Tuesday 27 December 2016

Selasa-27/12/2016

Cerita hari ini...Selasa minggu terakhir Disember 2016.

Bangun seawal 4.30 pagi...Alia Azeem dan Aina memulakan perjalanan ke KL 5.20 pagi untuk bertugas semula selepas bercuti hujung minggu.

Solat Subuh berjemaah di Masjid dan selesaikan tugasan harian di rumah. Merancang sarapan pagi Capati di Lekir - kedai tutup dengan notis CUTI. 😦😦😦

Nak singgah Kebun Anggur Saloma Batu 10 Lekir pun masih awal pagi lagi....

Balik semula ke Manjung dan bersarapan pukul 9.00 pagi di Kedai Makan Koperasi Nelayan Permatang - menu Bihun Goreng dan Mee Kari untuk Big Boss.

Menjadi YB dengan perancangan masanya ikut suka-suka hati...kami ke Lekir semula pergi melawat Kebun Anggur Saloma.

Big Boss nak dapatkan baja supaya pokok Anggurnya berbuah. Saya pula mahu menambah variety Pokok Tin. Hasilnya beli baja untuk Pokok Anggur, beli tut Pokok Tin RED LIBYA dan tempahan - tut Pokok Zaitun tut Pokok Tin Black Jack serta BTM6.

Meneruskan perjalanan ke Teluk Intan mencari Water Pump dan semua aksesori untuk pengairan pokok-pokok yang ditanam di kawasan rumah - dapat pada harga yang berpatutan.

Makan tengahari bersesak-sesak di Restoran Udang Galah - usai Solat Zuhur di Masjid Daerah Teluk Intan.

Meneruskan perjalanan balik ke Kampung Baru menziarahi kedua Abang-abang yang agak uzur. Semuga mereka dikurniakan Allah swt kesihatan yang baik untuk terus beribadat kepadanya.

Akan diusahakan untuk ziarah Kakak di Sg Besar dan juga ke kubur emak pada masa terdekat.
In Shaa Allah.

Wednesday 9 November 2016

MENULIS SEMULA - 10/12/2015

MENULIS SEMULA - 10/12/2015

Teks : Zaliha Yeop

Sudah agak lama saya tidak mengemaskini BLOG. Nak kata sibuk tidak juga. Sekadar hilang fokus kepada BLOG dan memberi tumpuan pula kepada aktiviti Pengurusan dan Perancangan Harta dan Pusaka yang saya tinggalkan semenjak pertengahan bulan September. 

Saya mengambil beberapa langkah ke belakang dan tidak melakukan sebarang aktiviti Harta dan Pusaka setelah selesai Program KSS yang dikendalikan oleh Kausar Wealth Management Sdn Bhd. Saya selesai membuat semua sesi penerangan kepada pelanggan yang dipilih. Hasil dari sesi tersebut saya mendapati respon dan komitmen dari mereka agak lembap. Mereka tidak membangkang malah bersetuju bahawa Pengurusan dan Perancangan Harta dan Pusaka memang baik dan memberi banyak manafaat kepada waris yang ditinggalkan. Kos yang agak tinggi dan sikap ambil mudah di kalangan mereka adalah diantara faktor tidak/lambat bertindak untuk mendapatkan perkhidmatan Pengurusan dan Perancangan Harta dan Pusaka.

Sepanjang bulan Oktober dan November saya menyemak dan meneliti semula perancangan, strategi dan aktiviti selepas persaraan. Sungguhpun pada dasarnya usaha belum mendatangkan pulangan dari segi wang ringgit saya tetap berbangga dan bersyukur kerana punya banyak ruang waktu melakukan aktiviti yang saya suka dan tidak dapat dilakukan semasa masih bertugas. 

Saya masih istiqamah bangun seawal 5.00 pagi untuk solat sunat Tahjjud, Taubat dan Hajat. Selepas itu saya dan Big Boss akan solat Subuh berjemaah di Masjid. Balik dari Masjid kami terus membaca Al Quran di ruang tamu rumah. Saya sudah mula mengamalkan membaca Surah Yaasin setiap pagi bagi memulakan hari semenjak 31/10/2015 diikuti dengan surah lain. Azam saya untuk khatam Al Quran dalam tempoh 2 bulan. Semuga Allah memberikan rahmat dan saya terus istiqamah.

Pukul 7.00 pagi saya akan menyediakan sarapan pagi atau Big Boss membeli makanan untuk sarapan pagi bersama.  Selesai sarapan saya akan melakukan solat sunat Dhuha 12 rakaat dan kerja-kerja rumah yang sewajarnya.

Pukul 9.00/9.30 pagi saya akan melakukan tugasan di 'Home Office' atau berjumpa prospek atau bersama-sama kawan-kawan sehingga pukul 12.30 tengahari. Tugasan seterusnya memasak untuk makan tengahari dan solat Zuhur.

Pukul 2.00/2.30 petang masuk semula ke 'Home Office' sehingga waktu Asar atau pukul 5.00 petang. Ini ialah masa santai saya setiap hari.

Pukul 6.45 petang saya dan Big Boss akan bersiap-siap untuk solat Maghrib berjemaah di Masjid. Selesai Mahgrib kami balik ke rumah waktu makan malam untuk Big Boss. Big Boss bersolat Isyak berjemaah di Masjid manakala saya solat di rumah sahaja.



Selesai solat Isyak ialah waktu santai saya membaca buku, Online Tusyen, menonton televisyen, bermesej di WA dan Facebook sehingga pukul 12.00 tengah malam.

TWINS OF FAITH CONFERENCE 2015 (4)

28/12/2015

THE AWAKENING
26-27/12/2015
DI PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (PICC)

Teks : Zaliha Yeop


Penceramah terakhir petang hari pertama yang saya hadiri ialah Ustaz Dr Mohd Sukki Othman membawa tajuk 'Hormat, Taat dan Berfikiran Terbuka'.

Beliau yang sepatutnya menyampaikan ceramahnya pada pukul 12.00 tengahari telah diubah ke sesi terakhir petang itu. Ceramah disampaikan secara santai dan interaktif kerana beliau amat berpengalaman mengendalikan program Tanyalah Ustaz di TV9. Peserta diberi ruang mengemukakan soalan melalui SMS ke 019-324 1364 pada slot waktu 40 minit yang diberi oleh pihak penganjur.

Sesuatu yang menarik perhatian saya ialah penyampaian penceramah yang memberi rungkaian permasalahan dengan pendekatan yang mudah. Pada pendapat saya - 'Agree to disagree' di dalam persoalan yang dikemukakan.

Beliau memberi contoh berikut:

1. Perlukah untuk mengadakan sambutan Maulidur Rasul. Banyak pendapat yang diutarakan menyokong dan membantah ditakuti Bid'ah. Pada masa yang sama masih ramai umat Islam yang tidak solat dan masih mengamalkan riba. Sepatutnya kita berbeza pendapat dan memberi cadangan bagi penyelasaian sesuatu permasalahan dan bukan kepada perbalahan.

2. Perbezaan pendapat untuk solat sunat Terwaih 8/20 rakaat. Orang yang mempertikaikan tidak pula melaksanakan solat tersebut.

3. Menjawab kepada satu soalan, Apa hukum berbuat baik kepada orang bukan Islam?- Penceramah membuat kesimpulan berbuat semua perkara yang baik akan diberi ganjaran pahala oleh Allah.



~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Hari kedua (Ahad) saya menghadirkan diri di Dewan Plenari dengan mendengar dari Penceramah Antarabangsa di dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya.

Penceramah Pertama: Bilal Assad dari Melbourne
Life's a Rollercoaster

Key points:
- Life is full of challenges - faith/iman
- Iblis is arrogant create jealousy, pridefulness, riak and the feeling of superior to others in our life.
- Iblis create the feeling of insincerity in our life
- Iblis attack us from left and right with false promises.
- Iblis whispers during our prayers

Solution:
1. Syaitan is weak than you think. Never give up.
2. Allah is always with you. Andel is protecting you. Doa to Allah when life is insignificant. The higher you go with Allah the smaller the world is to you.
3. Allah swt acknowledges it is not easy. Make taubah and return to Allah.


Penceramah Kedua: Abdurrahman Murad
Attend, Acquire, Accompolish

Islam will fade away as a matter of time if we never observe the followings:

1. No Solah
2. No Sadaqah
3. No Quran
4. No Fasting
5. No Hajj

Solution:
1. Knowledge will protect us from fitnah - Dajjal
2. Desire to improve ouselves

Conclusion:
There are a lot of opportunity for us to learn knowledge based on Quran and Sunnah.

Saya rasa amat bersyukur kerana diberi peluang untuk menghadirkan diri ke program sebegini. Rata-rata pesertanya ialah anak-anak muda sebaya Alia yang dahaga ilmu agama dengan membayar yuran penyertaan.

Bacaan Al Quran oleh Penceramah Antarabangsa amat mengasyikkan. Subhanallah

Adalah diharapkan program agama bertaraf antarabangsa sebegini dianjurkan oleh ugamawan tempatan dengan pendekatan yang lebih moden dan tidak hanya terhad kepada sesi ceramah di masjid sahaja.

Wassalam.

TWINS OF FAITH CONFERENCE 2015 (3)

28/12/2015

THE AWAKENING
26-27/12/2015
DI PUTRAJAYA INTERNATIONALCONVENTION CENTRE (PICC)

Teks : Zaliha Yeop


Penceramah kedua di Konvension Ilmu dan Amal ialah  Dr Abdul Basit Abdul Rahman seorang penceramah di TV9 dan juga pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) yang membawa tajuk - Taubat? Buat Apa?

Manusia memang tidak dapat lari dari membuat kesalahan. Setiap kali buat salah kita bertaubat dengan beristghfar. Semasa beristghfar perlu betul-betul khusyuk dan tidak cuai. Kita juga diingatkan supaya sudah bertaubat, buat dosa lagi dan bertaubat kali kedua yang diumpamakan sebagai 'Taubat Ulu Golok' apabila bertaubat.

Syarat-syarat bertaubat:
1. Tinggalkan yang sudah berlaku
2. Menyesali benda yang lepas
3. Berazam tidak mengulangi lagi (punya keazaman yang jitu).
4. Sekiranya dosa melibatkan dengan hak manusia hendaklah di kembalikan. Sekiranya sudah mati jumpa keluarganya.

Kenapa manusia suka bertangguh-tangguh/lambatkan taubat?
1. Terlalu mengharap rahmat Allah. Taubat tetapi tidak solat.
2. Tenggelam dengan nikmat dunia.
3. Panjang angan-angan.
4. Menganggap dosa sebagai remeh sahaja.
5. Terpedaya dengan kehebatan/kebaikan sendiri.
6. Masih berkawan dengan orang-orang yang tidak baik.

Penceramah ketiga ialah Ustaz Ahmad Hasyimi Imam Masjid Al-Mustaqim Ampang membawa tajuk 'Amalan Ahli Syurga'.

Antara yang diutarakan ialah:
1. Iman dan Amal yang soleh (Rujuk S2:82- Surah Al Baqarah ayat 82).
2. Akhlak yang baik - tinggalkan debat walaupun benar dan banyakkan cari ilmu.
3. Taqwa  (Rujuk S3:133-136 Surah Ali Imran)
- Bersegera kepada keampunan dan syurga
- infaq masa senang/susah, menahan marah, memaafkan kesalahan.
- segera ingat kepada Allah, mohon ampun akan dosa dan tidak buat lagi.
- balasannya ialah keampunan dan syurga dari Allah.
4. Taat kepada Allah dan Rasul (Rujuk S48:17) orang yang taat akan masuk syurga.
5.Berjuang ke jalan Allah (Rujuk S9:111)
6. Taubat - khas untuk orang-orang mukmin.
7. Istiqamah di dalam beragama
8. Menuntut ilmu.
9. Solat - banyakkan dan panjangkan sujud.
10. Baca ayat Qursi selepas solat.
11. Jaga solat sunat Rawatib 12 rakaat.
- 4 rakaat sebelum Zuhur.
- 2 rakaat sebelum Asar
- 2 rakaat selepas Maghrib.
- 2 rakaat selepas Isyak
- 2 rakaat sebelum Subuh.
12. Memberi salam, memberi makan, menjaga silatulrahim dan lakukan solat malam.
13. Menjaga maruah dan taat kepada suami - khas untuk wanita/isteri
14. Kumpulkan banyak amalan yang soleh - sebab kita tidak tahu amalan mana yang diterima Allah.

Penceramah keempat ialah Ustaz Abdullah Bukhari seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa dengan tajuk 'Resipi Kebangkitan Ummah'.

Beliau memulakan ceramah dengan jenaka - Mengantuk dalam perang memberi kekuatan dan bukan mengantuk di dalam Dewan.

Intipati yang saya perolehi ialah:
1. Adab dengan Al Quran
Kita disarankan untuk memahami AL Quran mengikut kehendak Allah dahulu.
2. Ubah Umat Islam - kembali kepada ISlam yang sebenar bukan Islam separa masak/tiruan/jadian.
3. Keahlian ilmu - beberapa cara mensyukuri Islam.
- Islam adalah agama ilmu dan bukan agama ritual
- Islam asli yang progresif adalah manual terbaik dari pencipta manusia.
- jangan fobia dengan Islam.
4 Jangan takut kalah kerana Islam.

Empat resipi asas kebangkitan Islam:
1. Peneguhan Tauhid
2. Pembudayaan Ilmu
3. Pembudayaan Dakwah dengan bersungguh-sungguh
4. Menangani perbezaan pendapat dengan berkhemah.

Penceramah membuat kesimpulan supaya kita belajar dari sejarah dan mencipta sejarah sendiri.

Bersambung....

TWINS OF FAITH CONFERENCE 2015 (2)

28/12/2015 - ISNIN

THE AWAKENING
26-27/12/2015
DI PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (PICC)

Teks : Zaliha Yeop

Sesi petang Konvensyen Ilmu dan Amal di Dewan 6 Hari Pertama bermula pukul 2.00 petang. Tajuk perbincangan 'Awasi Jerat dan Tipu Daya Iblis' oleh Penceramah tempatan yang tidak asing lagi Dr Zaharuddin Abdul Rahman.

Intipati ceramah 40 minit beliau yang sempat saya catat:

1. Iblis/syaitan akan sentiasa cuba menakut-nakutkan manusia,
sebagai contoh akan ada bisikan kepada diri kita;
Keluarkan zakat akan jatu miskin
Bagi sedekah duit jadi kurang
Imej Islam akan menjadikan kita dilabel sebagai 'terrorist' dan lain-lain lagi.

2. Iblis/syaitan akan mengindahkan perkara-perkara yang mungkar,
sebagai contoh;
Riba itu haram tetapi menguntungkan
Arak haram tetapi masih dihidangkan di dalam setiap penerbangan
Judi itu haram tetapi boleh bayar cukai.

3. Syaitan/iblis akan membuat janji palsu kepada manusia;
Belajar syariat dengan betul tetapi tidak melaksanakan semua perkara dengan betul,
Menjanji kebahagian tetapi dari hasil duit yang haram.

4. Syaitan/Iblis dengan cepat menjadi jurucakap dari Allah seperti tindakan IS - berjuang dengan nama Allah tetapi tidak mengikut cara Islam.

5. Iblis/syaitan memberi nasihat seperti contoh syaitan menasihatkan Nabi Adam dengan mengatakan Allah suruh buat 10 perkara baik dan hanya 1 dosa. Dengan satu dosa tersebut Nabi Adam dibuang dari syurga.

Bentuk-bentuk tipu daya Iblis:

1. Bisikan - yang membawa manusia mendekati kejahatan.
2. Syaitan hadir di dalam semua yang kita buat - ketika makan tanpa membaca Bismillah.
3. Masuk rumah tanpa membaca Bismillah.
4. Syaitan di dalam rumah - digalakkan membaca Surah Al Baqarah.
5. Waktu petang/Maghrib - jangan biarkan anak-anak bermain di luar.
6. Tutup bekas air dan minum baca Bismillah.
7. Tidur tidak membaca doa tidur - syaitan akan mempengaruhi.
8. Bila buat ibadah solat teringat berbagai-bagai perkara dan tidak khusyuk.
9. Nampak syaitan secara fizikal/bayangan - bacakan doa Nabi Sulaiman.
10 Tidur mimpi yang menakutkan - ludah ke kiri, baca Taawudz dan ubah posisi tidur

Semua perkara ini berlaku kerana Iblis telh berjanji dengan Allah untuk mengganggu manusia dari kanan dan kiri kerana banyak manusia tidak bersyukur dengan nikmat Allah.

Bersambung....

TWINS OF FAITH CONFERENCE 2015 (1)

27/12/2015 - AHAD

THE AWAKENING 

26-27/12/2015 
DI PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (PICC)

Teks : Zaliha Yeop


Dua hari lepas saya tidak mengemaskini Blog kerana menghadiri TWINS OF FAITH Conference 2015 - The Awakening 26-27/12/2015 (Sabtu dan Ahad).


Saya berpeluang menghadiri program tersebut yang diadakan di PICC tiket sumbangan Alia kepada saya, Big Boss dan adiknya Azeem. Ia merupakan peluang untuk bersama anak-anak ruang waktu yang agak jarang kami dapat kerana tugasan masing-masing. Saya menerima email peringatan kehadiran sehari sebelum program bermula. Turut dilampirkan satu video mengenai program yang akan dijalankan. 


Tidak pasti siapa penceramah pada video tersebut satu yang paling terkesan beliau mengingatkan saya - Niatkan untuk hadiri program kerana Allah Taala. Pesannya lagi dengan niat tersebut setiap saat saya  berada pada program tersebut akan dikira sebagai ibadah. Sayapun memasang niat menghadiri program tersebut kerana Allah Taala. 


Selain dari memberikan tiket percuma Alia juga membuat tempahan penginapan 3hari 2malam untuk kami berempat berkumpul di Citadines D'Pulze Hotel Cyberjaya. Kami memulakan perjalanan ke Cyberjaya pukul 3.00 petang selepas Big Boss selesai solat Fardhu Jumaat-25/12/2015 dan sampai ke destinasi pukul 6.45 petang. Citadines D'Pulze Hotel tempat kami menginap ialah Servis Apatmen Satu Bilik yang dilengkapi dengan semua peralatan dapur untuk memasak dan memanaskan makanan.


Semasa sampai di hotel hujan turun renyai-renyai dan suasana lembap/sejuk membuatkan kami teramat lapar. Kami memilih untuk makan malam di Homst Recipe D'Pulze Cyberjaya sebuah Restoran Makanan Cina Muslim. Tidak dapat saya gambarkan bahagia dan nikmatnya dapat makan bersama dua dari empat orang anak.  Kali terakhir saya menikmati makanan Cina Muslim di Chinese Muslim Restaurant (CMR) Bayan Baru semasa  bertugas di Georgetown Pulau Pinang. Yang membuat saya lebih terharu apabila Alia pun membayarkan bil makan malam kami.


Pagi Sabtu kami bangun awal untuk sarapan pagi sebelum ke program yang dijadualkan bermula pukul 9.00 pagi. Kami tiba di PICC tepat pukul 8.50 pagi sepuluh minit sebelum kaunter pendaftaran dibuka. Apabila datang awal kami mendapat tempat pakir Zon Hijau seperti yang disarankan oleh pihak penganjur. Kami mendaftar tepat pukul 9.00 pagi dan masih punya masa untuk solat sunat Dhuha. Mengikut aturcara Upacara Perasmian Program diadakan di Dewan Plenari bermula pukul 10.00 pagi.


Pertama kali menjejakkan kaki di PICC membuatkan saya amat berbangga menjadi rakyat Malaysia mempunyai bangunan GAH yang cantik dan terletak di Kawasan Pentadbiran Negara Putrajaya yang bersih dan cantik. Saya mengambil peluang untuk meninjau persekitaran PICC sambil melawat gerai pameran di kawasan lobi. Peraturan kawalan keselamatan di PICC agak ketat dan para peserta hanya dibenarkan masuk ke Dewan Plenari tepat pukul 10.00 pagi.


Upacara Perasmian disempurnakan oleh Sahibus Samahah Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri Mufti Wilayah Persekutuan. Semasa berada di Dewan Plenari baru saya berkesempatan untuk meneliti 'Program Booklet' yang diberi kepada semua peserta semasa pendaftaran tadi. Ini merupakan kali kedua Alia menyertai program. Saya juga difahamkan setiap tahun program ini mampu menarik penyertaan sehingga 7000 peserta.


Dari Program Booklet saya mendapat makna Twins of Faith - yang membawa maksud Ilmu dan Amal. Tujuan utama program diadakan ialah untuk menggalakkan umat Islam sentiasa mencari ilmu. Objektif utama penganjur pula untuk memberikan ilmu dan menggalakkan umat kearah aktiviti sosial yang positif.


'The Awakening' dianjurkan oleh Mercy Mission in Malaysia dengan sokongan daripada Muslim World League, TV ALHIJRAH dan juga beberapa penganjur bersama yang lain. Program dua hari diadakan di beberapa tempat berbeza iaitu Dewan Plenari dan Dewan 6. 

Untuk Hari Pertama 26/12/2015 'The Awakening' program Bahasa Inggeris sepenuhnya diadakan di Dewan Plenari dan Konvensyen Ilmu dan Amal di Dewan 6. Program bermula pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam penuh dengan pengisian ilmu merangkumi pelbagai topik keagamaan oleh Penceramah Terkenal Antarabangsa dan Tempatan.


Untuk Hari Kedua 27/12/2015 'The Awakening' di Dewan Plenari dan Youth Conference di Dewan 6. Program dua hari itu turut menyediakan Play & Pray bagi memudahkan ibubapa yang membawa anak-anak untuk turut serta dalam semua acara.

Saya berada di Dewan Plenari mengikuti tajuk yang diperbincangkan di dalam Bahasa Inggeris oleh Penceramah sehingga waktu rehat untuk solat Zuhur. Selesai makan tengahri dan solat Zuhur saya ke Dewan 6 untuk mengikuti ceramah oleh Penceramah Tempatan yang bermula tepat pukul 2.00 petang dan tamat pada pukul 5.45 petang.


Saya akan kongsikan dengan anda tajuk dan ilmu yang saya perolehi sepanjang dua hari program 'The Awakening' ini.


Bersambung...





SILATULRAHIM - 19/09/2015

PENGALAMAN/KENANGAN

Teks : Zaliha Yeop

SILATULRAHIM

Sabtu – 19/09/2015
5 Zulhijjah 1437H

Rutin pagi masih seperti biasa sungguhpun hari ini Sabtu. Kami solat Subuh di masjid dan disambung dengan mengaji Al Quran apabila sampai ke rumah. Big Boss membeli Mee Goreng untuk sarapan. Selesai sarapan pagi dan membuat kerja rumah saya melayari dan mengemaskini Facebook dan Blog.

Hari ini ada undangan ke majlis perkahwinan anak Abang Chu Othman Taat bin Yeop di Lorong Masjid Kg Bahagia Teluk Intan. Abang Chu ialah abang sebapa berlainan ibu. Bapa saya berkahwin dengan isteri pertama Mak Wa punya 8 orang anak 6 lelaki dan 2 perempuan. Dengan arwah Emak punya dua anak saya dan abang yang meninggal semasa masih kecil. Emak saya balu punya 3 orang anak 2 lelaki dan 1 perempuan hasil perkahwinan dengan Allahyarham Tuan Haji Mat Sirat yang meninggal dunia semasa menunaikan fardhu Haji di Mekah.

Mak Wa isteri pertama diceraikan. Arwah Ayah dan Emak tinggal di Kg Durian Sebatang bersama-sama 8 anak-anak isteri pertama.

Ayah saya meninggal semasa saya berusia 4 bulan. Setelah kematian ayah arwah Emak balik ke kampung asalnya di Kampung Baru dan tinggal bersama anak-anak arwah suami pertama. Manakala isteri pertama ayah dibawa balik ke rumah tersebut bersama suami baru dan sudah punya 2 orang anak lelaki oleh 8 orang anak-anak mereka. 

Hari ini saya akan ke kampung itu semula. Bukan untuk mengenang kisah lama tetapi untuk mengeratkan silatulrahim adik beradik. Kami sampai ke majlis pukul 12.30 tengahari bersaing dengan hadiran pengantin. Saya berjumpa semula dengan adik beradik yang masih ada dan juga kakak-kakak ipar. Abang sulung dan yang kedua telahpun meninggal dunia. 

Selesai majlis kami balik ke Kampung Baru menziarahi Abang (satu Emak lain bapa) yang telahpun dibenarkan keluar Hospital pada hari Khamis 17/9/2015 lepas setelah mendapat rawatan akibat kemalangan. Saya tidak mahu menunjukkan kesedihan apabila bersalaman dengan Abang. Abang sedih dan mengadu sudah tidak punya sebelah kaki. Saya menenangkan beliau supaya redha dengan ketentuan Allah. Saya juga berjanji untuk membantu membuat tuntutan insuran kemalangan dan membuat kaki palsu. Dalam pada itu saya menasihatkan beliau supaya menjaga kesihatan demi kebahagiaan keluarga. Semua orang bersimpati dan Abang perlu semangat yang kuat untuk meneruskan kehidupan yang mendatang.


Pukul 4 petang kami beransur balik ke Manjung dan sampai ke rumah pukul 5.15 petang. Masa yang ada saya gunakan untuk mencuci kereta sebelum berjemaah Magrib dan Isyak di masjid.

PENETAPAN STRATEGI - 18/09/2015

PENGALAMAN/KENANGAN

Teks : Zaliha Yeop

DUNIA PERSARAAN SAYA

Jumaat – 18/9/2015
4 Zulhijjah 1437H

Hari Jumaat penghulu segala hari kami solat Subuh berjemaah di masjid. Usai solat Subuh saya mengaji Al Quran Surah Al Kahfi dan Yaasin. Sarapan pagi Big Boss membeli Nasi Lemak dan Kuew Teow Goreng.

Saya menerima bekalan YSPAN Nu Skin produk baru untuk kesihatan dari kawan saya Umi Hani. Dengan adanya YSPAN saya hanya akan fokus kepada satu produk dan tidak perlu untuk membeli makanan tambahan yang lain. Selama ini saya banyak membelanjakan duit untuk membeli pelbagai makan tambahan yang adakalanya tidak saya gunakan sepenuhnya.

Pada sebelah pagi saya mengulangkaji ilmu yang saya perolehi dari Master Coaching hari Rabu lepas. Disamping itu saya juga memuat turun perisian ‘CashFlow’ untuk kegunaan syarikat. Saya berharap dengan perisian ini akan menimbulkan ‘BiG Why’ pada diri saya untuk bertindak dengan lebih bijak di dalam menjalankan perniagaan yang saya inginkan. Semuga Allah permudahkan.

Selepas solat Zuhur dan makan tengahari ‘upline’ saya Romy meminta saya membekalkan Kopi Mineral kepada kawannya yang tinggal di Seri Manjung. Setelah mendapat maklumat yang diperlukan saya menghubungi pelanggan tersebut untuk penghantaran. Kopi Mineral dan produk keluaran Sajidah Hai-o ialah salah satu dari perniagaan yang ingin saya ceburi secara ‘online’ semasa persaraan.


Hari ini juga saya meminta Aida anak kepada pembantu saya mengedarkan ‘Flyers’ Perancangan dan Pengurusan Harta dan Pusaka ke kawasan kejiranan Taman Desa Bayu seberang jalan hadapan masjid. Sudah semestinya perkhidmatan yang diminta tidak diberi secara percuma. Pada sisi yang berbeza perkhidmatan itu dapat juga menanamkan semangat berani dikalangan remaja.

DI HKL - 17/09/2015

KENANGAN/PENGALAMAN

Teks : Zaliha Yeop

DUNIA PERSARAAN SAYA

Khamis – 17/9/2015
3 Zulhijjah 1436H

Kami masih di Ecity Hotel@One City Subang Jaya. Saya bangun awal seperti biasa untuk solat-solat sunat dan Subuh. Aliff ‘checked-out’ dari Hotel pukul 7.00 pagi untuk terus ke tempat kerja. Kami pula bersarapan makan pulut dan sambal di restoran yang sama seperti malam tadi. Selesai sarapan kami berehat dan membaca suratkhabar dahulu di bilik. 

Kami ‘checked-out’ dari Hotel pukul 10.30 pagi untuk ke Hospital Kuala Lumpur menziarahi abang Big Boss yang masih dirawat di situ semenjak 18/7/2015. Kami sampai awal dari waktu lawatan dan menunggu sehingga hospital dibuka untuk lawatan pada pukul 12.30 tengahari.

Keadaan Abang Ipar sudah banyak perubahan. Beliau yang sentiasa ditemani isteri nampak lebih sihat boleh berjalan dengan bantuan kecuali beg untuk dialysis sahaja. Walau bagaimanapun kami difahamkan doktor masih membuat rawatan lanjut untuk mengenal pasti penyakit yang dihidapinya. Untuk tujuan itu beliau masih perlu untuk terus tinggal di hospital. 

Kami berada mereka di hospital selama 40 minit dan terus balik ke Seri Manjung. Kami makan tengahari dan solat jamak Zuhur dan Asar di hentian Sg Buloh dan sampai ke rumah pukul 5.30 petang.


Kami solat Magrib diikuti bacaan Yaasin dan tahlil serta Isyak berjemaah di masjid. 

PROGRAM AKHIR MASTER COACHING - 16/09/2015

PENGALAMAN/KENANGAN

Teks : Zaliha Yeop

DUNIA PERSARAAN SAYA

Tiada kemaskini Blog untuk dua hari - Bersama keluarga bercuti di Pulau Pangkor. 

Rabu – 16/9/2015
2 Zulhijjah 1436H

Hari ini cuti awam ‘Hari Malaysia’. Saya menghadiri program terakhir Dr Azizan Osman Master Coaching – MMM Jun2015 di Ecity Hotel@One City Subang Jaya. Big Boss seperti biasa menemani saya. Saya bangun seawal 3.30 pagi untuk solat-solat sunat dan kami memulakan perjalanan pukul 4.20 pagi. Solat Subuh di kawasan rehat Ulu Bernam. Big Boss membeli minuman sebelum meneruskan perjalanan dan sampai ke Ecity Hotel pukul 7.30 pagi. Setelah ‘checked-in’ saya solat Dhuha di bilik sebelum mendaftar untuk program.

Program bermula pukul 9.00 pagi dan berhenti rehat pukul 1.15 tengahari. Untuk makan tengahari saya membeli sandwic dari Subway. Big Boss dan Aliff pergi berjalan-jalan ke Petaling Jaya. Setelah solat Jamak Zuhur dan Asar saya ke sesi kedua program.

Sesi bermula pukul 2.30 petang dan berakhir pukul 4.45 petang. Saya balik semula ke bilik sementara menunggu untuk temujanji dengan kawan sekolah Puan Noor Aini Hayati pada pukul 6.00 petang untuk sesi penerangan mengenai Hibah kepada suami beliau.

Saya memberi penerangan Hibah sehingga pukul 7.20 malam. Big Boss sempat bertemu dengan pasangan suami isteri tersebut dan bersama saya semasa sesi penerangan. Aliff pula balik semula ke Puchong untuk bermain futsal dengan kawan-kawannya.


Kami solat Jamak Maghrib dan Isyak di Hotel dan makan malam di restoran berhampiran. Aliff datang semula pukul 11.00 malam untuk bermalam bersama kami di Hotel.

TIDAK SIHAT - 15/09/2015

PENGALAMAN/KENANGAN

Teks: Zaliha Yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA

Selasa – 15/9/2015
1 Zulhijjah 1436H

Saya berpuasa sunat 1 Zulhijjah hari ini sungguhpun rasa tidak sedap badan. Rutin awal pagi seperti biasa bersahur, solat-solat sunat dan solat Subuh berjemaah di masjid. 

Hari ini ada Bacaan Yaasin kumpulan kami di rumah Puan Niza. Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon jemaah sedekahkan Bacaan Yaasin kepada Abang yang terlantar di hospital. Selesai Bacaan Yaasin dan menghormati kawan-kawan makan saya terus balik ke rumah. 

Saya ke Klinik Famili untuk pemeriksaan kerana ada rasa demam sedikit dan untuk mengambil ubat. Balik ke rumah saya masak untuk makan tengahari. Menu hari ini Kari Ikan dan Sayur.


Selesai solat Zuhur saya tidur untuk merehatkan badan hingga waktu Asar. Setelah berbuka saya solat Maghrib dan Isyak di rumah sahaja.

HOSPITAL TELUK INTAN HARI KE 3 - 14/09/2015

PENGALAMAN/KENANGAN

Teks : Zaliha binti yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA

Isnin – 14/9/2015
30 Zulkaedah 1436H

Rutin awal pagi saya seperti biasa hari ini. Bangun seawal 4.50 pagi untuk solat-solat sunat dan bersahur. Saya berpuasa sunat hari ini. Selesai tugasan di rumah dan di ‘Home Office’ saya meminta izin dari Big Boss untuk ke Hospital Teluk Intan semula. Saya rasa bertanggungjawab untuk bersama keluarga Abang di saat-saat kesukaran begini kerana saya membesar bersama mereka.

Saya ke hospital pukul 12.00 tengahari dan terus menunaikan solat Zuhur di Surau. Hari ini ramai adik beradik Kakak Ipar yang datang menziarahi Abang di hospital. Saya memberi mereka peluang untuk menziarahi Abang dahulu begitu juga dengan jiran-jiran yang datang dari kampung. 

Dalam pada itu ada juga kawan-kawan sekolah yang tinggal di Teluk Intan bertanya khabar apabila mendapat tahu Abang kemalangan jalan raya. Kawan sekolah saya Jun kenal dengan Abang dan Kakak Ipar di kampung datang menziarahi di hospital pukul 4.30 petang. Seorang lagi kawan sekolah saya Nuraihan pula datang menziarahi Abang pukul 6.00 petang. 

Dalam waktu menunggu di beranda Surau Hospital saya sempat menghubungi kawan peguam saya Hajjah Salwah dan R Asmawati berbincang untuk mendapatkan pampasan dan tuntutan insuran kemalangan untuk Abang. Saya akan membantu Abang mendapatkan pampasan yang sepatutnya bagi memulakan kehidupan baru apabila sudah pulih seperti sediakala. Saya juga memaklumkan perkara yang sama kepada Kakak Ipar dan anak-anaknya. Mereka semua akur dan akan membuat yang terbaik untuk kebajikan Abang selagi dia masih hidup. Begitu juga harapan saya. Semuga Allah permudahkan.

Saya sampai ke rumah Manjung pukul 7.15 malam tepat waktu untuk berbuka puasa. Big Boss telah ke masjid untuk berjemaah Maghrib. Saya berbuka puasa dengan Cucur Udang pemberian pembantu saya. 


Selesai solat Maghrib baru saya masak Sambal Tumis Udang dan Ikan Rebus Goreng untuk makan malam.

HOSPITAL TELUK INTAN HARI KE 2 - 13/09/2015

PENGALAMAN/KENANGAN

Teks : Zaliha Yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA

Ahad – 13/9/2015
29 Zulkaedah 1436H

Kami keletihan dan terbangun lewat pada pukul 6.45 pagi dan solat Subuh di rumah sahaja. Usai solat kami ke Pasar Tani membeli sarapan pagi Nasi Dagang dan Kuih Putu Buluh. 

Peraturan lawatan di Hospital Teluk Intan agak ketat. Kami hanya bergerak ke Hospital semula pada pukul 11.30 pagi dan sampai tepat masa untuk lawatan pesakit. Saya berhubung melalui mesej Whatsapp dengan anak-anak Abang yang menunggu di hospital. Dimaklumkan kaki Abang sudah selamat dibedah/potong pada pukul 4.00 pagi. Beliau sekarang di Wad ICU di dalam keadaan yang stabil. Kedua-dua menantunya telah menguruskan membawa balik kaki yang dipotong untuk ditanam mengikut yang sepatutnya. Mereka meminta bantuan Imam di masjid untuk urusan tersebut.

Ramai sepupu, saudara mara dan jiran kami dari kampung berada di hospital untuk menziarahi Abang. Di Wad ICU hanya dua orang dibenarkan melawat seorang pesakit pada satu masa dan kami bergilir-gilir melawat Abang yang separuh sedar. Habis waktu lawatan kami duduk bersembang di beranda surau hospital. Sudah agak lama kami tidak berbual dan berkumpul mesra sebegitu. Walaupun di dalam keadaan yang sedih mengenangkan kaki Abang dipotong hikmahnya kami berkumpul semula dengan saudara mara dan jiran tetangga setelah sekian lama. Seingat saya kali terakhir berkumpul dan bertemu mereka pada tahun 2011 semasa Emak meninggal dunia. 

Di sisi yang berbeza kejadian ini mengajar saya untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada kerana semua itu milik Allah. Semalam sebelum kemalangan Abang sihat walafiat dan sentiasa aktif menguruskan kebun kelapa sawitnya. Hari ini Abang terlantar di Wad ICU dengan sebelah kaki kirinya telah dipotong. Tidak dapat saya gambarkan perasaannya apabila sedar dan mendapati keadaannya yang sudah tidak seperti dahulu. Bagaimana pula saya untuk menerangkan keadaan tersebut dan apa pula penerimaan Abang dengan keadaannya sekarang.

Saya tolak ketepi semua perasaan tersebut. Di dalam hati saya sentiasa panjatkan doa semuga Abang terima keadaannya dengan redha sebagai qadha dan qadar dari Allah swt. Selain dari itu saya pun menasihati Kakak Ipar dan anak-anaknya supaya sama-sama bersabar menerima ujian dari Allah. Allah sebenarnya menguji sejauh mana kita akan mampu bersabar dengan keadaan Abang setelah dia sedar dan seterusnya membantu beliau supaya keadaan pulih seperti sediakala.

Tiba-tiba saya terkenang kepada arwah Emak. Sekiranya beliau masih ada mesti agak sukar untuk dia menerima keadaan anaknya itu. Mengimbau semula kenangan semasa saya masih kecil Abang sentiasa membantu Emak menghantar barang jualan keluar dari kampung untuk dijual di pasar Teluk Intan. Beliau juga yang akan mendukung dan menghantar saya ke sekolah apabila jalan becak selepas hujan. Sekarang orang itu terlantar di hospital dan kaki sebelah kiri bawah lutut telah dipotong. Walau apapun keadaannya saya akan sentiasa memberi sokongan moral dan segala bantuan untuk memulihkan semangatnya. Semuga kami semua diberi kesabaran untuk menghadapi masa-masa yang sukar begini.


Kami berada di hospital sehingga pukul 5.30 petang dan balik ke Manjung pukul 6.40 petang dan sempat berjemaah Maghrib di masjid.

ABANG KEMALANGAN - 12/9/2015

PENGALAMAN/KENANGAN

Teks : Zaliha Yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA

Sabtu – 12/9/2015
28 Zulkaedah 1436H

Hari ini Azeem ke Kuala Lumpur mencari bilik untuk sewa di sekitar Petaling Jaya. Dia mendapat tawaran bekerja di sebuah syarikat swasta dan akan memulakan kerja pada 28/9/2015. Dia keluar awal untuk menaiki ETS dari Batu Gajah ke KL Sentral. Aliff akan membantunya mencari bilik yang sesuai selepas waktu pejabat petang ini.

Untuk sarapan pagi saya memasak Cekodok, Lempeng Pisang dan Nasi Goreng. Saya menyiapkan kerja rumah awal. Hari ini ada undangan ke majlis perkahwinan di sebelah rumah saya. Rumah sebelah yang dinamakan Astana Idaman telah dijadikan sebagai tempat mengadakan majlis perkahwinan yang diaturkan oleh Perancang Perkahwinan terkenal di Daerah Manjung. Menjadi rezeki kami akan sentiasa dijemput hampir setiap kali majlis perkahwinan diadakan disitu.

Selesai menghadiri majlis tersebut kami hanya lepak di rumah melayan cerita Hindustan di TV3. Tiada banyak aktiviti dapat dilakukan di rumah kerana banyak kereta pakir di hadapan rumah dan selain dari itu bunyi muzik yang bising dari majlis sebelah sedikit sebanyak mengganggu ketenteraman jiran-jiran sekeliling.

Sambil menonton televisyen saya membaca dan membalas mesej Whatsapp di telefon bimbit. Tiba-tiba saya terbaca mesej dari grup keluarga Yaya anak saudara saya memberitahu dia di dalam perjalanan balik ke kampung bapa kemalangan. Dan tertera juga dua gambar lelaki kemalangan yang agak serius. Pada mulanya saya mengandaikan bukan abang saya yang kemalangan. Setelah diteliti dan membuat pengesahan dengan Yaya baru saya pasti abang adalah mangsa kemalangan tersebut.

Saya amat terkejut dan terus menunjukkan kepada Big Boss gambar tersebut. Kami bergegas pergi dan sampai ke Hospital Teluk Intan pukul 6.30 petang. Abang di rawat di Wad Kecemasan. Isteri, semua anak-anaknya, Abang Din dan Isteri dan sepupu suami isteri telah berada di tempat menunggu. Pukul 8.00 malam kami dipanggil masuk bertemu doktor. Kami dimaklumkan kaki Abang tidak dapat diselamatkan dan perlu dipotong secepat mungkin. Pihak Hospital memerlukan kebenaran dari waris untuk melakukan pembedahan secepat mungkin.


Kami tiada pilihan dan terus memberi kebenaran. Pukul 12.00 tengah malam Abang dipindahkan ke Bilik Pembedahan. Hanya Kakak Ipar dan dua anaknya dibenarkan untuk berada ditempat menunggu. Memandangkan tempat yang terhad kami mengambil keputusan untuk balik ke Manjung dan berjanji akan datang semula esok pagi. Kami sampai ke rumah pukl 1.15 pagi.

AMALAN HARI JUMAAT - 11/09/2015

PENGALAMAN/KENANGAN

Teks : Zaliha Yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA

Jumaat – 11/9/2015
27 Zulkaedah 1436H

Pagi Jumaat kami solat Subuh berjemaah di masjid. Mengambil keberkatan penghulu segala hari balik dari masjid saya membaca Surah Yaasin dan Al Kahfi. Saya memang berazam untuk membaca surah Al Kahfi setiap Jumaat kerana terdapat banyak hadis mengungkapkan tentang keutamaan dan manfaat pada surah ini. 

Diantara kelebihannya membaca Surah Al Kahfi pada hari Jumaat ialah:
1.  Baginya cahaya dari kepala hingga kakinya dan siapa yang membaca keseluruhannya maka jadilah baginya cahaya antara langit dan bumi.
2.  Mendapat pengampunan dosa diantara dua Jumaat.
3.  Rumah yang dibacakan surah Al Kahfi dan Al Baqarah tidak akan dimasuki syaitan. 
4. Terhindar dari fitnah Dajjal.

Pagi ini saya dan Big Boss ke pasar dan membeli Nasi Lemak, Lontong dan Nasi Impit untuk sarapan pagi. Saya pula tidak bercadang untuk membuat sebarang tugasan di ‘Home Office’.

Untuk menu makan tengahari saya sediakan Ikan Cencaru Bakar, Sambal Kicap, Sambal Kacang, Pucuk Ubi Rebus, dan Gulai Masam Batang Keladi. Selalunya kami makan tengahari bersama selepas Big Boss balik dari solat Jumaat.

Pada sebelah petangnya saya menerima bekalan stok Mineral Coffee dan Active Garlic yang saya tempah minggu lepas. Saya adalah peminum kopi yang tegar dan telah meminum Mineral Coffee setahun yang lepas. Harapan saya untuk menjadikan Mineral Coffee dan Active Garlic ini sebagai salah satu bidang perniagaan selepas persaraan. Untuk itu saya perlu lebih banyak mendalami dan masih di dalam proses mendalami selok belok perniagaan ‘on-line’ dan ‘offline’ sebelum bergiat secara serius. Semuga Allah perkenankan.

Saya tidak berkesempatan untuk berbasikal petang ini kerana memberi penerangan perancangan harta dan pusaka kepada pembantu saya.


Kami solat Maghrib berjemaah di masjid.

PASAR PAGI KG KOH - 10/09/2015

PENGALAMAN/KENANGAN

Teks : Zaliha Yeop

Khamis – 10/9/2015
26 Zulkaedah 1436H

Kami makan Nasi Goreng untuk sarapan pagihari ini. Selepas sarapan Big Boss menemani saya membuat tugasan Hartanah mengambil gambar rumah Kak Esah jiran di taman dan apartmen Yusmizan di Bukit Permata. Saya diminta untuk membantu mereka mendapatkan pembeli bagi kedua-dua hartanah tersebut.

Saya memuat turun gambar hartanah di Facebook sesampai di rumah dengan penuh harapan akan ada orang yang berminat dengan hartanah tersebut. Selesai tugasan kami mengambil kereta Waja yang dihantar untuk servis pagi semalam. Oleh kerena ada sedikit pembaikan untuk kerosakan kereta Waja telah ditinggalkan semalaman di wokshop.

Setelah menghantar kereta Waja balik ke rumah Big Boss berseorangan bergegas ke Ipoh untuk mengambil lapuran perubatan dari Klinik Dr Lee Boon Chye untuk menyokong permohonan beliau mendapatkan pencen ilat dan seterus menghantar ke pejabat Perkeso di Ipoh. 

Saya membuat temujanji dengan Faridah untuk ke Pasar Pagi di Kampong Koh pada pukul 11.30 pagi. Sudah agak lama saya tidak ke sana. Pasar Kampong Koh di buka dari pukul 8.00 pagi setiap hari Khamis. Banyak barangan yang jual dari makanan untuk sarapan pagi, bantal kekabu, pakaian/barangan, dapur, jubah, tudung, ikan dan sayur-sayuran.

Saya berminat kepada cadar ‘home made’yang dijual di sebuah gerai di pasar tersebut. Warna dan kualiti kain yang dijual agak menarik dan berkualiti dibandingkan dari yang beli di Billion. Saya agak terkilan untuk membuat tempahan dari gerai tersebut kerana layanan buruk yang diberikan. Ia berpunca apabila saya bertanyakan berapa harga upah menjadit cadar dan sarung bantal. Sungguhpun beliau berkali-kali memohon maaf atas layanan yang sambil lewa hati saya menjadi tawar untuk membuat tempahan dengan beliau. Kesimpulan yang saya buat ialah apabila hati kita disakiti seribu perkataan maaf tidak akan mampu memperbetulkan keaddaan.

Kami makan tengahari di kedai Rojak Manjung di Sitiawan sebelum mengambil Mubin dari sekolah pada pukul 1.00 tengahari.


Setelah solat Zuhur di rumah saya mengemaskini tugasan di ‘Home Office' sehingga waktu Asar. Petang itu sambil berbasikal lima pusingan saya turut mengedarkan ’Flyers’ke rumah jiran-jiran di taman untuk Perancangan dan Pengurusan Harta dan Pusaka. Semuga usaha saya mampu memberi kesedaran kepada masyarakat untuk membuat perancangan kepada harta mereka. 

AKTIVITI 9/9/2015

CATATAN HARIAN

Teks : Zaliha Yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA

Rabu - 9/9/2015
25 Zulkaedah 1436H

Pagi ini hujan turun dengan lebatnya di Manjung sebaik selepas memberi salam solat Subuh. Kami tidak boleh balik ke rumah kerana tadi kami menaiki motosikal ke masjid. Cuaca juga tidak menunujukkan tanda-tanda hari akan hujan. Walau apa pun hujan ialah rahmat dari Allah. Masa yang sesuai untuk saya submit DOA. Saya pun membaca Al-Kausar 100 kali memohon dipermudahkan semua urusan untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Saya juga memohon supaya Allah melimpahkan rahmat ke atas apa yang saya usahakan.

Semua jemaah menunggu hujan reda di dalam masjid. Ada yang mengaji dan ada juga yang berbual sesama jemaah. Saya berbual dengan Kak Thaudah yang akan mengerjakan fardhu Haji minggu hadapan. Sempat juga saya bertanya berapa kos perbelanjaan beliau suami isteri untuk mengerjakan haji dan agensi yang mengendalikan pakej tersebut.

Saya dimaklumkan kos perbelanjaan mereka ialah kurang RM60 lagi RM40,000 seorang dan perjalanan mereka suami isteri akan melalui transit di Oman. Saya terlupa pula nama agensi yang mengendalikan pakej haji tidak berminat kerana kos yang dikenakan agak tinggi. Bukan di dalam bajet saya.

Mengimbau ketika saya dan Big Boss mengerjakan haji pada tahun 2001 kami di  dalam ‘reserve list’ sahaja. Tabung Haji meminta kami mencukupkan tabungan RM10,000 seorang untuk membolehkan kami menunaikan Fardhu Haji pada tahun tersebut. Sungguhpun Big Boss pada mulanya agak keberatan untuk menunaikan Fardhu Haji tahun tersebut tetapi akhirnya beliau akur apabila dinasihatkan oleh seorang Pak Haji untuk menerima undangan menjadi tetamu Allah.

Kos keseluruhan kami berdua mengerjakan haji lebih kurang RM25,000 sahaja. Tambang pada ketika itu lebih kurang RM9,000 seorang dan bakinya duit poket untuk kegunaan di sana. Saya membuat rumusan sendiri Allah menjemput kita pada kadar kemampuan seseorang. Walau apapun saya bersyukur kerana impian saya untuk mengerjakan haji sebelum berumur 40 tahun Allah perkenankan.

Kami pulang ke rumah basah kuyup meredah hujan yang masih turun renyai-renyai kerana jam sudah pukul 6.45 pagi. Big Boss keluar membeli roti canai untuk sarapan pagi apabila hujan reda.

Saya mengemaskini tugasan di ‘Home Office’. Pukul 12.30 tengahari saya berhenti untuk memasak Ikan Rebus Goreng, Sayu Masak Lemak dan Cendawan Goreng untuk makan tengahari.

Saya ke rumah Kak Esah untuk berbincang urusan jualan rumah beliau selepas makan. Suami Kak Esah berusia lebih 60 tahun terkena ‘Stroke’ dan mereka tidak mampu untuk membayar balik pinjaman dari Bank. Saya berjanji akan berusaha untuk membantu mendapatkan pembeli yang berminat pada harga RM1.10 juta bagi membolehkan beliau memulakan hidup baru di kampung mereka Negeri Sembilan. Saya juga agak sedih dan bersimpati kerana beliau bersama suami berusaha bersungguh-sungguh untuk membina rumah impian dan hanya sempat mereka duduki selama 11 tahun.

Saya juga yang telah membantu mereka untuk mendapat kelulusan pembiayaan perumahan dari exBank semasa mula pembinaan pada tahun 2004. Untuk menyedapkan hati saya berkata kita merancang perancangan dari Allah lagi besar. Selesai urusan saya balik ke rumah untuk solat Asar.

Saya berbasikal lima pusingan di taman dan solat Maghrib di masjid.

AKTIVITI 8/9/2016

CATATAN HARIAN

Teks : Zaliha Yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA

Selasa – 8/9/2015
24 Zulkaedah 1436H
Saya berusaha keras untuk memasarkan perkhidmatan Perancangan dan Pengurusan Harta dan Pusaka yang saya usahakan dengan mengedarkan ‘Flyers’ melalui surat khabar dan memasukkan ke dalam peti surat jiran-jiran di Taman Desa Bayu. Separuh daripada ‘Flyers’ tersebut telah saya edarkan tetapi tiada sebarang maklum balas yang saya terima dari pelanggan yang berminat.

Saya tidak berputus asa dan masih melakukan semua perkara yang rutin pada waktu pagi dan solat Subuh di Masjid. Big Boss membeli Cucur Udang untuk sarapan pagi.

Selesai sarapan saya melakukan tugasan di ‘Home Office’. Membaca nota-nota   semasa menghadiri Kausar Sales Services untuk memantapkan ilmu dan memahirkan diri untuk membuat ‘presentation’ kepada pelanggan. Saya juga menghubungi rakan saya Norehan Hashim bertanya khabar dan perkembangan terkini menghadiri mesyurat mingguan di Kausar Wealth Management Sdn Bhd hari Isnin lepas. Wasiyyah Shoppe memberi sesi penerangan produk baru Al Mutahabah di mesyuarat tersebut. 

Saya berehat pukul 12.30 tengahari memasak untuk makan tengahari Ikan Kerisi Masak Halia, Sayur dan Bubur Kacang.

Selepas solat Zuhur saya menghantar ‘Flyers’ menggunakan perkhidmatan Whatsapp kepada semua kenalan di telefon bimbit. Apabila ada maklumat baru mengenai diri kita sudah tentu ramai yang bertanya perkembangan terkini. Saya pun menjawap pertanyaan dari kenalan di telefon yang sudah lama tidak bersua muka.

Pukul 5.00 petang saya keluar dari ‘Home Office’ untuk solat Asar dan kemudiannya berbasikal 5 pusingan keliling taman.


Saya solat Maghrib di Masjid dan solat Isyak di rumah sahaja.

AKTIVITI 7/9/2015

CATATAN HARIAN

Teks : Zaliha Yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA

Isnin – 7/9/2015
23 Zulkaedah 1436H
Hari ini saya ada undangan untuk majlis bacaan Yaasin lagi di rumah Puan Thaudah dan suami jiran satu taman yang akan menunaikan fardhu haji ke Mekah. Majlis  diadakan secara mengejut kerana mereka baru sahaja menerima pengesahan  tarikh penerbangan dari Tabung Haji. Beberapa tahun sebelum ini pemergian mereka mengerjakan ibadah haji tertangguh kerana masalah visa.

Bagi mengelakkan kekecewaan pasangan ini tidak awal memaklumkan pemergian mereka ke Tanah Suci. Kami seperti biasa solat Subuh berjemaah di Masjid. Big Boss membeli Mee Goreng dan saya makan roti bersama telur hancur untuk sarapan.

Pukul 8.45 pagi saya bersama Puan Zaharah jiran hadapan rumah ke rumah Puan Thaudah untuk bacaan Yaasin tersebut. Majlis selesai sepenuhnya pukul 10.45 pagi selepas jamuan makan.  

Sebelum itu saya telah membuat temujanji dengan Tian Sian untuk servis kereta Honda pukul 11.00 pagi. Semasa mendaftar saya memohon untuk mengemaskini system GPS pada kereta tersebut. Saya membatalkan hasrat mengemaskini GPS apabila dikenakan bayaran perkhiddmatan sebanyak RM380. Kos yang dikenakan terlalu tinggi. Sebagai alternatif saya singgah ke sebuah kedai aksesori di Jalan Sitiawan-Lumut yang mengenakan caj RM100. Cajnya jauh lebih murah dari Tian Sian.

Saya pulang ke rumah dahulu untuk masak tengahari Sambal Tumis Udang, Ikan Rebus Goreng dan Pajeri Nenas sementara kereta di servis.

Sebelah petang saya menyelesaikan beberapa tugasan di ‘Home Office’ sebelum  mengambil kereta yang siap di servis dari Tian Siang pukul 6.30 petang. 

Hari ini saya berkesempatan untuk berbasikal lima kali pusingan di taman.  Saya solat Maghrib di rumah sahaja kerana menghadiri undangan Puan Umi Hani dari Farmasi Sitiawan untuk sesi penerangan produk baru YSPAN dari Nu Skin di Ritz Garden Hotel. Saya amat teruja untuk memcuba produk baru ini sebagai makanan kesihatan tambahan. 


Saya balik ke rumah pukul 10.30 malam.

AKTIVITI 6/9/2015

CATATAN HARIAN

Teks : Zaliha Yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA

Ahad – 6/9/2015
22 Zulkaedah 1436H
Saya melakukan rutin pagi seperti biasa sungguhpun pada hari Ahad. Selesai Solat Subuh berjemaah di masjid kami terus pulang ke rumah kerana tiada Kuliah Subuh. Saya peruntukan waktu setengah jam setiap hari lepas Subuh untuk mengaji Al Quran sepuluh muka surat. Kami seterusnya ke Pasar Tani dan Pasar Manjung untuk beli sarapan pagi dan barangan basah untuk makan tengahari.

Selesai sarapan pagi saya bersiap untuk menghadiri jemputan Bacaan Yaasin di rumah jiran bersebelahan masjid. Majlis diadakan memohon keberkatan dan rahmat Allah untuk anak-anak mereka yang akan menduduki peperiksaan. Saya amat teruja untuk menghadiri majlis sebegini kerana ia memberi ruang untuk saya lebih mengenali jiran-jiran dan jemaah masjid yang turut serta. Ianya juga dapat mengeratkan silatulrahim di antara kami.

Banyak juadah yang dihidangkan oleh tuan rumah di antaranya Roti Jala/Kuah Durian, Bihun Goreng, Kari Ayam, Roti Arab, Bihun Sup, kuih muih dan buah-buahan. 

Selesai majlis saya balik ke rumah untuk masak makanan tengahari Ikan Masak Taucu dan Sotong Goreng Tepung.  

Hari minggu saya peruntukan untuk berehat dan juga membuat sedikit kerja rumah menukar cadar dan lain-lain. Sekiranya ada kesempatan dan merasa bosan di rumah kami akan menaiki kereta ke Lumut dan Teluk Batik.


Maghrib dan Isyak kami berjemaah di masjid.

AKTIVITI 5/9/2015

CATATAN HARIAN

Teks : Zaliha Yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA

Sabtu – 5/9/2015
21 Zulkaedah 1436H
Hari ini Aina balik kampus di UTM Skudai setelah bercuti selama tiga bulan dengan menaiki penerbangan AirAsia dari Lapangan Terbang Ipoh ke Senai Johor. Saya dan Big Boss terbangun lewat pagi ini mungkin akibat terlalu letih menemani Aina membeli barang-barang keperluannya di Billion Supermarket malam tadi. Kami solat Subuh di rumah sahaja.

Big Boss membeli Nasi Dagang dan Nasi Kerabu untuk sarapan pagi. Usai sarapan Aina masuk ke bilik untuk tidur dahulu kerana tidak tidur semalaman mengemaskan pakaian dan barangan. Kami memulakan perjalanan ke Ipoh pukul 10.00 pagi dan sampai ke Lapangan Terbang Ipoh pukul 11.35 pagi. Jadual penerbangan AirAsia berlepas pukul 12.05 tengahari dan Aina terus ‘checked-in’ untuk pelepasan.

Selesai Aina berlepas kami ke kedai basikal di Taman Silibin. Big Boss mencari sesuatu untuk basikal yang digunakannya setiap petang dan juga 'DRONE' mainan barunya. Kami ke Greentown Mall pula apabila barang yang di cari tidak dijumpai. Barangan untuk basikal tidak dijumpai Big Boss mencari pula bateri tambahan untuk mainan ‘DRONE’nya. Dari Greentown saya mengajak Big Boss ke kedai mainan terbesar Pen Mart Toys di Pekan Lama Ipoh. Di situ ada pelbagai jenis ‘DRONE’ mainan dan bateri yang dijual. 


Setelah membeli bateri yang dikehendakki kami balik ke rumah Taman Meru untuk makan tengahari dan solat Zuhur. Kami berehat di rumah Ipoh sehingga pukul 5.00 petang dan sampai ke rumah Manjung pukul 6.30 petang.