Wednesday 30 September 2015

KERJAYA DI BBMB - 30/9/2015

PENGALAMAN/KENANGAN

Teks : Zaliha Yeop

KERJAYA DI BBMB

Saya ditugaskan sebagai Pegawai Kiriman Wang dan ATM semasa di Cawangan Medan Kidd. Pada tahun tersebut pasaran saham sangat aktif dan banyak permohonan Cek Bank untuk pembelian terbitan yang baru. Saya bertugas dengan tiga Pengurus Cawangan yang berbeza di cawangan tersebut. En Roslan Pengurus semasa saya melapurkan diri. Tuan Haji Abd Rahim Md Ariff Pengurus Cawangan kedua selepas En Roslan. 

Apabila berlaku pertukaran Pengurus Cawangan Tuan Haji Aziz Md Taib menjadi pengurus di cawangan tersebut. Sungguhpun berlaku pertukaran di kalangan Pengurus Cawangan tiada berlaku rombakan kepada jawatan Timbalan Pengurus pada masa itu yang disandang oleh Puan Badariah Arifin.

Cawangan Medan Kidd merupakan cawangan Bank Bumiputra Malaysia Berhad yang ketiga di Bandar Ipoh selain dari cawangan utama di Jalan Sultan Idris Shah dan Cawangan Ipoh Garden. Lokasi cawangan pula terletak di bangunan yang juga merupakan stesyen bas ekpress di Bandaraya Ipoh. Ia agak sibuk dengan kenderaan/bas keluar masuk dan penumpang yang menaiki bas ke utara dan selatan tanahair.

Sesuatu yang menarik di cawangan ini ialah terdapatnya banyak gerai makanan disekitar bangunan yang memudahkan saya dan kakitangan yang lain untuk makan tengahari. Untuk sarapan pagi ada sebuah gerai Kak Yah yang menjual Mee/Bihun/Kuey Teow Kari/Kicap/Sup yang sungguh enak. Sebuah lagi gerai yang paling saya gemari ialah Gerai Nasi Padang. Keistimewaan gerai ini ialah mejual daging dendeng, cili sambal dan pucuk ubi rebus. Gerai-gerai lain juga menyediakan berbagai pilihan makanan untuk sarapan pagi, makan tengahari dan malam.

Di bangunan yang sama ada Restoran Hidayah yang menjual roti canai dan menu yang sewaktu dengannya. Boleh dikatakan bekerja di cawangan ini sentiasa ada makanan pada setiap waktu. Timbalan Pengurus pada masa itu adalah seorang yang amat pemurah dan selalu membelikan kami goreng pisang untuk minum petang hampir setiap hari.

Apabila perniagaan Bank meningkat saya mendapat tugasan tambahan sebagai 'Trade Finance Officer'. Saya suka tugasan tambahan ini kerana ia amat mencabar dan tidak ramai pegawai yang mahir untuk tugasan tersebut. Cawangan pada masa itu mempunyai beberapa pelanggan yang membuat perniagaan impot dan ekspot barangan dari luar negara.

Di cawangan ini juga saya telah memberi pengalaman yang pahit apabila saya dengan tidak sengaja meluluskan bayaran urusniaga Cek Kembara (Travellers Cheque) yang dicuri. Pihak Bank telah mengarahkan saya untuk membayar balik pembayaran yang telah dibuat. Kesilapan ini telah memberi pengajaran untuk saya lebih berhati-hati dalam menjalankan tugasan di Bank. Kes ini kemudiannya ditutup setelah membuat rayuan beberapa tahun kemudian.

Selain dari peningkatan tugasan di Bank saya membesarkan juga keluarga. Anak kedua saya Muhammad Aliff lahir pada 4 Oktober 1990. Jarak umur tiga tahun dari yang sulung. Emak membantu saya menjaga anak-anak semasa saya bekerja. Suami pula telah dinaikkan pangkat setelah tamat Diploma Pentadbiran Awam Pengajian Luar Kampus dan bertukar ke Cawangan Mini di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh. Beliau membeli motosikal Kawasaki Kipp 250 untuk ke pejabat.

Kami sekeluarga masih tinggal di Taman Kimee Ipoh. Anak yang sulung pula telah bersekolah di Tadika Kemas Kampung Kepayang. Bagi meringankan tugasan di rumah saya mengambil seorang pembantu Indonesia bernama Mak Nini yang hanya bertahan selama 8 bulan sahaja.

Muhammad Azeem anak ketiga saya lahir pada 30 November 1992. Hari terakhir saya habis berpantang Januari 1993 suami saya mendapat serangan jantung yang pertama semasa menjalani sesi latihan untuk Kejohanan Sukan Antara Kawasan BBMB. Beliau telah dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung dan mendapat cuti sakit selama enam minggu. Saya berjaya menjaga beliau kerana masih dalam cuti bersalin anak ketiga. Pada masa itu Nur Alia telah bersekolah di Tadika Methodist Girls School Ipoh.

Pada tahun yang sama emak mendapat panggilan mengerjakan haji dan anak-anak saya dijaga oleh jiran sebelah yang berketurunan Pakistan. Semasa ketiadaan emak mengerjakan ibadah haji saya melakukan tugasan di Bank dan juga di rumah dengan membesarkan tiga orang anak. Sungguhpun berat dan sibuk yang terlampau saya rasa tenang dan selesa kerana tiada orang luar di rumah. Tahun berikutnya Nur Alia mula bersekolah Darjah Satu di Methodist Girls School juga.

Penghujung tahun 1993 kami sekeluarga berpindah ke rumah sendiri teres setingkat di Taman Meru 3C Ipoh yang dibeli oleh suami. Anak-anak masih di bawah jagaan jiran di Taman Kimee. Menjadi rutin harian saya untuk menghantar anak-anak dari Taman Meru 3C ke rumah pengasuh di Taman Kimee dan seterusnya ke Bank di Medan Kidd untuk beberapa ketika.

Emak pula sakit kuat selepas balik dari haji dan tinggal di kampung. Setelah beberapa ketika dalam keadaan kesihatan yang tidak menentu emak telah membuat keputusan untuk terus tinggal bersama kami di Ipoh. Urusan menjaga anak-anak masih pada pengasuh yang sedia ada sehingga anak keempat saya Nur Aina Shahira lahir pada 30 Oktober 1994. Ibu mertua saya meninggal dunia tiga bulan sebelum Nur Aina Shahira dilahirkan.

Anak-anak dan emak di bawah jagaan saya semasa dua bulan cuti bersalin. Pada tahun itu juga saya membeli kereta baru Proton Wira 1.5M. Kereta Proton Saga lama untuk kegunaan suami disamping motosikal yang sedia ada. Cawangan tempat suami saya bekerja pula berpindah ke Medan Gopeng Ipoh dan beliau dilantik sebgai Pegawai Kredit bagi cawangan tersebut.

Pada tahun 1996 cawangan saya pula berpindah ke premis baru di Bandar Ipoh Raya. Ank-anak di bawah jagaan emak di rumah. Nur Alia bersekolah Darjah 3, Muhammad Aliff bersekolah Tadika. Pada tahun itu juga bapa mertua saya pula meninggal dunia. Saya masih melakukan tugasan yang sama di tempat yang baru. Pada tahun 1997 saya pula dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengurus. Satu pencapaian yang agak baik selepas berkerja selama 13 tahun.

Pada tahun 1998 suami saya mendapat serangan jantung yang kedua dan memerlukan beliau untuk menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Ampang Puteri di Jalan Ampang Kuala Lumpur. Pada ketika itu Hospital Pakar Ipoh tidak mempunyai unit pembedahan jantung. Unit tersebut hanya diujudkan beberapa bulan setelah suami saya menjalani pembedahan jantung di Kuala Lumpur.

Saya bertugas selama 15 tahun di Bank Bumiputra Malaysia Berhad sehingga 31 Ogos 1999 dengan jawatan terakhir sebagai Timbalan Pengurus Cawangan sebelum berhijrah ke Bank Muamalat Malaysia Berhad pada 1 September 1999. 

Pada tahun itu BBMB dan BOC telah bergabung untuk menjadi entiti baru Bumiputra Commerce Bank Berhad manakala Bank Muamalat Malaysia Berhad mengambilalih urusan perbankan Islam kedua-dua Bank tersebut.

PERANCANGAN DAN PENGURUSAN HARTA DAN PUSAKA - WASIYYAH SHOPPE SDN BHD

HARTA PUSAKA

Teks : Zaliha Yeop

Kenapa saya berminat kepada Perancangan dan Pengurusan Harta dan Pusaka?

Semasa menghadiri Program IMKK Dr Azizan Osman 30/4/2015 - 3/5/2015 yang diadakan di Wisma MCA Jalan Ampang kami menginap di Corus Hotel. Kawan baik saya semenjak sekolah Rendah dan Menengah, Puan Suraiya Mohd Noor mantan wartawan di Berita Harian sekarang menjadi Perunding Saham Amanah CWA mencadangkan agar saya melibatkan diri sebagai perunding di dalam Perancangan dan Pengurusan Harta dan Pusaka - Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd sebagai bidang kerjaya selepas bersara. 


Beliau meyakinkan saya bidang ini mempunyai potensi dan peluang yang luas untuk berkembang sebagai Fardhu Kifayah sebagai seorang Islam. Selain dari memberi kesedaran perancangan harta dikalangan masyarakat Islam secara umum ia juga mampu untuk dijadikan kerjaya yang memberi pendapatan yang baik secara sepenuh atau separuh masa.

Setelah mendaftarkan nama saya pun menghadiri Kursus Asas Program Pengurusan dan Perancangan Harta dan Pusaka di Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd (WSSB) pada 14-15/6/2015 selama dua hari. Semasa kursus kami dimaklumkan bahawa kesemua peserta yang hadir ialah ‘DAIE’ Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd.

Sambil tersenyum hati saya berkata-kata “Tak masuk audition ‘Program Daie’ di TV3 jadi Daie pula di Wasiyyah Shoppe…”. Walau apapun juga persepsinya, makna Daie itu secara sendiri menjadikan saya satu pertanggungjawaban yang berat untuk dilaksanakan. Selama dua hari saya didedahkan kepada isu yang dekat tetapi jauh dengan kita. Saya katakan begitu kerana kita biasa mendengar perkataan Harta Pusaka,  Wasiat dan Faraid. Perkataan yang biasa didengar tetapi tak tahu secara menyeluruh dari segi makna dan perlaksanaannya.

Semuanya kerana ilmu mengenai harta pusaka wasiat dan faraid bukan dijadikan asas pembelajaran  semasa di sekolah dahulu. Perkataan-perkataan tersebut menjadi sebati dengan kita apabila terdengar perbualan emak dan ayah semasa berbincang dengan adik beradik mereka selepas kematian Datuk/Nenek yang merupakan ayah/ibu mereka. Adakalanya perbincangan diantara mereka agak tegang sehingga timbul berbalahan atau bermasam muka diantara satu sama lain. Ada juga bapa/ibu saudara kita tidak pulang ke kampong berhari raya atau semasa kenduri kendara kerana berkecil hati selepas pembahagian harta pusaka.

Sebagai anak sudah tentu kita tidak berani untuk bertanya mengapa itu dan ini sekiranya perkara sedemikian berlaku tetapi kita adalah pemerhati yang setia melihat tingkah laku mereka. Hari ini saya berdepan dengan permasalahan yang sama cuma dari sudut yang berbeza iaitu berusaha untuk   mengubah ‘mindset’ masyarakat Melayu Islam supaya mereka didedahkan kepada ilmu Perancangan dan Pengurusan Harta dan Pusaka. 

Dengan adanya ilmu sebegini perbalahan di dalam perebutan harta pusaka dapat dikurangkan dan perlaksanaan pembahagian boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan dan bermanafaat kepada simati dan juga waris-warisnya.

Saya mulakan perkongsian ilmu berikut dengan anda semua dengan bahasa yang mudah supaya tidak membosankan untuk manafaat bersama.

Wasiat

Wasiat  bagi orang Islam:
(Surah Al Baqarah ayat 180 – Diwajibkan atas kamu apabila maut hendak menjemput seseorang di antara kamu, jika dia meninggalkan harta berwasiat untuk kedua orang tua dan karib kerabat dengan cara yang baik sebagai kewajiban bagi orang-orang yang bertakwa)

1.    Wasiat Pentadbiran/melantik Wasi
2.    Wasiat 1/3 – memperuntukan 1/3 harta pusaka kepada bukan          waris.
3.    Pengagihan harta melalui wasiat untuk waris – tidak
      digunapakai KECUALI dipersetujui oleh waris mengikut       
      hukum Faraid.

Konsep Perwarisan Harta dan Pusaka Orang Islam terbahagi kepada:

A.     Pengurusan Pusaka Selepas Kematian
-         Di Mahkamah Tinggi Syariah
-         Mahkamah Tinggi Sivil
-         Pendaftar Pusaka Kecil

B.     Dokumen Perancangan Sebelum Kematian
-         Perlantikan Wasi/Pentadbir
-         Wasiat 1/3
-         Harta Sepencarian
-         Hibah
-         Amanah
-         Pewarisan Perniagaan


Pengurusan Harta Pusaka Selepas Kematian.

Apakah proses undang-undang yang perlu dilalui oleh waris? 

Pengurusan harta pusaka melibatkan pengurusan di :

A.     Mahkamah Tinggi Sivil – untuk harta melebihi RM2.0 juta.
B.     Pejabat Pusaka Kecil – untuk harta RM2.0 juta kebawah.
C.     Mahkamah Tinggi Syariah
    
    Mahkamah Tinggi Syariah akan mengeluarkan:
-         Sijil Faraid
-         Harta Sepencarian
-         Hibah
-         Wasiat 1/3
-         Hadanah

Setelah selesai urusan-urusan dengan badan perundangan tersebut proses turun Hakmilik harta kepada waris melalui ‘Surat Kuasa Tadbir.

Siapakah yang berhak menuntuk harta pusaka simati?
a.      Waris-waris mengikut hukum Faraid
b.      Pemberi hutang
c.      Baitulmal

Apakah punca Harta Pusaka orang-orang Islam di Malaysia terbeku?
·        Tiada permufakatan dikalangan waris-waris
·        Urusan harta pusaka melibatkan proses undang-undang 
         Mahkamah Syariah dan       Sivil
·        Urusan tuntutan/pentadbiran harta pusaka oleh waris 
         melibatkan kos yang tinggi
·        Waris-waris tidak jelas dengan hukum Faraid.

Mengapa mereka perlu melalui proses undang-undang Sivil?

Waris-waris perlu melalui proses undang-undang Sivil bagi mendapatkan :
a.      Surat Kuasa Tadbir
b.      Perintah Pembahagian Harta Pusaka.

Bagaimana proses agihan Harta Pusaka mengikut hukum syarak?

Harta Simati
Tolak : Pengurusan Jenazah
Harta Simati
Tolak : Hutang Simati
Harta Simati
Tolak : Hibah/Amanah
Harta Pusaka
Tolak : Hutang
Harta Pusaka Bersih
Tolak :
1.      Harta Sepencarian
2.      Wasiat Islam 1/3
Harta Pusaka Bersih - Harta Pusaka yang akan diagihkan mengikut Faraid

Saya berikan anda contoh kiraan agihan Harta Pusaka mengikut hukum syarak bagi memudahkan kefahaman kita mengenai perkara tersebut:

Nilai Harta Simati                            RM300,000
Tolak: Hibah/Amanah                           RM180,000
Harta Pusaka                                  RM120,000
Tolak Hutang                                  RM  5,000
Harta Pusaka Bersih                           RM115,000
Wasiat 1/3                                    RM 38,333
Baki                                          RM 76,667
Tolak Harta Sepencarian (1/2)                 RM 38,333
Baki Harta Pusaka                             RM 38,334
           * dibahagi antara waris mengikut                 permuafakatan Faraid atau samarata.           
Anda tahu berapa bahagian di dalam hukum Faraid? 

Bahagian anda berbeza mengikut status kedudukan anda dengan simati. Anda ingin tahu? Saya terangkan dahulu apa itu Faraid.

Faraid
(http://faraid.usm.my)
Faraid menurut istilah syarak adalah pembahagian harta seorang Islam yang telah meninggal dunia sama da beliau meninggalkan wasiat atau tidak sebelum kematian. Maka harta peninggalannya akan dibahagikan kepada ahli warisnya seperti anak, isteri/suami, ibu dan lain-lain menurut hukum Islam. Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang dan wasit yang dibenarkan oleh syarak.

Harta yang boleh dibahagikan secara Faraid ialah :
1.      Tanah
2.      Bangunan/rumah
3.      Barang kemas
4.      Insuran dan Wang Tunai
5.      Binatang ternakan

Bahagian waris mengikut Faraid ( Surah An Nisa ayat 11, 12 dan 176)
Golongan Ashabul Furud – penerima bahagian yang ditetapkan oleh syarak:

Suami                                  ½ atau ¼ (ada anak)
Isteri                                 ¼ atau 1/8 (ada anak)
Anak Lelaki                            2 dan Asobah
Anak Perempuan                         1 = ½ , 2 = 2/3
Ibu                                    1/6 , 1/3
Ayah                                   1/6 , Asobah
Adik Beradik                           L = 2 : P = 1

Nota:
Asobah merupakan golongan yang akan terima baki harta setelah diberi kepada semua golongan Ashabul Furud. (Ada 3 jenis Asobah -  sila buat rujukan sekiranya perlu maklumat yang lengkap)

Mengapa Harta Pusaka sukar di warisi?

Harta Pusaka sukar diwarisi dan sering menimbulkan perbalahan keluarga yang berpanjangan kerana:

1.      Waris TIDAK TAHU proses tuntutan – tiada ilmu mengenai 
        pewarisan harta pusaka
2.      Kos tuntutan harta pusaka MAHAL – pengurusan harta pusaka 
        melibatkan kos dalam perundangan
3.      Waris TIDAK FAHAM hukum Faraid – waris terdekat     
        mengandaikan menerima bahagian yang besar tetapi sebaliknya 
        yang berlaku
4.      Wasiat TIDAK MAMPU mewariskan harta pusaka – wasiat yang 
        ditetapkan oleh syarak ialah 1/3 kepada bukan waris. Untuk 
        waris telah ditetapkan mengikut hukum Faraid.
5.      Proses mewarisi harta pusaka mengambil masa yang panjang.


Saya berharap anda masih mampu dan tidak bosan mengikuti penerangan yang diberikan. Doa saya semuga usaha yang sedikit ini mampu memberi kefahaman kepada anda mengenai Pengurusan dan Perancangan Harta dan Pusaka.

Bagaimana Wasiyyah Shoppe dapat mengelakkan Harta Pusaka Simati daripada terbeku?

Wasiyyah Shoppe memperkenalkan:

Produk PENGURUSAN Al-Wasitah,
a.      DELIMA
b.      NILAM
c.      ZAMRUD yang mempunyai keistimewaan seperti berikut:

1.    Semasa Hidup
-        Khidmat Nasihat Perancangan Harta Pusaka Secara Percuma
-        Membuat dan mengubah Dokumen Wasiat 1/3 dan perlantikan Wasi 
         Percuma
2.    Selepas Kematian
-        Wasiyyah Shoppe berjumpa waris pada bila-bila masa untuk 
         membacakan Khutbah Pusaka dan Khidmat Rundingcara Percuma
-        Proses Tuntutan Harta Pusaka secara percuma.
-        Harta diwarisi 4-6 bulan.
-        Semua kos pengurusan ditanggung oleh Wasiyyah Shoppe

Produk PERANCANGAN pula ialah:
1.      Asas Perancangan
2.      Pra Hibah Harta
3.      Pra Hibah Takaful
4.      Pra Hibah Tabung Haji / Saham Amanah
5.      Pra Hibah Barang Kemas
6.      Hibah Amanah Hartanah
7.      Hibah Komprehensif Hartanah

Dan beberapa lagi perancangan yang membantu pemilik untuk menghibahkan harta kepada orang yang mereka sayangi di dalam bentuk yang dikehendaki mengikut Syariah Islam.

Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut Perancangan dan Pengurusan Harta dan Pusaka sila hubungi saya di 012-5069062.

Tuesday 29 September 2015

KERJAYA AWAL - 29/9/2015

PENGALAMAN/KENANGAN

Teks: Zaliha Yeop

PERMULAAN KERJAYA

Saya memulakan karier saya sebagai 'Junior Executive Trainee- JET' di Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) pada 8/1/1984. Pada waktu itu saya perlu menjalani latihan teori Perbankan selama enam bulan di Pusat Latihan Bank di Jalan Robson dan latihan praktikal di mana-mana cawangan sebelum ditempatkan untuk bertugas secara tetap di Ibupejabat ataupun di cawangan.

Penempatan kakitangan baru adalah berdasarkan kekosongan jawatan atau kelayakan masing-masing yang ditentukan oleh pihak Jabatan Kakitangan pada waktu tersebut.

Semasa latihan saya diberikan pendedahan kepada:
1. Asas-asas Operasi Perbankan,
2. Pinjaman/Kredit,
3. Pembiayaan Perdagangan dan
4. Pengawasan dan Penyeliaan Kredit.

Bagi setiap tiga/empat minggu latihan teori di Pusat Latihan saya akan ditempat di cawangan untuk latihan praktikal. Saya pernah menjalani latihan praktikal di Cawangan Wisma Shaw, Cawangan Teluk Intan, Sungai Besar dan Ipoh.

Setelah tamat latihan saya telah ditempatkan di Jabatan Informasi Kredit di Tingkat 21 Menara Bumiputra Jalan Melaka Kuala Lumpur. Tanggungjawab saya di jabatan ini lebih kepada untuk memastikan data-data pelanggan kredit Bank dikemaskini.

Ketika bertugas di Ibupejabat saya tinggal menyewa bilik jiran Emak Angkat saya di Bandar Tun Razak Cheras selama lebih kurang lapan bulan dari Julai 1984-Februari 1985. Kemudian saya tinggal menyewa bersama kawan-kawan di Taman Maluri Cheras sehingga September 1985. Saya berkongsi bilik bersama Faridah Hanum Khairudin (Fareed) kawan baik se bilik semasa di Asrama Seroja ITM sebelum berpindah untuk bertugas di BBMB Cawangan Ipoh.

Kawan-kawan serumah pada masa itu ialah Rokiah Che Ambak graduan luar negara seorang pegawai di Telekom, Nani dan Azah rakan sekampus di ITM lulusan Diploma Pentadbiran Awam, seorang senior Diploma In Accountancy (lupa nama ingat rupa) yang berkahwin dengan rakan sekuliah Hilmi Jamaludin, Fareed dan saya lima orang menyewa satu rumah. Tinggal bersama mereka memberi pengalaman dan pengajaran yang amat menyeronokkan, suka dan duka erti satu persahabatan.

Berpindah ke Ipoh saya menumpang sementara di Taman Saz bersama Haliza Shafiai - Diploma in Banking, kawan baik dari Sekolah Menengah Khir Johari Sungai Sumun. Beliau bekerja di PKNP dan rakan serumah yang lain ialah Suriyati dari Taiping bekerja di Public Bank serta Rahimah di Amalgamated Parts and Manufacturing (APM). Setelah dua minggu saya menyewa sebuah rumah teres dua tingkat di taman yang sama dan membawa emak saya untuk tinggal bersama.

Saya ditempatkan di Jabatan Penjelasan Cek cawangan Ipoh dan Pengurus pada ketika itu ialah Mr Tey Li Swi. Pada bulan Oktober 1985 saya telah berjaya membeli sebuah kereta Proton Saga 1.3S berwarna Biru Metalik. Tugasan saya pada masa itu memerlukan saya untuk ke Pusat Penjelasan Cek di Bank Negara Malaysia Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab Ipoh setiap hari untuk penjelasan cek di antara Bank. Di situ saya berjumpa dan mengenali ramai rakan-rakan ITM yang juga bekerja di bank-bank tempatan yang lain di Ipoh.

Kemudian pada bulan Februari 1986 saya ditempatkan di Jabatan Akaun Semasa bertanggungjawab mengawasi Akaun Kerajaan Negeri Perak semasa En Abdullah Ismail menjadi Pengurus di Cawangan Ipoh. Rakan setugas yang saya anggap sebagai mentor pada masa itu ialah En Ramli Aziz dan En Aziz Baiti. Mereka banyak memberikan saya tunjuk ajar hal-hal berkaitan akaun semasa, tatacara kerja yang betul dan berdisiplin bagi mengelakan dari berlaku kesilapan. Bertugas di jabatan ini juga memerlukan fokus yang tinggi untuk memastikan cek-cek yang dikeluarkan mempunyai baki akaun yang mencukupi dan tiada arahan pemberhentian pembayaran dan sebagainya.

Pada 14 April 1986 saya mendirikan rumahtangga dengan rakan sepejabat yang juga suami saya sekarang. Pada waktu itu suami saya bertugas di Jabatan Akaun Simpanan. Setelah berumahtangga kami masih menetap dan menyewa di rumah yang sama sebelum berpindah ke rumah biras saya di Kimee Park Ipoh pada Mac 1987. Anak sulung saya Nur Alia lahir pada 11 Oktober 1987.

Setelah kembali bertugas saya ditukarkan ke Jabatan Kiriman Wang sehingga  saya ditukarkan ke cawangan baru di Medan Kidd pada Februari 1989 apabila polisi Bank tidak membenarkan suami isteri bertugas di cawangan yang sama.

Bersambung....






Saturday 19 September 2015

BIODATA - 19/9/2015














PENGENALAN

Teks: Zaliha Yeop

Saya Zaliha binti Yeop, 53 tahun, baru empat (4) bulan bersara dari bidang perbankan. Saya telah berkhidmat selama lebih 31 tahun, dari 8/1/1984 - 31/8/1999 di Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) dan dari 1/9/1999 - 31/5/2015 di Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB).

Saya dilahirkan di Teluk Intan (dahulu Telok Anson) sekarang menetap di Seri Manjung Perak ingin berkongsi ilmu dan pengalaman perbankan selama bertugas untuk kebaikan dan manafaat bersama.

Pendidikan awal saya bermula di Sekolah Rendah dan Menengah Khir Johari Sungai Sumun (1969-1979), Tingkatan 6 Rendah di Sekolah Horley Methodist Teluk Intan (1980). Kemudian saya melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam - Diploma in Accountancy (1981-1983). Semasa menuntut di ITM saya adalah penerima Biasiswa Pinjaman Bank Bumiputra Malaysia Berhad yang membolehkan saya untuk terus berkhidmat di Bank tersebut selepas tamat pengajian.

Selepas persaraan saya berazam untuk berkerja sendiri berbekalkan pengalaman yang sedia ada dengan menubuhkan sebuah syarikat Bliz Consultancy Sdn Bhd.

Bliz Consultancy Sdn Bhd ditubuhkan bagi membantu untuk memberi khidmat nasihat kepada individu/usahawan di dalam urusan perbankan, pengurusan kewangan persendirian/perniagaan, memaksimumkan pulangan kewangan yang sedia dengan pelaburan di dalam Unit Amanah, produk Takaful dan Hartanah.

Individu/Usahawan juga boleh mendapatkan khidmat nasihat Perancangan dan Pengurusan Harta dan Pusaka selain dari memaksimumkan pulangan kewangan di dalam perniagaan.

Diharap perkongsian ilmu saya dengan anda dapat memberi manafaat kebaikan untuk kita bersama di dunia dan akhirat. Amin.

Sekian.

Zaliha Yeop
Bliz Consultancy Sdn Bhd
HP: 012-506 9062