Thursday 21 January 2016

WARIS TIDAK FAHAM HUKUM FARAID

30/12/2015

PERANCANGAN DAN PENGURUSAN HARTA DAN PUSAKA

Teks : Zaliha Yeop
(Rujukan Nota Perancangan dan Pengurusan Harta dan Pusaka Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd)

CABARAN TUNTUTAN HARTA PUSAKA ORANG ISLAM DI MALAYSIA

IV. WARIS TIDAK FAHAM HUKUM FARAID

Faraid ialah pembahagian harta seorang Islam yang telah meninggal dunia mengikut hukum Islam. Sila rujuk catatan saya mengenai Faraid di dalam Page-Harta Pusaka.

Apabila membincangkan mengenai harta pusaka dikalangan masyarakat Melayu sering berlaku kekeliruan, perbalahan dan salah faham dikalangan waris. Masing-masing mahu menuntut hak tanpa menyedari tuntutan yang dibuat tidak seberapa dari segi nilai. Perbalahan keluarga berpanjangan berebut harta yang sedikit. Selain dari itu tuntutan waris menimbulkan masalah kepada waris yang lain yang lebih berhak untuk dipastikan kebajikan mereka lebih terjamin.

Perkara ini sering berlaku disebabkan oleh timbulnya perasaan tamak dan hasad dengki dikalangan waris-waris sendiri. Adakalanya semasa simati masih hidup waris tidak pernah mempunyai hubungan silaturahim yang baik tetapi menuntut hak apabila sudah mati. Menjadi persoalan saya mengapa orang Islam menjadi tamak dan sanggup bermusuhan sesama waris bila melibatkan harta pusaka? Adakah kerana Allah telah tetapkan Faraid atau sikap tamak manusia sendiri? Pendapat peribadi saya lebih menjurus kepada sikap manusia yang tamakkan harta.

Semasa menghadiri Kursus Asas di Wasiyyah Shoppe Berhad kami diberikan situasi dimana sekeping tanah di kawasan Kampung Baru Kuala Lumpur yang berkeluasan lebih kurang 809 meter per segi dituntut oleh 141 orang waris dan bahagian terkecil  7/424320 mewakili keluasan 0.01335 dengan nilaian semeter persegi RM1000 bahagian tersebut hanya menerima RM13.35 sahaja. Berbaloikah memiliki pusaka sebanyak itu?

Waris yang bertimbang rasa akan melepaskan hak mereka kepada waris yang lebih memerlukan atau lebih berhak. Kalangan mereka adalah sedikit.

Walau bagaimanapun Hukum Faraid yang ditetapkan oleh Allah perlu dipatuhi bagi mengelakkan perbalahan. Yang penting waris perlu tahu wajar atau tidak untuk mereka menuntut harta pusaka sekiranya bahagian mereka amat sedikit.


No comments:

Post a Comment