Wednesday 30 September 2015

KERJAYA DI BBMB - 30/9/2015

PENGALAMAN/KENANGAN

Teks : Zaliha Yeop

KERJAYA DI BBMB

Saya ditugaskan sebagai Pegawai Kiriman Wang dan ATM semasa di Cawangan Medan Kidd. Pada tahun tersebut pasaran saham sangat aktif dan banyak permohonan Cek Bank untuk pembelian terbitan yang baru. Saya bertugas dengan tiga Pengurus Cawangan yang berbeza di cawangan tersebut. En Roslan Pengurus semasa saya melapurkan diri. Tuan Haji Abd Rahim Md Ariff Pengurus Cawangan kedua selepas En Roslan. 

Apabila berlaku pertukaran Pengurus Cawangan Tuan Haji Aziz Md Taib menjadi pengurus di cawangan tersebut. Sungguhpun berlaku pertukaran di kalangan Pengurus Cawangan tiada berlaku rombakan kepada jawatan Timbalan Pengurus pada masa itu yang disandang oleh Puan Badariah Arifin.

Cawangan Medan Kidd merupakan cawangan Bank Bumiputra Malaysia Berhad yang ketiga di Bandar Ipoh selain dari cawangan utama di Jalan Sultan Idris Shah dan Cawangan Ipoh Garden. Lokasi cawangan pula terletak di bangunan yang juga merupakan stesyen bas ekpress di Bandaraya Ipoh. Ia agak sibuk dengan kenderaan/bas keluar masuk dan penumpang yang menaiki bas ke utara dan selatan tanahair.

Sesuatu yang menarik di cawangan ini ialah terdapatnya banyak gerai makanan disekitar bangunan yang memudahkan saya dan kakitangan yang lain untuk makan tengahari. Untuk sarapan pagi ada sebuah gerai Kak Yah yang menjual Mee/Bihun/Kuey Teow Kari/Kicap/Sup yang sungguh enak. Sebuah lagi gerai yang paling saya gemari ialah Gerai Nasi Padang. Keistimewaan gerai ini ialah mejual daging dendeng, cili sambal dan pucuk ubi rebus. Gerai-gerai lain juga menyediakan berbagai pilihan makanan untuk sarapan pagi, makan tengahari dan malam.

Di bangunan yang sama ada Restoran Hidayah yang menjual roti canai dan menu yang sewaktu dengannya. Boleh dikatakan bekerja di cawangan ini sentiasa ada makanan pada setiap waktu. Timbalan Pengurus pada masa itu adalah seorang yang amat pemurah dan selalu membelikan kami goreng pisang untuk minum petang hampir setiap hari.

Apabila perniagaan Bank meningkat saya mendapat tugasan tambahan sebagai 'Trade Finance Officer'. Saya suka tugasan tambahan ini kerana ia amat mencabar dan tidak ramai pegawai yang mahir untuk tugasan tersebut. Cawangan pada masa itu mempunyai beberapa pelanggan yang membuat perniagaan impot dan ekspot barangan dari luar negara.

Di cawangan ini juga saya telah memberi pengalaman yang pahit apabila saya dengan tidak sengaja meluluskan bayaran urusniaga Cek Kembara (Travellers Cheque) yang dicuri. Pihak Bank telah mengarahkan saya untuk membayar balik pembayaran yang telah dibuat. Kesilapan ini telah memberi pengajaran untuk saya lebih berhati-hati dalam menjalankan tugasan di Bank. Kes ini kemudiannya ditutup setelah membuat rayuan beberapa tahun kemudian.

Selain dari peningkatan tugasan di Bank saya membesarkan juga keluarga. Anak kedua saya Muhammad Aliff lahir pada 4 Oktober 1990. Jarak umur tiga tahun dari yang sulung. Emak membantu saya menjaga anak-anak semasa saya bekerja. Suami pula telah dinaikkan pangkat setelah tamat Diploma Pentadbiran Awam Pengajian Luar Kampus dan bertukar ke Cawangan Mini di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh. Beliau membeli motosikal Kawasaki Kipp 250 untuk ke pejabat.

Kami sekeluarga masih tinggal di Taman Kimee Ipoh. Anak yang sulung pula telah bersekolah di Tadika Kemas Kampung Kepayang. Bagi meringankan tugasan di rumah saya mengambil seorang pembantu Indonesia bernama Mak Nini yang hanya bertahan selama 8 bulan sahaja.

Muhammad Azeem anak ketiga saya lahir pada 30 November 1992. Hari terakhir saya habis berpantang Januari 1993 suami saya mendapat serangan jantung yang pertama semasa menjalani sesi latihan untuk Kejohanan Sukan Antara Kawasan BBMB. Beliau telah dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung dan mendapat cuti sakit selama enam minggu. Saya berjaya menjaga beliau kerana masih dalam cuti bersalin anak ketiga. Pada masa itu Nur Alia telah bersekolah di Tadika Methodist Girls School Ipoh.

Pada tahun yang sama emak mendapat panggilan mengerjakan haji dan anak-anak saya dijaga oleh jiran sebelah yang berketurunan Pakistan. Semasa ketiadaan emak mengerjakan ibadah haji saya melakukan tugasan di Bank dan juga di rumah dengan membesarkan tiga orang anak. Sungguhpun berat dan sibuk yang terlampau saya rasa tenang dan selesa kerana tiada orang luar di rumah. Tahun berikutnya Nur Alia mula bersekolah Darjah Satu di Methodist Girls School juga.

Penghujung tahun 1993 kami sekeluarga berpindah ke rumah sendiri teres setingkat di Taman Meru 3C Ipoh yang dibeli oleh suami. Anak-anak masih di bawah jagaan jiran di Taman Kimee. Menjadi rutin harian saya untuk menghantar anak-anak dari Taman Meru 3C ke rumah pengasuh di Taman Kimee dan seterusnya ke Bank di Medan Kidd untuk beberapa ketika.

Emak pula sakit kuat selepas balik dari haji dan tinggal di kampung. Setelah beberapa ketika dalam keadaan kesihatan yang tidak menentu emak telah membuat keputusan untuk terus tinggal bersama kami di Ipoh. Urusan menjaga anak-anak masih pada pengasuh yang sedia ada sehingga anak keempat saya Nur Aina Shahira lahir pada 30 Oktober 1994. Ibu mertua saya meninggal dunia tiga bulan sebelum Nur Aina Shahira dilahirkan.

Anak-anak dan emak di bawah jagaan saya semasa dua bulan cuti bersalin. Pada tahun itu juga saya membeli kereta baru Proton Wira 1.5M. Kereta Proton Saga lama untuk kegunaan suami disamping motosikal yang sedia ada. Cawangan tempat suami saya bekerja pula berpindah ke Medan Gopeng Ipoh dan beliau dilantik sebgai Pegawai Kredit bagi cawangan tersebut.

Pada tahun 1996 cawangan saya pula berpindah ke premis baru di Bandar Ipoh Raya. Ank-anak di bawah jagaan emak di rumah. Nur Alia bersekolah Darjah 3, Muhammad Aliff bersekolah Tadika. Pada tahun itu juga bapa mertua saya pula meninggal dunia. Saya masih melakukan tugasan yang sama di tempat yang baru. Pada tahun 1997 saya pula dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengurus. Satu pencapaian yang agak baik selepas berkerja selama 13 tahun.

Pada tahun 1998 suami saya mendapat serangan jantung yang kedua dan memerlukan beliau untuk menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Ampang Puteri di Jalan Ampang Kuala Lumpur. Pada ketika itu Hospital Pakar Ipoh tidak mempunyai unit pembedahan jantung. Unit tersebut hanya diujudkan beberapa bulan setelah suami saya menjalani pembedahan jantung di Kuala Lumpur.

Saya bertugas selama 15 tahun di Bank Bumiputra Malaysia Berhad sehingga 31 Ogos 1999 dengan jawatan terakhir sebagai Timbalan Pengurus Cawangan sebelum berhijrah ke Bank Muamalat Malaysia Berhad pada 1 September 1999. 

Pada tahun itu BBMB dan BOC telah bergabung untuk menjadi entiti baru Bumiputra Commerce Bank Berhad manakala Bank Muamalat Malaysia Berhad mengambilalih urusan perbankan Islam kedua-dua Bank tersebut.

No comments:

Post a Comment