Thursday 17 December 2015

PERANCANGAN HARTA

TANGGAPAN MASYARAKAT DI DALAM URUSAN PERANCANGAN DAN PENGURUSAN HARTA DAN PUSAKA

Teks : Zaliha Yeop

Pengalaman sepanjang menjadi Perunding Profesional Mawarith saya membuat rumusan pada dasarnya kebanyakan masyarakat Malaysia bersetuju dan berminat untuk membuat perancangan harta semasa hidup supaya mudah diwarisi oleh waris atau insan-insan yang mereka sayangi. Mereka juga mengetahui kesulitan yang dihadapi oleh waris untuk menguruskan harta pusaka dari pengalaman keluarga.

Masalah utama mereka melengah-lengahkan tindakan kerana:
1.  Mereka masih muda dan tarikh kematian tidak pasti.
2.  Mereka masih beranggapan wasiat yang sedia ada mampu menyelesaikan masalah pewarisan harta.
3.  Mereka juga berpendapat hukum Faraid yang ditentukan Allah mampu menyelesaikan masalah pusaka.
4.  Mereka punya penama untuk simpanan mereka di Tabung Haji, ASN/ASB dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
5.  Membuat perancangan harta memerlukan kos yang pada pandangan mereka agak tinggi.

Setelah mengenal pasti masalah di atas saya akan cuba menerangkan kepentingannya untuk semua masyarakat Islam di Malaysia mempunyai perancangan untuk harta-harta semasa hidup untuk memudahkan urusan pewarisan harta selepas kematian mereka.

MASIH MUDA DAN TARIKH KEMATIAN TIDAK PASTI
Di dalam arus kehidupan masa kini agak sukar dipastikan hanya yang tua sahaja akan meninggal dunia dahulu. Kita sepatutnya berpegang bahawa kematian itu pasti untuk yang hidup. Biar Allah menentukan tarikh dan waktunya seperti janji kita di Luh Mahfuz dahulu. Sebagai manusia kita menentukan apa persiapan kita untuk mengadap Allah swt.

Kita perlu membuat persiapan:

a.  Melakukan amal ibadat sebagai hamba kerana Allah jadikan manusia untuk beribadat kepadanya.
b.  Selain dari amal ibadat kita juga mempunyai tanggungjawab ke atas suami/isteri, anak-anak dan ibubapa.
c.  Kita juga dipertanggungjawabkan ke atas harta yang diperolehi dan bagaimana ia digunakan.
d.  Setelah kematian yang akan kekal bersama kita ialah amalan yang soleh, ilmu yang bermanafaat, sedekah jariah dan doa anak-anak yang soleh.

Senarai semak dari persiapan tersebut saya cuba rumuskan seperti berikut:
1. Sebagai manusia kita akan sentiasa mempastikan tuntutan              ibadah sebagai seorang Islam dilakukan sebaik mungkin untuk          mendapat redha Allah
2. Kita juga memastikan kebajikan ibubapa, suami/isteri dan            anak-anak sentiasa terbela pada setiap waktu.
3. Kita juga perlu memastikan harta yang diperolehi dari sumber        yang halal dan digunakan kepada perkara yang bermanafaat            mengikut syariah Islam.
4. Semasa hidup kesemua harta kita dilindungi oleh Takaful bagi        membolehkan tuntutan dibuat sekiranya berlaku kerosakan atau        kehilangan.
5. Kita punya harta tetapi tidak memastikan harta kita selamat          untuk diwarisi oleh waris-waris yang berhak setelah kematian        supaya tiada timbul perbalahan diantara mereka.

Daripada senarai semak tersebut cuba tanyakan kepada diri adakah persiapan anda telah lengkap untuk mengadap Allah swt dan dapat menjawab kesemua soalan kubur dan hidup aman bahagia di alam barzah sehingga hari kiamat.

Kita hanya memastikan kesenangan dan kemudahan semasa hidup dan gagal untuk memastikan pahala berterusan diperolehi selepas kematian. Saya rasa anda seorang yang rugi kerana gagal melaksanakan doa usai solat lima waktu untuk mendaptkan kesenangan hidup di dunia dan akhirat serta dijauhkan dari azab api neraka.

Kita berjaya melaksanakan 4 dari 5 senarai semak di atas dan melengah-lengahkan usaha untuk membuat perancangan harta yang sedia ada. Sekiranya hari ini malaikat maut menjemput anda di dalam kerugian akibat tindakan tersebut.

WASIAT YANG SEDIA ADA MAMPU MENYELESAIKAN MASALAH PEWARISAN HARTA
Sekiranya anda telah mempunyai wasiat dengan mana-mana syarikat amanah apabila berlaku kematian banyak isu yang timbul antaranya seperti berikut:
1.  Waris perlu hadir di pejabat syarikat amanah tersebut dengan dokumen-dokumen yang diperlukan.
2.  Pihak waris perlu berulang alik berurusan dengan syarikat amanah tersebut mengikut arahan yang diperlukan.
3.  Proses tuntutan mengambil masa yang panjang dan berlarutan.
4.  Sekiranya ada pertikaian diantara waris berlaku klausa pembolehasingan akan dilaksanakan dan pembahagian harta berdasarkan Faraid. Ini akan menimbulkan rasa tidak puashati sekiranya orang yang dinamakan tidak mendapat bahagian yang ditentukan dan akhirnya menimbulkan perbalahan diantara mereka.
5.  Pengurusan harta setelah kematian melibatkan kos yang tinggi kerana harta dinilai pada harga semasa dan juga lain-lain kos pengurusan yang ditentukan oleh pihak yang terlibat.

Sekiranya syarikat amanah yang sedia ada mampu menyelesaikan tuntutan harta pusaka orang-orang Islam di Malaysia tidak akan timbul isu ‘RM66.6 Billion harta beku’ di Malaysia yang 95% kepunyaan orang-orang Islam.

Adakalanya waris berputus asa untuk meneruskan urusan tuntutan harta pusaka disebabkan masalah birokrasi baik di Pejabat Pusaka Kecil ataupun di syarikat amanah yang dilantik. Ini kerana banyak peraturan dan keperluan perlu dipenuhi oleh waris sebelum mereka membuat tindakan selanjutnya.

Proses tuntutan harta pusaka adalah sama tidak kira anda meninggalkan harta yang sedikit ataupun banyak kerana beberapa institusi turut terlibat sebelum keputusan pengagihan harta dilakukan.

HUKUM FARAID MAMPU MENYELESAIKAN MASALAH HARTA PUSAKA
Ramai yang masih keliru atau tidak faham hukum Faraid. Hukum Faraid yang Allah swt tentukan di dalam Al Quran ialah menentukan waris-waris yang layak untuk mendapatkan harta pusaka. Hukum ini memang jelas perlu dipatuhi.

Yang menimbulkan masalah kini ialah bahagian pengurusan untuk mendapatkan harta simati yang berbagai sebagai contoh:

1.  Harta - Rumah
Hakmilik rumah atas nama simati. Rumah didiami oleh balu simati dan 2 orang anak perempuan tiada anak lelaki. Ibubapa simati masih hidup dan berhak untuk mendapat bahagian dari rumah tersebut. Bagaimana tuntutan atas rumah itu perlu dilakukan. Adakah balu dan 2 anak perempuan mendiami ruang tamu dan 2 bilik tidur manakala ibubapa simati mendapat bahagian dapur dan bilik air sahaja? Bagimana pengurusan untuk penyelesaian masalah ini pada fikiran ANDA?

Apabila ibubapa simati ini pula meninggal dunia bahagian mereka akan jadi pusaka dan dituntut oleh adik beradik simati pula. Apa akan jadi kepada balu dan anak simati apabila perkara ini berlaku?

Bahagian PENGURUSAN inilah bahagian yang kritikal di dalam hal tuntutan harta pusaka. Apa, siapa dan bagaimana ia diuruskan adalah menjadi tanggungjawab waris yang hidup. Sekiranya tidak diuruskan dengan betul pelbagai masalah akan timbul yang akan mengakibatkan harta beku dan waris gagal mendapat manafaat daripadanya.

2.  Wang Tunai
Wang tunai mudah dibahagikan mengikut Faraid kepada waris-waris yang berhak setelah ditolak hutang simati.

3.  Ada Penama kepada Simpanan Tabung Haji, KWSP dan Takaful
Penama bukanlah waris mutlak untuk menerima simpanan simati. Simpanan yang dikeluarkan kepada penama perlu dibahagikan mengikut hukum Faraid. Bagaimana sekiranya amanah tersebut tidak dilaksanakan oleh penama?

4.  Saham Syarikat dan Saham Koperasi
Pengendalian saham akan dikendalikan mengikut akta yang ditetapkan dan ia juga melibatkan isu pengurusan dan kesinambungan perniagaan tersebut setelah kematian pengarah/pemegang saham. Bagaimana menentukan waris masih mendapat manafaat keuntungan dari perniagaan tersebut setelah kematian sekiranya tiada perancangan dibuat.

Mungkin tiada masalah timbul bagi pembahagian harta mengikut Faraid untuk 2, 3 dan 4.  

Bagaimanapun saya ingin mengajak anda berfikir sejenak dan bertanya soalan berikut:
1.  Bagaimana pula pembahagian untuk perkara nombor 1 iaitu rumah atau hartanah yang lain?
2.  Bagaimana pula sekiranya simati tiada mempunyai anak?
3.  Bagaimana pula sekiranya simati punya anak angkat yang tidak berhak untuk mewarisi harta pusaka melalui Faraid?
4.  Bagaimana pula sekiranya simati itu bujang dan tidak punya waris?
5.  Bagaimana pula sekiranya simati punya anak OKU?
6.  Bagaimana pula pembahagian harta sekiranya simati berpoligami/punya lebih dari seorang isteri?
7.  Bagaimana kedudukan harta yang dibeli dengan permohonan bersama?
8.  Bagaimana pula kedudukan dan saham anda di dalam perniagaan yang diusahakan?

PENAMA UNTUK SIMPANAN TABUNG HAJI, KWSP DAN TAKAFUL
Sudah saya tuliskan tadi penama bukan pemilik mutlak harta yang ditinggalkan. Mereka perlu membahagikan harta mengikut kaeda Faraid setelah diselesaikan hutang-hutang simati. Pernahkah anda terfikir sekiranya penama tidak melaksanakan tugas tersebut?

PERANCANGAN HARTA MEMERLUKAN KOS YANG TINGGI
Memang tidak dinafikan perancangan harta semasa hidup memerlukan kos yang tinggi. Sebenarya pengurusan harta selepas kematian akan melibatkan kos yang lebih tinggi.

Hujah saya mudah sahaja:
1.  Harta akan dinilai pada masa tuntutan yang mungkin sepuluh tahun akan datang (future value).
2.  Kos berkaitan tuntutan juga akan meningkat kerana banyak semakan dengan pihak tertentu perlu dibuat kerana harta di atas nama simati.
3.  Penentuan waris-waris yang berhak juga akan mengambil masa yang lama dan ini juga akan melibatkan kos yang tinggi.
4.  Kos akan ditanggung oleh waris-waris sekiranya mereka mempunyai wang yang cukup untuk membuat tuntutan. Simati (tuan punya harta) memang sudah tidak perlu untuk mengeluarkan kos kerana beban telah dipindahkan untuk ditanggung oleh waris.

Di sini sekiranya waris tidak punya cukup wang akan berlaku dua kerugian. Yang pertama kepada simati kerana harta beku gagal dimanafaatkan oleh waris dan yang kedua waris pula tidak mendapat mewarisi harta pusaka tersebut.

Sebagai kesimpulan perancangan harta semasa hidup untuk diwarisi oleh waris/insan yang disayangi adalah lebih mudah daripada waris membuat tuntutan harta selepas kematian anda.

Perancangan semasa hidup boleh diubah dan ditambah mengikut kesesuaian dan keadaan. Lagipun kita sering dinasihatkan untuk berwasiat setiap kali sebelum tidur. Ada yang tersirat disebalik suruhan tersebut.

Bersambung....

Sekiranya anda memerlukan perkhidmatan Perancangan dan Pengurusan Harta dan Pusaka sila hubungi saya:


email:zaliha.yeop@gmail.com

PM / WA : 012-506 9062

No comments:

Post a Comment