaca petang mendung pula. Saya dihidangkan dengan Nasi Tomato Ayam Masak Merah dan Jelatah. Ramai kaun kerabat yang rewang pada masa itu. Ada berbagai kuih muih seperti kuih kasui, kek bahulu lapis jem (merah/krim) dan 2/3 jenis yang lain.

Yang menarik perhatian saya ialah kek bahulu lapis jem tersebut. Ia mengimbau kembali kenangan bersama arwah emak. Itulah pertama kali saya mengenali kek untuk hari raya sebelum diperkenalkan dengan kek bermentega dan sebagainya.

Kalau makan Kek Lapis Jem pada masa itu, saya rasa ‘HEAVEN’ sangat. Kami hanya memakan kuih muih (yang berbagai) sahaja. Tuan rumahnya pula agak kecewa kerana saya tidak dapat hadir hari kenduri (Ahad) dan tidak pula menjamah nasi tomato yang dihidangkan.

Apabila meminta diri untuk pulang saya telah dibekalkan dengan Acar Buah dan Kek Lapis Jem tersebut selain dari goody bag pengantin. Alhamdulillah. 

Dari rumah undangan kedua kami singgah ke Kg Baru untuk solat Asar dan dihidangkan pula dengan kuih raya/kacang yang masih ada. Saya hanya minum teh susu yang kakak Ipar saya hidangkan. Aina pula dibekalkan moist chocolate kek yang mereka perolehi dari kenduri dari tempat lain.

Kami sampai ke rumah pukul 7.50 malam. Big Boss telah selesai memasak 8 batang lemang. Tugasan saya malam itu untuk memasak rendang ayam kampung empat ekor semuanya. Saya memasak rendang setelah selesai solat Isyak. Lemang dan rendang akan kami dibawa balik ke Kg Kepayang makan-makan bersama adik beradik.


Aliff mengambil peluang cuti panjang hujung minggu balik ke Seri Manjung dan sampai ke rumah pukul 10.00 malam. Saya hidangkan beliau lemang dengan Kari Ikan Pari lauk tengahari untuk makan malam. Rendang ayam saya siap masak pukul 11.00 malam. Selesai mandi saya terus masuk tidur.

No comments:

Post a Comment