Friday 18 December 2015

MENGATASI TANGGAPAN - PERANCANGAN DAN PENGURUSAN HARTA DAN PUSAKA

18/12/2015

PERANCANGAN DAN PENGURUSAN HARTA DAN PUSAKA

Teks : Zaliha Yeop

Semalam saya membincangkan tanggapan masyarakat dan tindakan melengah-lengahkan urusan membuat Perancanga dan Pengurusan Harta dan Pusaka pengalaman selama 4 bulan sebagai Perunding Profesional Mawarith Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd.

Hari ini saya ingin berkongsi pengalaman menguruskan harta pusaka (selepas kematian) untuk pelanggan baru-baru ini.

Simati/Arwah (wanita) meninggal dunia akibat barah payu dara pada tahun 2012. Beliau yang berasal dari Sabah telah berpisah dengan suaminya seorang warganegara Indonesia dari Kalimantan semenjak anak tunggal perempuan mereka berusia beberapa bulan sahaja. Waris kepada simati ibu, abang, kakak adik laki-laki dan anak perempuan tunggalnya. 

Harta pusaka yang ditinggalkan simati ialah sebuah rumah teres satu tingkat tiga bilik bernilai RM160,000 dan Akaun Simpanan dibeberapa buah Bank. Sebelum disahkan mengidap barah beliau bertugas sebagai 'Promoter' di sebuah Pasaraya. Semasa hayatnya beliau mendapat pencen ilat dari Perkeso bagi biaya rawatan dan sara hidup sebelum kematian.

Setelah bersara saya bertanya kepada kakaknya yang membantu membersihkan rumah tiga kali seminggu perihal harta pusaka Arwah. Saya dimaklumkan beliau telah berhubung dengan Amanah Raya Berhad di Cawangan Ipoh. Pegawai di sana  meminta beliau mengemukakan beberapa dokumen yang diperlukan. Proses tuntutan terhenti kerana beliau perlu berulang alik Seri Manjung-Ipoh bagi urusan tersebut dan belum pasti akan selesai. 

Selain dari itu kakak Arwah sendiri seorang yang susah punya anak yang masih bersekolah dan menjaga ibunya yang sakit. Beliau pula ditinggalkan suami yang berkahwin lagi dan sekarang menetap di Pahang tanpa nafkah bulanan. Untuk kelangsungan hidup beliau bekerja menjaga anak-anak seorang Cikgu dan urusan mengemas di rumah saya.

Saya menawarkan diri untuk membantu beliau menyelesaikan tuntutan harta pusaka tersebut untuk memastikan anak tunggal Arwah boleh menggunakan wang yang ada dalam Bank untuk biaya pengajiannya. Dalam pada itu saya telah mendahulukan wang semasa urusan mencari suami Arwah di Kalimantan Indonesia supaya pencen ilat Arwah diturunkan kepada waris yang berhak. Usaha tersebut gagal dan suami Arwah tidak ditemui.

Untuk memulakan tugas saya menerima kesemua dokumen yang diperlukan untuk membuat tuntutan termasuk juga surat menyurat diantara kakak Arwah dan Amanah Raya Berhad memohon dokumen sokongan dan sebagainya. Terdapat juga dokumen-dokumen percubaan kakak Arwah membuat tuntutan di Pejabat Pusaka Kecil Seri Manjung.yang dibuat separuh jalan dan tidak lengkap.

Pada asalnya kakak Arwah agak skeptikal apabila saya menawarkan diri untuk membantu proses tuntutan harta pusaka tersebut kerana beliau sendiri telah gagal untuk menyelesaikannya akibat karenah birokrasi. Saya anggap reaksi beliau sebagai satu cabaran dan sekadar menyatakan berusaha supaya proses tuntutan selesai sebaik mungkin.

Tindakan awal saya ke Pejabat Pusaka Kecil Cawangan Seri Manjung mengambil Borang A. Untuk makluman pejabat ini menguruskan tuntutan pusaka untuk harta keseluruhan RM2,0 juta ke bawah.
Borang A memerlukan seorang pemohon/wasi/waris yang akan membuat tuntutan bicara pusaka dengan mengemukakan dokumen harta-harta yang ditinggalkan dan waris-waris yang berhak untuk mendapat harta pusaka tersebut.

Simati masih punya ibu, abang, kakak dan adik lelaki. Salinan kad pengenalan mereka diperlukan sebagai bukti waris dalam Borang A tersebut. Apa yang berlaku adik lelaki simati enggan kerjasama memberi salinan kad pengenalan yang diperlukan oleh kerana masalah peribadi dengan anak simati. Dalam pada itu beliau juga tidak mahu mengisi Borang DDA yang menyatakan pelepasan untuk tidak menuntut harta pusaka tersebut. Ini halangan yang pertama.

Yang kedua saya perlu mendapatkan salinan sah pencarian hartanah di Pejabat Tanah Ipoh. Oleh kerana saya punya kawan seorang peguam beliau telah membantu saya mendapatkan carian tersebut.
Setelah borang siap diisi dan dokumen lengkap pemohon/wasi/waris perlu menandatangani Borang A di hadapan Pesuruhjaya Sumpah. Oleh kerana kakak Arwah bekerja menjaga anak-anak Cikgu saya terpaksa membawa mereka semua sekali untuk tandatangan di pejabat Pesuruhjaya Sumpah tersebut.

Setelah Borang A dan dokumen lengkap saya pun mengemukakannya di Pejabat Pusaka Kecil. Semasa di kaunter saya dimaklumkan bicara kuasa hanya akan dibuat 6 bulan dari tarikh penghantaran borang tersebut.

Boleh anda bayangkan proses tuntutan sudah tertangguh selama hampir 3 tahun dan perlu pula menunggu 6 bulan lagi sebelum bicara pusaka dibuat. Cuba kita bayangkan bagaimana waris-waris simati ini meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tempoh tersebut. Juga cuba bayangkan mereka itu adalah isteri dan anak-anak anda. 

Cuba tanya dan jawab soalan berikut sekiranya simati itu ialah anda:
Adakah hidup mereka senang? 
Adakah mereka bahagia selepas kematian kita? 
Bagaimana persekolahan mereka? 
Bagaimana kebajikan makan dan minum mereka setelah ketiadaan kita?
Bagaimana perhubungan keluarga diantara waris-waris anda?

Bersambung....

No comments:

Post a Comment