Tuesday 29 September 2015

KERJAYA AWAL - 29/9/2015

PENGALAMAN/KENANGAN

Teks: Zaliha Yeop

PERMULAAN KERJAYA

Saya memulakan karier saya sebagai 'Junior Executive Trainee- JET' di Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) pada 8/1/1984. Pada waktu itu saya perlu menjalani latihan teori Perbankan selama enam bulan di Pusat Latihan Bank di Jalan Robson dan latihan praktikal di mana-mana cawangan sebelum ditempatkan untuk bertugas secara tetap di Ibupejabat ataupun di cawangan.

Penempatan kakitangan baru adalah berdasarkan kekosongan jawatan atau kelayakan masing-masing yang ditentukan oleh pihak Jabatan Kakitangan pada waktu tersebut.

Semasa latihan saya diberikan pendedahan kepada:
1. Asas-asas Operasi Perbankan,
2. Pinjaman/Kredit,
3. Pembiayaan Perdagangan dan
4. Pengawasan dan Penyeliaan Kredit.

Bagi setiap tiga/empat minggu latihan teori di Pusat Latihan saya akan ditempat di cawangan untuk latihan praktikal. Saya pernah menjalani latihan praktikal di Cawangan Wisma Shaw, Cawangan Teluk Intan, Sungai Besar dan Ipoh.

Setelah tamat latihan saya telah ditempatkan di Jabatan Informasi Kredit di Tingkat 21 Menara Bumiputra Jalan Melaka Kuala Lumpur. Tanggungjawab saya di jabatan ini lebih kepada untuk memastikan data-data pelanggan kredit Bank dikemaskini.

Ketika bertugas di Ibupejabat saya tinggal menyewa bilik jiran Emak Angkat saya di Bandar Tun Razak Cheras selama lebih kurang lapan bulan dari Julai 1984-Februari 1985. Kemudian saya tinggal menyewa bersama kawan-kawan di Taman Maluri Cheras sehingga September 1985. Saya berkongsi bilik bersama Faridah Hanum Khairudin (Fareed) kawan baik se bilik semasa di Asrama Seroja ITM sebelum berpindah untuk bertugas di BBMB Cawangan Ipoh.

Kawan-kawan serumah pada masa itu ialah Rokiah Che Ambak graduan luar negara seorang pegawai di Telekom, Nani dan Azah rakan sekampus di ITM lulusan Diploma Pentadbiran Awam, seorang senior Diploma In Accountancy (lupa nama ingat rupa) yang berkahwin dengan rakan sekuliah Hilmi Jamaludin, Fareed dan saya lima orang menyewa satu rumah. Tinggal bersama mereka memberi pengalaman dan pengajaran yang amat menyeronokkan, suka dan duka erti satu persahabatan.

Berpindah ke Ipoh saya menumpang sementara di Taman Saz bersama Haliza Shafiai - Diploma in Banking, kawan baik dari Sekolah Menengah Khir Johari Sungai Sumun. Beliau bekerja di PKNP dan rakan serumah yang lain ialah Suriyati dari Taiping bekerja di Public Bank serta Rahimah di Amalgamated Parts and Manufacturing (APM). Setelah dua minggu saya menyewa sebuah rumah teres dua tingkat di taman yang sama dan membawa emak saya untuk tinggal bersama.

Saya ditempatkan di Jabatan Penjelasan Cek cawangan Ipoh dan Pengurus pada ketika itu ialah Mr Tey Li Swi. Pada bulan Oktober 1985 saya telah berjaya membeli sebuah kereta Proton Saga 1.3S berwarna Biru Metalik. Tugasan saya pada masa itu memerlukan saya untuk ke Pusat Penjelasan Cek di Bank Negara Malaysia Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab Ipoh setiap hari untuk penjelasan cek di antara Bank. Di situ saya berjumpa dan mengenali ramai rakan-rakan ITM yang juga bekerja di bank-bank tempatan yang lain di Ipoh.

Kemudian pada bulan Februari 1986 saya ditempatkan di Jabatan Akaun Semasa bertanggungjawab mengawasi Akaun Kerajaan Negeri Perak semasa En Abdullah Ismail menjadi Pengurus di Cawangan Ipoh. Rakan setugas yang saya anggap sebagai mentor pada masa itu ialah En Ramli Aziz dan En Aziz Baiti. Mereka banyak memberikan saya tunjuk ajar hal-hal berkaitan akaun semasa, tatacara kerja yang betul dan berdisiplin bagi mengelakan dari berlaku kesilapan. Bertugas di jabatan ini juga memerlukan fokus yang tinggi untuk memastikan cek-cek yang dikeluarkan mempunyai baki akaun yang mencukupi dan tiada arahan pemberhentian pembayaran dan sebagainya.

Pada 14 April 1986 saya mendirikan rumahtangga dengan rakan sepejabat yang juga suami saya sekarang. Pada waktu itu suami saya bertugas di Jabatan Akaun Simpanan. Setelah berumahtangga kami masih menetap dan menyewa di rumah yang sama sebelum berpindah ke rumah biras saya di Kimee Park Ipoh pada Mac 1987. Anak sulung saya Nur Alia lahir pada 11 Oktober 1987.

Setelah kembali bertugas saya ditukarkan ke Jabatan Kiriman Wang sehingga  saya ditukarkan ke cawangan baru di Medan Kidd pada Februari 1989 apabila polisi Bank tidak membenarkan suami isteri bertugas di cawangan yang sama.

Bersambung....






No comments:

Post a Comment