Wednesday 9 November 2016

AKTIVITI 1-7/7/2015

CATATAN HARIAN

Teks : Zaliha Yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA

1/7/2015 – Rabu
14 Ramadan 1436  
Permulaan yang baik hari ini membenarkan kata-kata - 'if we fail to plan we plan to fail'. Perancangan yang baik bermula dengan pemikiran yang sihat dan positif.

Semasa Program IMKK kami diberi pendedahan mengenai Wellness/Health -Tentang Otak Potensi Hidup Lama - Daniel G Amen - Change your Brain Change Your Life. 

Rumusan/ilmu yang saya perolehi ialah:
1. 'Success always start with a healthy brain'
2. 'How imagining changes everything'
3. '9 principles to change your brain and change your life'.

Healthy Brain? 
Seperti yang dimaklumkan....kita jarang fikirkan kesihatan otak kita betul-betul....?
Sekiranya anda perlu maklumat lanjut sila Mr GOOGLE - Daniel G Amen untuk mendapatkan '9 principles' tersebut. (Artikelnya agak panjang untuk dikongsikan hari ini-mungkin pada tulisan yang lain)

Apa yang boleh saya kongsikan ialah kita perlu fokuskan minda secara positif dengan apa yang akan di lakukan dan mulakan langkah dengan doa 'Bismillahi tawakaltu......' semuga urusan dipermudahkan. 

Insya Allah akan dipermudahkan. Amin. Doa saya semuga terus Istiqamah. Pengurusan masa saya semakin baik dan teratur dengan tahap disiplin yang tinggi. Rutin Ramadan masih dilaksanakan seperti biasa bermula seawal 4.00 pagi untuk persediaan dan bersahur/solat2 sunat Tahajjud/Taubat/Hajat. Bukan untuk riak sekadar perkongsian ilmu.....seperti yang disarankan oleh Mentor Dr Azizan Osman kepada semua perserta IMKK-10 Success Habits.

Untuk berjaya dalam hidup kita kena ikut apa yang Mentor kita buat. (sekadar makluman perjalanan saya masih jauh sekadar mempraktikkan apa yang disarankan semuga rahmat dan keberkatan mereka juga akan sampai kepada saya - Insya Allah)

Saya mendisiplinkan diri memulakan tugasan selepas persaraan dari 9.00 pagi - 5.00 petang. Sesungguhnya rezeki kita daripada Allah swt dan ia datang tanpa diduga. Awal pagi seorang sahabat lama telah menghubungi melalui 'messenger' untuk mengemukakan resume sekiranya saya berminat untuk menjadi 'Part time Trainer' bersama beliau. Menjadi 'trainer' untuk Training Centre Bank sememangnya impian saya sejak 2010. Bagaimana pun hasrat tersebut terkubur apabila majikan memperkenalkan e-learning untuk semua kakitangan.

Menerima tawaran dari seorang yang berilmu dan bertauliah di dalam Perbankan Islam membuatkan saya terasa kerdil walaupun pernah bekerjasama sebelum ini. Tempoh masa membezakan saya dengan beliau. Pada sisi yang lain pula...Dr Azizan Osman mengingatkan kami supaya sentiasa 'Add Value' kepada masyarakat. Berdosa sekiranya kita tidak berkongsi ilmu dengan orang lain. Saya pun berjanji untuk mengemukakan resume selepas dikemaskini esok.

Melakukan urusan perbankan (saya sebagai pelanggan pula dan bukan kakitangan) pendaftaran perbankan internet mengemaskini modal berbayar Syarikat menghubungi prospek peserta baru untuk turut serta dalam program Pengurusan Harta dan Pusaka membuat susulan 2 tugasan yang perlu diselesaikan antara aktiviti hari pertama. Alhamdulillah.

Selesai aktiviti tersebut diikuti pula dengan tugasan menyediakan juadah berbuka puasa...Nasi Tomato Ayam Kampung Masak Merah dan Jelatah Timun Nenas Sengkuang...meminjam kata-kata Chef Ammar masak dari hati masak dengan iman. Mula memasak dengan Al Fatihah dan Selawat mendatangkan hasil yang berkat. Juadah berbuka begitu laris...

Nampak gayanya untuk bersahur nanti kena masak menu yang lain...

Apa-apa sahaja demi keluarga tercinta.

2/7/2015 – Khamis
15 Ramadan 1436H
Sudah 15 hari kita berpuasa hari ini. Terawih malam ini perlu ada doa qunut pada Solat Witir. Itu peringatan kepada diri sebelum mula Solat Terawih. Mengikut kalendar Ramadan 1436H ada 29 hari tinggal 14 hari lagi berpuasa dan seterusnya Hari Raya. Peringatan...saya bukan teruja untuk sambut Hari Raya ye..!

Walau bagaimanapun persiapan Hari Raya perlu ada untuk menggembirakan hati anak2 yang akan pulang bercuti. Pada usia lebih separuh abad apa kata kita cuba buat '1/2 month performance review'- ibadah yang Allah janjikan pahala berganda di bulan Ramadan sebagai Key Performance Indicator (KPI) YB-Yang Bersara.

Sasaran Penilaian prestasi ibadah Ramadan 1436H dinilai dari amalan Puasa, Solat2 Fardhu, Solat Sunat Qabliyah/Baadiyah, Terawih, Tadarus dan Sedekah. Demerit point - untuk mengumpat. 
Ada berani?

Samada ibadah kita Allah beri pencapaian markah 5-Exceed Expectation, 4-Above Expectation, 3-Meet Expectation dan 2-Below Expectation. Sendiri mahu ingat...hehe.

Kekadang saya terkenang...cepatnya masa berlalu. Adakah Allah membuatkan putaran alam yang cepat atau sebenarnya kita manusia yang leka dengan hal dunia sehingga terlupa pada masa?
Apa2pun jawapannya kita panjatkan doa semuga Allah sentiasa melimpahkan rahmatnya dan kita sentiasa di dalam pemantauannya. Sebagai hamba kita sentiasa tingkatkan 'The Power of Connection' dengan Allah yang Esa.. Lagi pesanan daripada Mentor.

Perjalanan hari ini lebih selesa dan Insya Allah dengan Istiqamah ia akan jadi lebih mudah. Setiap aktiviti niatkan sebagai 'add/create value' membantu untuk menyelesaikan masalah orang lain. Tiada stress dan rasa semua tindakan lebih fleksibel yang menjadikan otak kita sihat. Ingat saya katakan semalam 'Change your brain and change your life'?

Otak yang sihat mampu fokus kepada tindakan yang tepat. Terkadang baru merancang untuk bantu seseorang....Allah beri pula insan lain yang memohon bantuan. Cuba bayangkan perbualan ini....'If you can get the buyer I pay you commision la...' itu baru saya bertanya harga.. sebelum saya minta. 

Subhanallah...

3/7/2015 – Jumaat
16 Ramadan 1436H
Hari ini kontraktor mengambil sukatan untuk cabinet pasang siap di tiga bilik anak-anak.

Malam ini 17 Ramadan 1436H seperti orang lain saya akan cuba untuk dipenuhi dengan ibadah2 sunat di rumah (untuk bersahur bersama anak2). Di Masjid diadakan program Qiamulail dan bersahur sekitar 3.00 pagi bagi jemaah yang berkesempatan. Solat Sunat Tasbih secara berjemaah manakala Solat Tahajud/Taubat dilakukan oleh Jemaah secara perseorangan.

Dilanjutkan ke Solat Subuh diikuti dengan Kuliah Subuh. Insya Allah saya akan bersama untuk Solat Subuh berjemaah dan kuliah di masjid.

Syukur Alhamdulillah diberi kesihatan yang semakin baik untuk pecutan terakhir sungguhpun diserang batuk selsema dan demam pada permulaan Ramadan sehingga tidak langsung berjemaah Isyak dan Terawih di Masjid sampai kini.

Hikmahnya Big Boss dan Azeem ke masjid untuk Solat Isyak dan Terawih bersama2. Bahagia melihat silatulrahim yang akrab antara ayah dan anak dalam hal keagamaan.

Saya juga dimaklumkan kesihatan Kakak Ipar Mazuan semakin pulih dan beliau sudah dipindahkan ke Wad Kelas 1. Sekiranya keadaan berterusan besar kemungkinan akan keluar minggu hadapan.

Biras dan kakak ipar sayapun sudah berpindah ke rumah baru mereka beberapa hari lepas. Mereka sekeluarga akan beraya di rumah baru. Kami apa lagi...tumpang sekaki/berkaki-kaki.

Masih ada berbaki satu lagi tanggungjawab yang perlu saya laksanakan - Insya Allah esok/lusa saya peruntukan masa untuk menziarahi abang-abang dan kakak serta menziarahi kubur emak di kampung. Mereka adalah pengganti arwah emak kerana menjaga saya masa kecil dulu. Rasa retro pula malam ini....hihi

Diimbau semula ke penghujung Ramadan...seakan semuanya 'in place' mengikut perancangan Allah swt. Adakalanya terasa tak cukup nafas/semput untuk mengharungi cabaran tetapi pada sisi yang lain terlalu banyak hikmah/kebaikan yang mendatang.

Seperti yang selalu diingatkan...kita hanya merancang..Allah yang akan menentukan. Do your best and let Allah do the rest.

Alhamdulillah...

4/7/2015 – Sabtu
17 Ramadan 1436H
Solat Subuh dan Kuliah Subuh di Masjid Salahudin Taman Desa Bayu. Sewaktu menghadiri majlis ilmu dulu-dulu Ustaz selalu memperingatkan kita Ramadan dari sudut bahasa ialah panas yang luar biasa ( maaf sekiranya saya terkhilaf..lebih kurang begitulah maknanya). 

Awal Ramadan pula saya batuk demam selsema dan solat Terawih pun di rumah sahaja sehingga kini. Dalam satu WA grup ada sahabat yang menyarankan supaya kita berdoa diturunkan hujan. Memang tiada hujan turun semenjak awal puasa. Dalam pada itu dalam FB posting pula ada berita seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia akibat 'heat wave' setelah ibunya tidak membenarkan untuk buka puasa kerana menghampiri waktu berbuka.

Berbagai berita timbul (suka duka hal-hal semasa) yang sedikit sebanyak mengusik jiwa kita sebagai manusia. Saya panjatkan doa supaya Allah melimpahkan rahmat dan dijauhkan dari sebarang bencana.

Saya selesai menjalankan tanggungjawab (seperti yang dirancang) menziarahi abang-abang, kakak dan kubur emak di kampung. ' Day trip' dari Seri Manjung - Sungai Besar - Kg Baru dan tidak melencung ke mana-mana untuk balik tepat masa bagi menyediakan juadah berbuka puasa. Tidak mahu terputus rutin Ramadan yang saya rancang.

Big Boss singgah sebentar membeli kuih raya/kerepek buah tangan menziarahi 'classmate'nya yang masih dalam 'recovery' proses selepas 'stroke' di Tebuk Pulai dalam perjalanan dari Sungai Besar ke kampung. Alhamdulillah beliau sudah boleh berdiri walaupun sekejap. Satu perkembangan yang positif. Nampak riak gembira pada wajah Big Boss melihat kawan baiknya hampir pulih dan semuga terus pulih seperti sediakala.

Semasa dalam perjalanan ada FB posting khemah bazar Ramadan hadapan Giant Seri Manjung di pukul ribut dan banyak kerosakan. Sememangnya hujan lebat turun dengan angin yang kuat +/- 2.00 pagi sehingga hampir subuh pagi semalam (17 Ramadan). Hujanpun masih turun renyai2 semasa kami balik dari masjid usai Solat dan Kuliah Subuh.

Seorang sahabat WA pula memaklumkan gerai beliau terselamat dari bencana tersebut dan boleh beroperasi seperti biasa. Alhamdulillah. Semuga para peniaga yang lain bersabar dengan ujian dan yang pasti Allah akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. In Sya Allah.

Pada malam pula Berita TV9 menganggarkan kerugian bencana sebanyak RM2.0 juta.

Terdetik difikiran Allah memperkenankan doa supaya turun hujan untuk kita rasa selesa di bulan puasa dan diberi sedikit ujian untuk menilai sejauh mana kita sebagai hamba bersyukur dengan nikmat dan bersabar dengan ujiannya.

Doa saya semuga kita sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberi. Sekiranya diuji bersabar dan mohon diberi kekuatan untuk menhadapinya. Amin.

5/7/2015 – Ahad
18 Ramadan 1436H
Rutin Ramadan masih seperti biasa. Kami ke Hospital RPB Ipoh semula menziarahi Kakak Ipar. Kesihatan beliau semakin pulih. Doa saya semuga beliau sembuh dan boleh beraya di rumah.

Kami membeli Rojak Greentown dan Mee Goreng Mamak untuk berbuka. Sudah dua hari tidak mengemaskini status FB. ‘Home office’ pun tutup juga. Suka-suka buka suka-suka tutup...suka-suka jer buat kerja. Huhh..!


Fokus lebih tertumpu kepada sepuluh terakhir Ramadan, khatam Tadarus Al Quran dan buat blog/update Twitter/FB page untuk 'marketing'. Epitch MMM JUN2015 pun tak update/post lagi. Masih ada kelompongan di sana dan di sini yang perlu ditampal. Hatipun berkata 'take one at a time' dan tak perlu gopoh nak kejar semua. Raya dulu...!
(Dr Azizan Osman kata itu suara biawak untuk melambatkan tindakan..ala-ala self sabotaj la tu...)

No comments:

Post a Comment