Tuesday 22 December 2015

MENGATASI TANGGAPAN 3 - PERANCANGAN DAN PENGURUSAN HARTA DAN PUSAKA

21/12/2015 - ISNIN

PERANCANGAN DAN PENGURUSAN HARTA DAN PUSAKA

Teks : Zaliha Yeop

Tulisan saya seterusnya ialah dengan bertanyakan kepada anda soalan hubungan kekeluargaan seperti berikut:

1. Bagaimana hubungan isteri/suami dengan ibubapa anda?
2. Bagaimana hubungan sekeluarga (anda, isteri/suami dan anak-anak) dengan adik beradik anda?
3. Kedudukan kewangan anda lebih baik/buruk daripada adik beradik yang lain?
4. Siapa yang banyak membantu kebajikan ibubapa anda?

Hubungan kekeluargaan yang baik dan harmoni serta bertolak ansur mampu memudahkan urusan tuntutan harta dan pusaka. Ada ketika waris/adik beradik/ibubapa melepaskan hak tuntutan kepada balu simati dan anak-anak yang ditinggalkan. Mereka punya jiwa besar dan merasakan balu dan anak-anak simati perlu didahulukan dan mereka lebih berhak untuk kesemua harta pusaka yang ditinggalkan. Selain dari itu mereka berpendapat sekiranya tidak mampu menjaga kebajikan isteri/suami dan anak-anak simati dengan melepaskan hak ia merupakan satu sedekah jariah.

Pada sisi yang lain ada juga berlaku sebaliknya selepas berlaku kematian. Harta pusaka yang ditinggalkan menimbulkan perbalahan diantara waris (isteri/suami, anak-anak dan waris yang lain). Selain dari perbalahan hubungan yang dahulu akrab menjadi tegang walaupun kepada tuntutan harta yang sekadar sekangkang kera.

Banyak perbalahan berlaku apabila isteri/suami tidak punya hubungan baik dengan ibubapa atau mereka bukan menantu pilihan. Ibubapa mertua akan menggunakan sepenuh hak di dalam Faraid untuk mendapatkan bahagian mereka.

Begitu juga yang berlaku dikalangan adik beradik simati. Dari sudut ugama tuntutan hak waris mengikut hukum Faraid ialah sebagai imbuhan untuk memastikan kebajikan isteri/suami dan anak-anak simati terbela. Perkara sebegini sebenarnya tidak berlaku kepada masyarakat kita sekarang. Apa yang berlaku ialah seolah-olah hubungan mertua/menantu dan ipar duai terputus apabila berlaku kematian. 

Ada juga berlaku apabila penama untuk simpanan KWSP dan Tabung Haji tidak dikemaskini setelah berkahwin. Apabila berlaku kematian wang akan dikeluarkan kepada penama. Penama pula menganggap mereka penerima yang sah. Mereka tidak pula membahagikan wang tersebut mengikut kaedah Faraid. Saya beri contoh ibubapa mertua sebagai penama sanggup mengambil kesemua wang KWSP dan diagih-agihkan kepada anak-anaknya yang lain tetapi tidak kepada isteri dan 4 orang anak simati yang masih kecil. Alasan kepada tindakan mereka ialah isterinya sudah ada rumah dan pelbagai kemudahan dari simati.

Sifat tamak, tidak faham hukum Faraid dan tidak mahu bertanggungjawab kepada keluarga simati adalah punca segala perbalahan yang timbul. Sekiranya tidak diuruskan dengan baik nasib keluarga simati tidak terbela, putus hubungan silaturahim dan waris yang mengambil bukan harta bukan milik akan memakan harta yang haram. Daging yang tumbuh akibat dari makan harta yang haram akan dibakar oleh api neraka jahanam. Simati di dalam kubur juga terseksa kerana hartanya telah menimbulkan perpecahan dikalangan waris-warisnya.

Terlalu banyak cerita berkaitan hubungan kekeluargaan di dalam kes tuntutan harta pusaka boleh diceritakan sebagai panduan. Cerita yang berlaku akan sekadar jadi cerita sekiranya anda tidak bertindak untuk membuat perancangan harta semasa hidup.

Bersambung....

Zaliha Yeop

No comments:

Post a Comment