Wednesday 9 November 2016

AKTIVITI 29/8/2015

CATATAN HARIAN

Teks : Zaliha Yeop

PERJALANAN PERSARAAN SAYA 

29/8/2015 - Sabtu 
13 Zulkaedah 1436H
Rutin Sabtu sempena cuti hujung minggu yang panjang, saya rasa terlalu penat bukan kerana banyak kerja TETAPI banyak makan. Saya sudah merancang dengan teliti aktiviti undangan perkahwinan, doa selamat pergi Haji dan Aqiqah.
Aktiviti bermula dari semalam (Jumaat) pukul 2.15 petang.

Saya bangun pukul 5.00 pagi dan solat Subuh berjemaah di masjid. Usai solat jemaah ada pengumuman undangan kepa untuk hadir ke majlis bacaan Yassin seorang jiran En Roslan yang akan menunaikan haji pada pukul 10.45 pagi.

Big Boss dan saya hadir tepat waktu untuk majlis tersebut. Undangan ini ialah sesi makan kami yang kedua setelah sarapan pagi di rumah. Kami dihidangkaan dengan Nasi Hujan Panas, Ayam Masak Merah, Dalca, Jelatah, Ulam-ulaman, sambal dan beranika kuih muih serta buah-buahan. Dalam hati berkata rosak sungguh diet saya.

Pukul 12.00 tengahari kami ke undangan perkahwinan anak Pn Halijah rumah bersebelahan masjid. Kami hanya makan kuih tat, rempeyek dan kuih sepit yang dihidangkan atas meja walaupun menu buffetnya menarik. Perut kami sudah kenyang.

Balik ke rumah untuk hadir ke undangan ketiga majlis perkahwinan yang diadakan di sebelah rumah saya. Big Boss hanya bersalam dengan tuan rumah manakala saya dan Azeem minum cendol sahaja. Hanya Aliff yang menjamu selera Nasi Minyak, Ayam Goreng Rempah, Daging Masak Hitam dan Jelatah kerana dia tidor selepas sarapan pagi tadi.

Kami juga menerima kunjungan Penghulu Sitiawan jiran lama dari Taman Meru Ipoh. Beliau dan isteri singgah ke rumah setelah menghadiri majlis perkahwinan sebelah rumah tadi. Kami berbual-bual sehingga pukul 3.00 petang.

Usai solat Zuhor kami terus ke Ipoh dan sampai di Kampung Kepayang pukul 6.00 petang di dalam keadaan hujan lebat diantara Bota hingga ke Tronoh. Penuh meja dengan anika makanan Nasi Puteh, Asam Rebus Batang Keladi, Ikan Goreng, Karipap, Tapai Pulut, Pengat Pisang, Keropok Lekor dan berbagai lagi makanan lain.

Saya pula diminta untuk membuat ubi goreng berempah untuk minum petang makan sambil minum kopi O. Makan-makan lagi.... !

Pukul 10.00 malam kami balik ke rumah di Taman Meru. Saya dan Aina memilih untuk tinggal di rumah manakala mereka yang lain ke kedai mamak di Mydin Meru menonton perlawanan bolasepak.

Seharian hari ini saya rasa teramat penat...bukan kerana bekerja kuat...tetapi terlalu penat makan dengan pelbagai menu yang dihidangkan. Saya berdoa semuga Allah tidak menarik semua nikmat yang ada.

No comments:

Post a Comment